Filem 3 Idiots Jadi Teladan Untuk Perbaiki Sistem Pendidikan Sedia Ada

Tuesday, January 26, 2010


Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah (ketiga dari kiri) sedang berbincang dengan rakan-rakan Facebook beliau semasa tayangan itu. -Foto THE STAR oleh SAMUEL ONG
 
FILEM 3 Idiots lakonan Aamir Khan yang sedang ditayangkan di seluruh tanah air sekarang bukan setakat menghiburkan malah menyelitkan unsur-unsur teladan mengenai institusi pendidikan.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila ia dipilih sebagai tayangan Facebook (FB) Hour Out & About khas buat rakan-rakan FB Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Kata beliau, filem itu dipilih untuk mendapatkan maklum balas daripada golongan remaja mengenai aspek pendidikan yang hanya diukur berasaskan kecemerlangan.

“Filem itu menggambarkan situasi di mana sistem pendidikan di India mementingkan kecemerlangan dalam pelajaran semata-mata dan bagaimana sistem pendidikan di negara kita boleh mengambil teladan menerusi filem tersebut,” katanya sebelum tayangan filem 3 Idiots di Kuala Lumpur pada 22 Januari lalu.

Tambahnya, kementeriannya akan mengambil kira kesemua maklum balas daripada kira-kira 70 rakan-rakan FB selepas menonton filem tersebut dan akan cuba sedikit sebanyak mengubah sistem pendidikan pengajian tinggi sedia ada.

Tayangan ini merupakan aktiviti kedua yang diadakan untuk rakan-rakan FBnya selepas sambutan hari ke-100 beliau menyertai laman sosial Internet tersebut pada tahun lepas.

Dalam pada itu, Moeenuddin Ahmed Khan, seorang pelajar dari Pakistan menyambut baik tayangan filem 3 Idiots.

“Filem itu memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar seperti saya untuk melangkah jauh dalam hidup dan tidak hanya berserah kepada takdir sahaja.

“Senario dalam filem itu memang wujud di kalangan pelajar di serata dunia dan tayangan seperti ini menyediakan satu platform untuk pelajar-pelajar seperti saya untuk menyuarakan pendapat kepada kementerian yang berkaitan,” tambahnya.

Moeenuddin merupakan salah seorang daripada 5000 rakan FB Saifuddin dan telah menjadi rakan FB beliau menerusi laman tersebut selama 7 bulan.

Sementara itu, Nurhafizah Khairi pula berpendapat aktiviti-aktiviti seumpamanya harus diadakan dari semasa ke semasa untuk menjalinkan hubungan antara ahli-ahli kelab FB tersebut.

“Aktiviti seperti ini mendekatkan lagi jurang antara pemimpin dan rakyat.

“Ia juga memberikan ruang kepada generasi kini untuk meluahkan pendapat mereka menerusi saluran yang betul,” kata gadis yang berusia 22 tahun itu. - mStar online

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya