Hikmah dipelbagaikan amal

Tuesday, January 26, 2010


Solat adalah ibadat yang paling utama di dalam Islam. - Gambar hiasan


Islam itu unik, indah dan sempurna. Maka sudah tentulah apa yang terkandung di dalamnya juga penuh dengan keunikan, keindahan dan kelebihan. Namun, tidak semua keindahan dan keunikan itu dapat dilihat dengan mata kasar.

Ada di antaranya yang perlu diselami dengan mata hati yang hanya dimiliki oleh insan-insan yang sentiasa menjaga hatinya dari titik-titik hitam, menggilap hatinya dengan zikrullah dan disinari hatinya dengan makrifatullah.

Minggu ini, kami mengajak pembaca menggali dan menghayati satu lagi khazanah dan hikmah di sebalik kejadian Allah yang telah dirakamkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al Sakandari r.a dalam kalam hikmahnya:

"Tatkala Allah mengetahui timbul dari diri kamu perasaan jemu, Dia mempelbagaikan untuk kamu amalan ketaatan.

"Tatkala Dia mengetahui di dalam diri kamu wujud kerakusan, maka Dia mengehadkannya ke atas kamu pada waktu-waktu tertentu untuk menjadikan keinginan kamu itu mendirikan solat bukannya mengadakan solat. Tidak semua yang solat itu mendirikan solat".

Allah SWT dengan limpahan sifat kemurahan dan kasih sayang-Nya mengurniakan kepada hamba-hamba-Nya pelbagai amalan ketaatan untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Tergopoh-gapah

Ini kerana Allah mengetahui hamba-Nya akan jemu jika melakukan sejenis ketaatan kerana menjadi tabiat nafsu merasa jemu dengan mengulang-ulang perkara yang sama.

Seorang penyair pernah mengungkapkan: "Nafsu tidak akan dapat diperbaiki apabila ia ditadbir (diatur); melainkan dengan memindahkannya atau mengalihkannya dari satu keadaan kepada satu keadaan yang lain".

Dengan adanya pelbagai amalan ketaatan yang disediakan, apabila seseorang itu jemu melakukan solat sunat maka dia boleh beralih melakukan amalan zikir. Apabila dia jemu berzikir dia boleh membaca al-Quran, berpuasa, bersedekah dan sebagainya. Zikir itu pula mempunyai bermacam-macam jenis.

Sheikh Zarruq r.a berkata: Dipelbagaikan amalan ketaatan bagi hamba kerana tiga sebab:

1. Rahmat daripada Allah untuk merehatkan dan memberi peluang kepada hamba-Nya menggilir-gilirkan atau menukar ganti amalan ketaatan dari satu amalan kepada satu amalan.

2. Sebagai hujah ke atas mereka kerana tidak ada alasan lagi bagi mereka untuk meninggalkan amalan ketaatan.

3. Dengan adanya pilihan akan menetapkan mereka dengan pelbagai amalan yang melayakkan mereka mendapat kemuliaan tertentu dari amalan-amalan tersebut dan memudahkan mereka beramal.

Orang yang jemu beramal, akan bersikap tergopoh-gapah melakukannya kerana tiada penentuan waktu beramal. Oleh itu, dibataskan pula amalan itu pada waktu-waktu tertentu, sebagaimana disebut dalam Hikam: "Tatkala Dia mengetahui di dalam diri kamu wujud kerakusan, maka Dia mengehadkannya pada waktu-waktu tertentu".

Bergegas-gegas dalam melakukan amalan, akan menatijahkan tiga kerosakan: Meninggalkan amal apabila dilakukan secara berterusan, berasa jemu sekalipun dia tidak meninggalkan amalannya dan berlaku banyak kecacatan dalam melaksanakan amal.

Mengehadkan waktu-waktu tertentu bagi suatu amal, mendatangkan tiga faedah: Mengelakkan kerakusan beramal, menghalang daripada penangguhan amal dan teguh beramal.

Jika tiada penentuan waktu, akan menyebabkan amalan tersebut dikerjakan secara sambil lewa, bertangguh-tangguh dan tidak dijaga kerana dikuasai oleh dorongan nafsu.

Tujuan pembatasan waktu adalah membentuk keazaman yang tinggi melakukan amal dengan yakin dan bernilai seperti disebut: "Untuk menjadikan keazaman kamu itu mendirikan solat bukannya mengadakan solat".

Rahsia dibataskan solat pada waktu-waktu tertentu bagi melahirkan perasaan rindu kepada solat tersebut. Dengan adanya kerinduan ini, akan terhasillah dalam solat tersebut rasa khusyuk, hadir hati dan ketenangan atau disebut sebagai penyejuk hati.

Berbeza jika solat itu dilakukan secara berterusan, maka tidak akan ada perasaan rindu kepadanya.

Bahkan mengundang perasaan jemu dan mengakibatkan amalan yang dilakukan tidak sempurna.

Maksud yang dikehendaki dalam melakukan solat ialah pergerakan hati dan bukannya pergerakan jasad semata-mata: "Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada luaran kamu, atau amalan zahir kamu, tetapi Dia memandang kepada hati kamu".

Selain itu, rahsia penentuan waktu solat adalah membentuk keazaman mendirikan solat dengan melaksanakan hak-hak zahir dan batin, dan bukan sekadar mengadakan solat. Solat sedemikian bagaikan bangkai yang busuk dan ia lebih dekat kepada azab Allah.

Umar ibn Abdul Aziz r.a menulis kepada para pekerjanya: "Sesungguhnya pekerjaan kamu yang terpenting padaku adalah solat. Sesiapa yang memelihara dan menjaganya maka amalan yang lain akan lebih dipeliharanya. Sesiapa yang mengabaikannya, maka dia akan lebih mengabaikan amalan yang lain".

Di dalam Hikam seterusnya disebut: "Tidaklah semua orang yang solat itu mendirikan solat. Iqamah atau mendirikan dari sudut bahasa bermaksud menyempurnakan dan meneliti. Dikatakan, si fulan telah mendirikan rumahnya, apabila dia telah menyempurnakan rumahnya dan melengkapkan segala keperluan di dalamnya. Maka orang yang mendirikan solat ialah orang yang meneliti solatnya".

Tidak semua orang yang solat itu mendirikan solat. Berapa ramai orang yang solat tidak mendapat apa-apa dari solatnya melainkan penat lelah.

Membanyakkan zikir 

Di dalam hadis, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang solatnya tidak menegahnya daripada melakukan perkara keji dan mungkar, maka tidak bertambah apa-apa pahala baginya dari Allah melainkan semakin jauh daripada-Nya".

Di dalam hadis lain disebut: "Apabila seseorang hamba itu mengerjakan solat tetapi tidak menyempurnakan rukuknya, sujudnya dan khusyuknya, maka solatnya itu direnyuk seperti mana merenyuk baju yang lusuh, kemudian dicampakkan ke mukanya".

Sheikh Abu Abbas al Mursi r.a berkata: "Di dalam al-Quran, setiap ayat yang menyebut tentang orang yang mengerjakan solat yang dipuji, disebut dengan lafaz iqamat (mendirikan) atau yang seerti dengannya.

Misalnya, firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 3: Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan solat.
Doa Nabi Ibrahim a.s dalam surah Ibrahim ayat 40: Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat.
 
Allah juga berfirman: Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan solat, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya. (al Hajj: 35)

Disebut orang yang melakukan solat dalam keadaan lalai dengan kalimah "Orang yang solat", seperti firman Allah: Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang solat (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya. (al-Maa'un: 4-5) dan tidak disebut: Maka celakalah bagi orang-orang yang mendirikan solat.

Ketahuilah, khusyuk di dalam solat mempunyai tiga martabat:

1. Khusyuk dengan merasakan gerun, rendah diri dan hina diri. Iaitu khusyuk bagi ahli ibadah dan orang yang zuhud.

2. Khusyuk dengan merasakan kebesaran, kehebatan dan keagungan Allah. Iaitu khusyuk bagi Ahli Muridin dan Salikin.

3. Khusyuk dengan merasakan kegembiraan dan penghadapan hati kepada Allah. Ini adalah khusyuk bagi Ahli Wasilin di kalangan 'arifin. Inilah yang dinamakan Maqam Qurrah al 'Ain (penyejuk mata hati).

Ulama berkata: Tidak diterima solat seorang hamba melainkan setakat yang hadir hatinya. Maka ada kalanya diterima seperempat sahaja dari solatnya, ada kalanya setengah sahaja dan sebagainya mengikut kadar kekhusyukkannya.

Perkara yang boleh membantu untuk mendapatkan khusyuk adalah zuhud di dunia. Inilah ubat yang terbesar kerana mustahil jika ada di sisimu anak perempuan iblis, bapanya tidak datang menziarahi anaknya.

Kamu tidak akan terlepas daripada pelbagai lintasan selagi ia berada di dalam hati kamu; dan ia mengikut banyak atau sedikitnya ia berada di dalam hati kamu.

Mustahil, pohon dunia berada di dalam hati kamu, dan kamu boleh terlepas daripada lintasan-lintasannya. Burung-burung pasti hinggap dan berkicau di atas pohon itu. Setiap kali kamu menghalaunya, ia akan pergi. Tetapi ia akan kembali selagi kamu tidak menebangnya.

Di antara perkara lain yang membantu mendapatkan khusyuk adalah membanyakkan zikir dengan hati dan juga lidah serta sentiasa berada dalam keadaan suci kerana zahir itu amat berkait dengan batin.

Semoga solat kita ialah solat yang diterima oleh-Nya. Sesungguhnya solat itu adalah pembersih hati dan tempat munajat serta penghubung hamba-hamba Allah yang kerinduan terhadap Kekasihnya.

Bukalah dan bersihkanlah hati kita untuk mengenal Pemilik dan Pencipta diri kita, maka kita akan menjadi orang yang paling bahagia kerana telah dikurniakan syurga 'ajilah di dunia sebelum dianugerahkan syurga di akhirat iaitu pertemuan dengan-Nya di alam yang kekal abadi. Wallahu 'alam. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya