Galak jadi rakan niaga TM

Saturday, January 30, 2010

TELEKOM Malaysia Bhd (TM) komited dengan janji menyampaikan akses jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) kepada pengguna dengan menawarkan akses kepada pencari akses atau penyedia perkhidmatan nilai tambahan berpotensi.

Justeru, satu taklimat mengenai harga port, ketersediaan dan kemajuan pelancaran HSBB termasuk HSBB-Pukal (HSBB-A) diadakan kepada lebih 100 pemain industri dan rakan niaga nilai tambahan, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Zamzamzairani Mohd Isa, berkata TM komited dengan janji untuk mewujudkan persekitaran sama rata dan ‘akses terbuka’ kepada semua pencari akses yang layak.

“Kami ingin menggalakkan semua pencari akses yang memegang lesen SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) dan rakan niaga tambahan nilai untuk menjadi rakan niaga TM dengan syarat masih tertumpu kualiti penyampaian perkhidmatan di semua peringkat.

“Justeru, jualan akses perkhidmatan HSBB-A akan dibuka untuk pencari akses serentak dengan pelancaran perkhidmatan HSBB untuk pengguna runcit pada Mac depan di empat kawasan iaitu Bangsar, Shah Alam, Subang Jaya dan Taman Tun Dr Ismail.

“Penyedia perkhidmatan nilai tambahan yang berminat dalam perkhidmatan HSBB-A boleh memulakan perbincangan dengan TM dan melancarkan perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Port pukal HSBB-A diletakkan pada harga berpatutan dan berdaya saing bagi semua pencari akses (iaitu di antara RM52 kepada RM55 setiap port bergantung kuantiti dan tempoh kontrak) bagi meningkatkan ekosistem penyedia perkhidmatan tambahan nilai yang menumpang pada rangkaian HSBB. - Harian Metro

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya