3 politeknik dinaik taraf jadi universiti

Tuesday, January 5, 2010

TEMERLOH 4 Jan. - Tiga buah politeknik dinaik taraf menjadi universiti pada tahun ini bagi membolehkan lebih ramai pelajar aliran teknik dan vokasional melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, universiti itu akan mengendalikan bidang kemahiran dan latihan pada peringkat diploma lanjutan dan ijazah.

Jelasnya, kerajaan berusaha meluaskan peluang pembelajaran kepada pelajar kedua-dua aliran itu supaya mereka dapat memiliki diploma dan ijazah.

''Para pelajar aliran teknik dan vokasional mempunyai masa depan yang cerah dan mereka boleh bersaing dengan graduan universiti lain bagi memenuhi pasaran pekerjaan negara pada masa akan datang.

''Kenaikan taraf tiga politeknik itu yang akan diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi tidak lama lagi adalah antara 32 buah politeknik yang ditubuhkan di negara ini setakat ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Simpang Sanggang di sini, hari ini.

Menurut Saifuddin, pelajar daripada kedua-dua aliran itu mempunyai kelebihan dari segi kemahiran dan mudah mendapat pekerjaan terutama dalam sektor swasta selepas menamatkan pengajian di peringkat tinggi.

Jelasnya, kerajaan menyediakan prasarana pembelajaran yang bertaraf dunia di negara ini sedangkan kemudahan yang sama jarang terdapat di negara-negara membangun yang lain.

"Peluang tersebut hendaklah direbut supaya matlamat kerajaan untuk melahirkan siswazah dan pelajar berkualiti dapat direalisasikan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin memberitahu, enam universiti telah dinaikkan taraf untuk mengendalikan kursus berasaskan teknikal.

Universiti tersebut ialah Universiti Tun Hussien Onn (UTHO), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMap), Universiti Teknikal Melaka (Utem), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL). - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya