Pok Ya gigih ke laut walaupun kudung kaki

Sunday, January 17, 2010


ZAKARIA dibantu penduduk kampung untuk ke laut menangkap ikan.

Cacat tak halang Zakaria jadi nelayan, cari rezeki

KUANTAN: Kegigihan warga emas, Zakaria Uda, 62, dari Kampung Kempadang, di sini sanggup turun ke laut mencari rezeki walaupun kudung kedua-dua kaki seharusnya menjadi teladan kepada masyarakat, terutama generasi muda.

Zakaria atau lebih mesra dipanggil 'Pok Ya Kudung' tidak menjadikan kekurangan dirinya sebagai alasan untuk menagih simpati, sebaliknya terus berdikari menampung perbelanjaan kehidupan seharian keluarganya.

Bapa kepada lapan anak itu masih sanggup ke laut saban hari selepas kedua-dua kakinya terpaksa dipotong akibat penyakit kencing manis. Beliau kehilangan kaki kanan kira-kira 10 tahun lalu, disusuli kaki kirinya lima tahun kemudian.

"Pada awalnya agak sukar bergerak kerana sudah biasa dengan dua kaki tetapi kata orang, 'alah bisa tegal biasa'," katanya sambil bertekad tidak mahu mengharapkan ihsan orang selagi kudrat masih ada.

Selalunya, Pok Ya akan ke laut seawal jam 7 pagi, rutin yang dilakukan sejak menjadi nelayan sepenuh masa pada usia 30-an lagi.
ZAKARIA memenuhi masa lapang menjahit pukat di rumahnya.

"Saya sudah biasa dengan laut sejak kecil kerana arwah ayah juga nelayan. Tak tahu mengapa tetapi saya begitu sukakan laut, kalau duduk di rumah tak buat apa-apa pun bosan juga," katanya yang pernah bekerja sebagai pemandu lori pada awal 1960-an hingga 1970-an.

Walaupun mempunyai pendapatan tetap ketika itu, hatinya tetap ingin ke laut menyebabkan beliau nekad berhenti kerja dan menjadi nelayan sepenuh masa pada 1973 dengan membeli bot gentian kaca dan peralatan menangkap ikan hasil duit gaji yang disimpannya setiap bulan sepanjang menjadi pemandu lori.

Bot dan peralatan itu masih digunakannya sehingga kini walaupun kian uzur dan kurang selamat, tetapi masih mampu membantu Pok Ya mendaratkan purata 30 hingga 40 kilogram ikan sehari jika cuaca baik dan laut kurang bergelora.

"Jika cuaca kurang baik, hasil tangkapan sekadar cukup untuk duit minyak bot saja, tetapi jika rezeki murah boleh dapat hingga 100 kilogram ikan sehari. Saya juga bersyukur kerana kerajaan bagi insentif pendaratan ikan, subsidi petrol dan diesel yang membantu meringankan beban nelayan," katanya.
Pada hari biasa, isterinya, Basariah Mohd Noor, 61, akan setia menemani Pok Ya menaiki bot usang meredah laut.

"Dalam keadaan begini, apalagi boleh saya buat jika tak turun ke laut. Sekurang-kurangnya dapatlah membawa pulang sedikit rezeki untuk keluarga. Jika tidak ke laut pada musim tengkujuh, saya lebih suka menghabiskan masa membuat pukat atau mengambil upah membaiki pukat," katanya.

Enam daripada lapan anak pasangan itu sudah berkeluarga dan tinggal berasingan, manakala dua lagi, Zulfazli, 22, dan Nurulhuda, 19, tinggal bersama mereka, malah anak lelakinya itu kadangkala turut membantu Pok Ya di laut.

"Nurulhuda masih belajar di Kolej Profesional Mara (KPM)," katanya sambil berseloroh tiada perasaan takut menyelubunginya sepanjang berada di laut kerana jerung tidak berselera dengan manusia tidak berkaki, manakala hentaman ombak pula hanyalah air laut yang bergulung. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya