Kreativiti, inovasi jadi teras

Tuesday, January 5, 2010


Najib Tun Razak bergambar bersama sebahagian daripada 371 orang pelajar cemerlang sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR Peringkat Parlimen Pekan di Pekan, semalam.

PEKAN 3 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu elemen kreativiti dan inovasi menjadi teras dalam sistem pendidikan negara bagi melahirkan pelajar yang kreatif dan berinovatif, bermula tahun ini.


Menurut Perdana Menteri, tanpa kedua-dua elemen itu, tahap pemikiran pelajar tidak akan berkembang dan proses pengajaran serta pembelajaran menjadi membosankan terutama kepada mereka yang celik komputer.

‘‘Kita mahu menjadikan Malaysia sebuah negara yang inovatif dalam pelbagai sektor yang bermula daripada proses pendidikan.

‘‘Kita juga mahu melihat semua sektor melambangkan pemikiran yang kreatif dan inovatif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 321 murid pada majlis anugerah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Pada majlis itu, pelajar terbabit yang mendapat 5A dalam UPSR baru-baru ini, menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM200 seorang daripada Yayasan Rahah.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Najib berkata, pendidikan berteras kreativiti dan inovasi merupakan satu dimensi baru apabila sebelum ini kedua-dua elemen tersebut hanya dipraktikkan di peringkat universiti dan sektor komersial.

Menurut beliau, elemen kreativiti dan inovasi akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih dinamik dan menarik kepada pelajar.

Ini kerana, jelas beliau, pelajar masa kini semakin terdedah kepada maklumat berikutan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

‘‘Pelajar kini lebih terbuka minda kerana mereka boleh mengakses maklumat tanpa had. Dengan melalui enjin carian ‘Google’ misalnya, mereka boleh mendapat pelbagai maklumat.

‘‘Jika dalam kurikulum tidak ada elemen kreativiti dan inovasi, mereka akan jemu untuk belajar,” jelasnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan mengakui tidak semua murid yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR akan mendapat tempat di sekolah berasrama penuh (SBP) berikutan tempatnya yang terhad.

Bagaimanapun, jelas beliau, murid terbabit masih mempunyai peluang untuk merayu selain memohon ke Maktab Rendah Sains Nara (MRSM) atau sekolah-sekolah rancangan khas yang berkualiti. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya