Ukhwah bantu Nur Izzati

Monday, January 25, 2010


Nur Izzati melambaikan tangan kepada keluarganya sebelum berlepas ke Rumah Anak Koperasi Ukhwah di Subang Jaya untuk melanjutkan pelajaran di SMK SS17, Subang Jaya setelah mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR di Kampung Manjui Baru Tambahan, Perak, semalam.


IPOH 24 Jan. - Kira-kira dua bulan lalu, murid cemerlang yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ini hanya mampu menangis apabila rakan-rakan lain gembira memegang slip keputusan peperiksaan.

Kegagalan membayar yuran sekolah sebanyak RM57 menyebabkan slip keputusannya ditahan dan dia hanya mampu melihat keputusan tersebut di papan kenyataan.

Namun hari ini, Nur Izzati Azahar, 13, sudah boleh tersenyum apabila Koperasi Pendidikan Islam Malaysia Berhad (Ukhwah) menawarkannya tempat di Rumah Anak Koperasi Ukhwah di Subang Jaya.

Melalui Rancangan Khas Pendidikan Koperasi Ukhwah, Nur Izzati akan didaftarkan ke salah sebuah sekolah terbaik di Selangor iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) SS17, Subang Jaya.

Pengurus Perhubungan Awam merangkap Pengurus Rumah Anak Koperasi, Sharifah Aminah Al-Habshee berkata, koperasi yang ditubuhkan lima tahun lalu itu memang dibuka khas untuk membantu pelajar-pelajar miskin.

Menurut beliau, pihaknya terpanggil untuk membantu Nur Izzati apabila membaca laporan akhbar sebelum ini.

"Saya rasa sebak dan sedih apabila membaca kisah Nur Izzati yang bercita-cita melanjutkan pengajian ke sekolah berasrama penuh tetapi keluarganya tidak mampu.

"Kita memang bersedia membantu kerana melihat kepada kejayaannya. Jika berpotensi menjadi salah seorang pelajar cemerlang, mengapa kita tidak membantu," katanya ketika ditemui di rumah Nur Izzati, di sini.

Utusan Malaysia pada 19 November lalu menyiarkan kisah Nur Izzati yang tidak dibenarkan mengambil slip peperiksaan UPSR kerana gagal membayar yuran sekolah sebanyak RM57.

Kemiskinan keluarga menyebabkan bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tarcisian Convent ini 'berhutang' dengan pihak sekolah.

Anak kedua pasangan Azahar Ariffin, 42, dan Fatimah Ahmad, 43, ini adalah antara 34 murid SK Tarcisian Convent yang mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu (Penulisan), Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Bapa Nur Izzati ketika ditemui bersyukur kerana ada pihak yang prihatin dengan nasib anaknya.

Menurut Azahar, anaknya itu turut mendapat tawaran untuk belajar di Sekolah Menengah Sains, Teluk Intan, tetapi dia tidak mampu menghantar Nur Izzati ke sana kerana perbelanjaan yang tinggi.

Sementara itu, Nur Izzati yang kelihatan ceria, menunggu kedatangan pihak Ukhwah seawal pukul 11 pagi lagi untuk bertolak ke Subang Jaya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya