RM100j bangunkan rumah mampu milik

Tuesday, January 5, 2010

KUALA TERENGGANU 4 Jan. - Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi membina 10,000 unit rumah mampu milik yang dijangka siap menjelang 2013.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, ia membabitkan 14 projek perumahan dengan 4,600 unit rumah.

''Selain itu, kerajaan Pusat juga bersetuju membangunkan Program Perumahan Rakyat (PPR) sebanyak 1,000 unit bagi golongan berpendapatan rendah di Padang Hiliran dekat sini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, bagi memberi keselesaan kepada bakal pemilik rumah, kerajaan bersetuju supaya keluasan lantai premis itu ditingkatkan.

Jelasnya, langkah itu membuktikan kerajaan prihatin terhadap keperluan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dari segi kemudahan perumahan.

''Sokongan berterusan diberikan kepada sektor pembinaan kerana ia segmen terbesar dalam peruntukan pembangunan negeri dan sektor ini menyumbang 5.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2009," katanya.

Mengenai projek lain Ahmad berkata, sejumlah RM80 juta diperuntukkan untuk pembinaan jalan-jalan baru dan RM35 juta bagi meneruskan pelaksanaan pembangunan masjid dan surau.

Menurutnya, pembinaan jalan pintasan Kuala Terengganu pula akan menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan Bandar Baru Bukit Besar dan mewujudkan satu sistem rangkaian jalan yang bersistematik dan teratur.

Sementara itu katanya, pembinaan Jambatan Jeram Tok Kong pula telah diserahkan kepada kontraktor dan pembinaannya dijangka dimulakan awal tahun ini. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya