Melaka, syarikat India labur RM500 juta dalam bidang bioteknologi

Friday, January 22, 2010

NEW DELHI 21 Jan. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengalu-alukan langkah Kerajaan Negeri Melaka mengadakan usahasama dengan syarikat India dalam bidang bioteknologi melibatkan pelaburan kira-kira RM500 juta.

"Ini merupakan satu langkah yang baik dalam konteks hubungan Malaysia-India kerana India mempunyai kepakaran dalam bidang bioteknologi," katanya.



Bercakap pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenainya di sini hari ini, Perdana Menteri berharap kerjasama itu akan menghasilkan pendapatan bukan sahaja di peringkat penyelidikan tetapi juga menjadi produk komersial yang menguntungkan.

Majlis menandatangani MoU itu dilakukan bersama oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Pengarah Vivo Biotech Ltd., Datuk Kuna Sittampalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat; Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Sementara itu, Mohd Ali mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberi oleh Perdana Menteri berhubung usahasama tersebut.

Melalui MoU itu, Melaka melalui anak syarikatnya Biotech Holdings Sdn. Bhd. akan bekerjasama dengan Vivo Bio Tech Limited India dan Vanguard Creative Technologies Sdn. Bhd. membina sebuah kilang bioteknologi di kawasan seluas 2.02 hektar di Kawasan Perindustrian Zarina, Rembia, Alor Gajah.

Mohd Ali berkata, kerja-kerja pembinaan makmal akan bermula Februari ini yang dijangka siap dalam tempoh setahun dan ia mampu mewujudkan 200 peluang pekerjaan.

Melalui pelaburan itu, syarikat akan menyasarkan pembangunan, pengujian dan pemasaran perubatan terapeutik bioteknologi moden untuk merawati pelbagai penyakit antaranya kanser dan diabetes.

Pada masa yang sama ia juga akan memberi peluang kepada pemindahan teknologi untuk rakyat Malaysia khususnya pakar-pakar dan pelajar dalam bidang berkenaan.

Beliau percaya produk yang akan dihasilkan nanti dapat memasuki pasaran Asia seterusnya dunia kerana Vivo Biotech telah menerima status Bio Nexus. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya