KUALA LUMPUR 19 Jan. - Malaysia masih berada pada kedudukan yang baik untuk terus memainkan peranan sebagai peneraju dunia kewangan Islam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Gulf News di Abu Dhabi.
Antara perancangan negara untuk liberalisasi kewangan, katanya, ialah kelulusan dua lesen untuk dua bank Islam besar di Malaysia, dengan modal masing-masing melebihi AS$1 bilion.
''Minat untuk terlibat dalam perbankan Islam baharu yang kami umumkan itu sangat menggalakkan," katanya dalam temu bual eksklusif yang berlangsung sempena Sidang Kemuncak Tenaga Masa Depan Dunia.
Perdana Menteri yang kini dalam rangka lawatan rasmi ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 17 hingga 19 Januari juga berkata, Malaysia sedang berusaha untuk mewujudkan "pusat fisikal ikon" bagi menempatkan semua institusi Islam yang berurusan dengan kewangan Islam.
Najib berkata, penonjolan Malaysia dalam kewangan Islam serta ikatan emosi dan rohani yang kukuh merupakan antara faktor yang merapatkan rantau Arab secara am dan negara Teluk khususnya.
''Sejak kemunculan Islam di rantau ini, kami sudah menikmati ikatan emosi dan rohani dengan dunia sebelah sini dan ikatan itu terus kukuh hingga hari ini.
''Berdasarkan ikatan dan pengenalan semula jadi dengan bahagian dunia di sini, aktiviti perdagangan juga berlaku secara semula jadi," katanya.
Mengenai impak krisis kewangan dunia ke atas struktur kewangan Islam, Najib berkata, sistem perbankan Islam berjaya menangani krisis kewangan kerana asas kawal selia yang baik, selain hakikat bahawa ia tidak berganjak daripada prinsip-prinsip asas.
Beliau berkata, kewangan Islam tidak seperti perbankan komersial yang mempunyai banyak produk baharu yang tidak berasakan fundamental tetapi beroperasi pada asas yang lain. - Utusan
0 comments:
Post a Comment