PM gesa seluruh rakyat beri khidmat sukarela

Sunday, January 31, 2010

Golongan miskin perlu dibantu tanpa perbezaan kaum

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak meminta seluruh rakyat Malaysia yang berkemampuan berganding bahu memberi khidmat sukarela dalam pelbagai kegiatan amal bagi memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik tanpa membezakan warna kulit, bangsa dan agama.

Perdana Menteri berkata, sumbangan dan bantuan itu perlu berdasarkan keperluan asas rakyat negara ini terutama yang kurang bernasib baik.

Malah, katanya, kerajaan sememangnya amat mengalu-alukan semangat sukarelawan kerana penyertaan mereka dalam kegiatan amal dapat mengharmonikan negara sekali gus membawa kesejahteraan rakyat.

"Inilah semangat 1Malaysia yang perlu dipegang semua pihak kerana kita adalah rakyat satu bangsa dan negara dan semangat seperti ini akan mengukuhkan lagi perpaduan rakyat," katanya berucap pada Majlis Perasmian Kem Kesihatan dan Perubatan 1Malaysia di Kuala Pahang, dekat sini, semalam.

Kem sehari yang dikunjungi lebih 1,000 penduduk sekitar kawasan Parlimen Pekan itu dianjurkan Kelab Rotary Metro Diraja Kuantan (KRMDK) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan Majlis Daerah Pekan. 

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wan Razali Wan Mahussin; Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan, Datuk Ishak Muhamad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Presiden KRMDK, Dr S Kanapathy Pillai dan Penasihat Kem Kesihatan dan Perubatan 1Malaysia, Datuk Dr Penny Tevaraj.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, usaha dan kesediaan kelab itu melakukan kerja amal sedemikian adalah satu nilai murni yang membanggakan beliau sebagai Perdana Menteri.

"Apa yang dilakukan Kelab Rotary menerusi program ini benar-benar memperlihatkan semangat 1Malaysia kerana walaupun ramai ahlinya dari kalangan bukan Melayu tetapi mereka sanggup berkhidmat di kampung nelayan yang majoritinya penduduk Melayu di Kuala Pahang ini," katanya.

Beliau berkata, mereka yang lebih bernasib baik seharusnya sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki berbanding dengan mereka yang kurang berkemampuan seperti penduduk di Kuala Pahang yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan.
Sementara itu, Dr Kanapathy dalam ucapannya berkata, kelab yang baru berusia tiga tahun itu bermatlamat membawa senyuman kepada semua rakyat Malaysia sama ada Melayu, Cina dan India dengan menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

Pada majlis itu, KRMDK turut menganugerahkan Keahlian Kehormat kepada Najib sebagai menghargai sumbangannya kepada masyarakat dan rakyat negara ini.

Terdahulu, Najib turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) daerah Pekan termasuk anak Orang Asli. - Berita Harian

Najib yakin penembusan jalur lebar capai sasaran

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak yakin sasaran penembusan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) di seluruh negara, termasuk di kawasan luar bandar pada kadar 50 peratus menjelang akhir tahun ini dapat dicapai.

Perdana Menteri berkata, setakat ini, usaha kerajaan ke arah itu sudah memberi hasil memberangsangkan apabila berjaya mencatat penembusan jalur lebar isi rumah pada tahap 31.7 peratus akhir tahun lalu, berbanding sasaran 30 peratus.

Berikutan itu, katanya, kerajaan akan terus mempertingkatkan usaha dengan melaksanakan pelbagai strategi bagi membudayakan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) supaya menjadi sebahagian gaya hidup rakyat.

“Kita berada di landasan betul untuk capai sasaran itu akhir tahun ini dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Majlis Ekonomi akan memantau perkembangannya,” katanya selepas pelancaran Digital Pekan 1Malaysia, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Pengerusi SKMM, Tan Sri Khalid Ramli.

Pelancaran Digital Pekan 1Malaysia sebagai ‘Daerah Digital’ pertama di negara ini adalah satu daripada inisiatif HSBB dan ICT dalam agenda Jalur Lebar Kebangsaan yang bermatlamat menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada rakyat.

Tujuh teras yang akan dilaksanakan bagi mewujudkan Digital Pekan merangkumi penyediaan infrastruktur dan akses, aplikasi dan pendidikan serta kandungan komuniti.

Teras itu ialah mewujudkan pusat sehenti maklumat ICT/jalur lebar, menyediakan komputer riba lengkap dengan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada penduduk terpilih, menyediakan perkhidmatan ‘wireless Pekan’ iaitu capaian percuma kepada internet tanpa wayar untuk jangka masa tertentu.

Program ‘Virtual Pekan Memoria’ iaitu program galakan pembangunan perisian seperti pertandingan blog, bercerita digital, Laman Komuniti Pekan, promosi dan kempen kesedaran menggalakkan penggunaan internet dan penyediaan serta pelaksanaan perkhidmatan e-Kerajaan iaitu e-Pekan. - Berita Harian

Pekebun limau bali diberi hak 99 tahun

IPOH: Kerajaan Perak bersetuju memberi hak milik pajakan selama 99 tahun kepada 62 penanam limau bali di Ampang dekat sini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, pemilik bagi tanah pertanian seluas 46 hektar itu bagaimanapun disyaratkan hanya mengusahakan tanaman limau bali yang juga dikenali sebagai limau Tambun.

Katanya, kerajaan negeri juga bersetuju melupuskan denda kepada petani kerana mengusahakan tanaman berkenaan di atas tanah kerajaan sejak 50 hingga 60 tahun lalu.

Sebaliknya, petani kini dikehendaki membayar premium kira-kira RM1,000 setiap hektar untuk mendapat hak milik pajakan.

“Pemberian tanah ini membabitkan antara 0.04 hingga 1.79 hektar setiap lot dan tidak membabitkan plot semula kerana kita meluluskan atas apa yang sudah mereka usahakan. - Berita Harian

Rangsang saiz pelaburan swasta

Saturday, January 30, 2010

KERAJAAN bercadang menukar status sekurang-kurangnya 15 hingga 17 syarikat yang dimiliki Kementerian Kewangan (MoF) sebagai syarikat persendirian bertujuan bagi meningkatkan pelaburan sektor swasta.

LANCAR...Ahmad Husni (kanan) bersama Ahmad Zukri melancarkan cawangan BIMB yang ke-100, semalam.
LANCAR...Ahmad Husni (kanan) bersama Ahmad Zukri melancarkan cawangan BIMB yang ke-100, semalam. 
 
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata buat masa ini, kerajaan mengenal pasti beberapa syarikat yang dimiliki MoF untuk disenaraikan di Bursa Malaysia atau dijadikan syarikat persendirian.

Katanya, matlamat utama kerajaan berkaitan cadangan itu untuk meningkatkan saiz pasaran.

“Kerajaan mungkin akan menukar syarikat berkenaan sama ada menerusi pemindahan langsung atau penyenaraian ke pasaran saham. “Bagaimanapun, kerajaan belum ada mekanisme untuk melaksanakan inisiatif berkenaan. “Matlamat utama sekarang ialah meningkatkan saiz pasaran, bermakna kita perlu mempunyai tawaran saham awam permulaan (IPO) yang baru.

“Justeru, kami melihat kemungkinan mengenainya dan perkara itu dikaji kementerian,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. Terdahulu, Husni melancarkan cawangan Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) yang ke-100 di Damansara.

Hadir sama, Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat. Menurutnya, proses penyenaraian dan penswastaan itu dipercayai menjadi antara langkah diambil kementerian bagi memastikan ekonomi negara berkembang pada kadar lima peratus tahun ini.

Mengenai pertumbuhan ekonomi tahun ini, Ahmad Husni berkata, Malaysia yakin mencapai pertumbuhan lima peratus.

Beliau berkata, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang positif dijangka berlaku menjelang suku terakhir 2009 selepas tiga suku berturut-turut mengalami penguncupan semasa tahun berkenaan. - Harian Metro

Galak jadi rakan niaga TM

TELEKOM Malaysia Bhd (TM) komited dengan janji menyampaikan akses jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) kepada pengguna dengan menawarkan akses kepada pencari akses atau penyedia perkhidmatan nilai tambahan berpotensi.

Justeru, satu taklimat mengenai harga port, ketersediaan dan kemajuan pelancaran HSBB termasuk HSBB-Pukal (HSBB-A) diadakan kepada lebih 100 pemain industri dan rakan niaga nilai tambahan, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Zamzamzairani Mohd Isa, berkata TM komited dengan janji untuk mewujudkan persekitaran sama rata dan ‘akses terbuka’ kepada semua pencari akses yang layak.

“Kami ingin menggalakkan semua pencari akses yang memegang lesen SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) dan rakan niaga tambahan nilai untuk menjadi rakan niaga TM dengan syarat masih tertumpu kualiti penyampaian perkhidmatan di semua peringkat.

“Justeru, jualan akses perkhidmatan HSBB-A akan dibuka untuk pencari akses serentak dengan pelancaran perkhidmatan HSBB untuk pengguna runcit pada Mac depan di empat kawasan iaitu Bangsar, Shah Alam, Subang Jaya dan Taman Tun Dr Ismail.

“Penyedia perkhidmatan nilai tambahan yang berminat dalam perkhidmatan HSBB-A boleh memulakan perbincangan dengan TM dan melancarkan perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Port pukal HSBB-A diletakkan pada harga berpatutan dan berdaya saing bagi semua pencari akses (iaitu di antara RM52 kepada RM55 setiap port bergantung kuantiti dan tempoh kontrak) bagi meningkatkan ekosistem penyedia perkhidmatan tambahan nilai yang menumpang pada rangkaian HSBB. - Harian Metro

Dana RM700j biaya semula bantuan pelajaran dihenti

Thursday, January 28, 2010

Daripada Zainor Said di Cebu, Filipina


MUHYIDDIN bersalaman dengan Setiausaha Eksekutif kepada Presiden Filipina, Eduardo Ermita selepas majlis perasmian Persidangan Majlis Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara Kali Ke-45 (Seameo) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran Asean kali kelima (Ased) di Filipina, semalam.

Ibu bapa miskin tanggung beban banyak skim dipotong: TPM

KEMENTERIAN Pelajaran akan mendapat peruntukan tambahan RM700 juta bagi membiayai semula pelbagai bentuk bantuan yang terpaksa dihentikan sebelum ini, berikutan pengurangan peruntukan diberikan tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pada mesyuarat Kabinet pagi semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bersetuju supaya bantuan dihentikan sebelum ini dilaksanakan semula bagi meringankan beban pelajar dan ibu bapa.

Katanya, bantuan berkenaan membabitkan Skim Bantuan Tuisyen (SBT) pelajar miskin, bantuan pakaian seragam unit beruniform, bantuan makanan asrama, rancangan makanan tambahan, elaun murid berkeperluan khas dan bantuan sukan dan kokurikulum.

“Kita sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan, mana-mana kemudahan sebelum ini terpaksa dipotong dan kini bebannya mula memberi kesan kepada rakyat, kita harus kaji dan laksanakan semula.

“Langkah ini membuktikan kerajaan prihatin dengan beban yang terpaksa ditanggung rakyat terutama ibu bapa yang berpendapatan rendah di pedalaman.

“Dengan langkah ini, kita harap tidak akan timbul masalah ibu bapa yang tidak mampu menghantar anak mereka ke sekolah kerana bantuan kini disalurkan semula, ” katanya kepada wartawan Malaysia petang semalam, selepas tamat hari kedua Persidangan Majlis Menteri-Menteri Pelajaran Asean ke-45, di sini, yang bermula kelmarin dan berakhir esok.

Kemudahan SBT hanya diberikan kepada murid Tahun Empat, Lima dan Enam sekolah rendah kerajaan dan sekolah rendah bantuan kerajaan dengan pendapatan bulanan keluarga kurang RM530 di Semenanjung, Sabah (RM585) dan Sarawak (RM685).

SBT bertujuan membantu murid yang lemah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik serta Sains, dan mereka layak menerima 10 baucar bernilai RM10 untuk setiap mata pelajaran berkenaan.

Berhubung perasaan tidak puas di kalangan pemimpin kesatuan guru di Sabah dan Sarawak apabila mendapati tidak terdapat sekolah di negeri berkenaan tersenarai sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi yang diumum beliau kelmarin, Muhyiddin berkata, kementerian tidak bersikap menganaktirikan mana-mana sekolah di negeri tertentu.
Katanya, pemilihan 20 sekolah itu berdasarkan kriteria ketat serta piawaian yang ditetapkan.

Beliau berkata, soal piawaian dan kriteria pemilihan tidak boleh di kompromi dan setiap sekolah yang dipilih harus memenuhi standard yang ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, pihak kementerian akan mengumumkan 30 lagi Sekolah Berprestasi Tinggi kumpulan kedua tahun depan dan 50 lagi pada 2012 menjadikan semua 100 sekolah.

Sehubungan itu, katanya, sekolah yang tidak terpilih kali ini masih mempunyai peluang untuk tersenarai. - Berita Harian

Sabah terima geran ternakan kambing

Tuesday, January 26, 2010

KOTA KINABALU 25 Jan. - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri menerima peruntukan RM3.1 juta daripada Kerajaan Pusat bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bidang ternakan kambing di negeri ini.

Menterinya, Datuk Yahya Hussin berkata, peruntukan dalam bentuk geran itu adalah sumbangan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang diberikan pada hujung tahun lalu.

"Kerjasama ini melibatkan kementerian saya dan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) kerana negeri ini berpotensi besar bagi dibangunkan dengan ternakan kambing dalam skala yang besar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan pemimpin Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sarawak di Wisma Pertanian Sabah, di sini hari ini.

Rombongan seramai sembilan orang tersebut diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Francis Harden Hollis yang juga Menteri Muda Pembangunan Tanah Sarawak.

Yahya yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, pihaknya kini menumpukan ternakan kambing jenis Boer yang diimport dari Australia berikutan potensinya yang tinggi.

Beliau memberitahu, Sabah kini mempunyai beberapa pusat ternakan kambing jenis itu dan antara yang terbesar ialah di Pusat Pembiakbakaan Kambing Boer di Kabang, Papar.

"Pusat ini yang dimiliki Koperasi Pembangunan Desa (KPD) beroperasi sejak 2005 di kawasan seluas 20 hektar dan menempatkan lebih 1,500 ekor kambing Boer," katanya.

Selain itu jelas beliau, KPD turut mempunyai dua buah lagi pusat ternakan iaitu di Kampung Kelatuan, Papar selain di Bukau, Beaufort dengan masing-masing menempatkan antara 500 hingga 1,000 ekor kambing. - Utusan

Dua syarikat India minat melabur di Pahang

TEMERLOH 25 Jan. - Dua syarikat terkemuka dari India berminat untuk menanam modal dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta penyelidikan bioteknologi di Pahang pada tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, dua syarikat tersebut telah menyatakan hasrat mereka untuk melabur di negeri ini pada lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke India baru-baru ini.

''Semasa di India, kita (Pahang) sempat menjalinkan hubungan dengan beberapa syarikat untuk meneroka bidang bioteknologi terutama sel stem," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Persatuan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) di Dewan Tun Razak di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Presiden Perkasa, Datuk Paduka Ibrahim Ali.

Adnan merupakan antara beberapa menteri besar dan ketua menteri yang mengikuti rombongan pelaburan ke India bersama Najib baru-baru ini.

Adnan memberitahu, pihaknya akan melakukan tindakan susulan dengan menghantar rombongan pelaburan untuk mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan dua syarikat terbabit.

''Saya akan membawa anggota Exco kerajaan negeri ke India semula untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi merealisasikan hasrat ini," jelasnya.

Beliau yakin pelaburan syarikat terbabit dalam bidang bioteknologi dan ICT akan merancakkan lagi sektor industri di Pahang sekali gus menjana pendapatan negeri.

''Faedahnya akan dinikmati oleh rakyat apabila pendapatan kerajaan negeri bertambah," jelasnya. - Utusan

Mara Rancang Lahir Usahawan Jutawan Menerusi 'Groom Big'

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan melaksanakan program 'Groom Big' yang bermatlamat melahirkan usahawan bergelar jutawan, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Ibrahim Muhamad hari ini.

Beliau berkata, program itu yang dijangka dilaksana sebelum akhir tahun ini akan mensasarkan usahawan sedia ada dan juga usahawan baru yang berpotensi.

"Saya tidak boleh dedahkan lagi maklumat terperinci mengenai program ini tetapi antara yang akan kita buat ialah mengadakan kursus bagi usahawan-usahawan itu untuk memajukan lagi perniagaan mereka," katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan agensi itu di sini hari ini.

Ibrahim yang memegang jawatan itu mulai 1 Januari lepas berkata, beliau juga merancang untuk memastikan lebih ramai pelajar tajaan Mara melanjutkan pengajian di luar negara.

"Kita perlu meletakkan sasaran pelajar tajaan Mara untuk memasuki universiti tersohor di seluruh dunia seperti Harvard, Cambridge dan Oxford, dan seterusnya menyarankan kepada pelajar untuk meneruskan pengajian ke peringkat sarjana dan kedoktoran, selain mengikuti kursus sijil-sijil profesional," katanya.

Bagi meningkatkan prestasi Mara secara keseluruhan, Ibrahim berkata, pihaknya sedang meneliti kemungkinan melantik konsultan untuk menilai agensi itu daripada semua aspek.

"Dengan cara ini kita dapat lihat hala tuju Mara seterusnya," kata beliau yang berazam untuk memelihara kualiti agensi yang ditubuhkan pada 1966 itu. - mStar online

Filem 3 Idiots Jadi Teladan Untuk Perbaiki Sistem Pendidikan Sedia Ada


Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah (ketiga dari kiri) sedang berbincang dengan rakan-rakan Facebook beliau semasa tayangan itu. -Foto THE STAR oleh SAMUEL ONG
 
FILEM 3 Idiots lakonan Aamir Khan yang sedang ditayangkan di seluruh tanah air sekarang bukan setakat menghiburkan malah menyelitkan unsur-unsur teladan mengenai institusi pendidikan.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila ia dipilih sebagai tayangan Facebook (FB) Hour Out & About khas buat rakan-rakan FB Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Kata beliau, filem itu dipilih untuk mendapatkan maklum balas daripada golongan remaja mengenai aspek pendidikan yang hanya diukur berasaskan kecemerlangan.

“Filem itu menggambarkan situasi di mana sistem pendidikan di India mementingkan kecemerlangan dalam pelajaran semata-mata dan bagaimana sistem pendidikan di negara kita boleh mengambil teladan menerusi filem tersebut,” katanya sebelum tayangan filem 3 Idiots di Kuala Lumpur pada 22 Januari lalu.

Tambahnya, kementeriannya akan mengambil kira kesemua maklum balas daripada kira-kira 70 rakan-rakan FB selepas menonton filem tersebut dan akan cuba sedikit sebanyak mengubah sistem pendidikan pengajian tinggi sedia ada.

Tayangan ini merupakan aktiviti kedua yang diadakan untuk rakan-rakan FBnya selepas sambutan hari ke-100 beliau menyertai laman sosial Internet tersebut pada tahun lepas.

Dalam pada itu, Moeenuddin Ahmed Khan, seorang pelajar dari Pakistan menyambut baik tayangan filem 3 Idiots.

“Filem itu memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar seperti saya untuk melangkah jauh dalam hidup dan tidak hanya berserah kepada takdir sahaja.

“Senario dalam filem itu memang wujud di kalangan pelajar di serata dunia dan tayangan seperti ini menyediakan satu platform untuk pelajar-pelajar seperti saya untuk menyuarakan pendapat kepada kementerian yang berkaitan,” tambahnya.

Moeenuddin merupakan salah seorang daripada 5000 rakan FB Saifuddin dan telah menjadi rakan FB beliau menerusi laman tersebut selama 7 bulan.

Sementara itu, Nurhafizah Khairi pula berpendapat aktiviti-aktiviti seumpamanya harus diadakan dari semasa ke semasa untuk menjalinkan hubungan antara ahli-ahli kelab FB tersebut.

“Aktiviti seperti ini mendekatkan lagi jurang antara pemimpin dan rakyat.

“Ia juga memberikan ruang kepada generasi kini untuk meluahkan pendapat mereka menerusi saluran yang betul,” kata gadis yang berusia 22 tahun itu. - mStar online

Hikmah dipelbagaikan amal


Solat adalah ibadat yang paling utama di dalam Islam. - Gambar hiasan


Islam itu unik, indah dan sempurna. Maka sudah tentulah apa yang terkandung di dalamnya juga penuh dengan keunikan, keindahan dan kelebihan. Namun, tidak semua keindahan dan keunikan itu dapat dilihat dengan mata kasar.

Ada di antaranya yang perlu diselami dengan mata hati yang hanya dimiliki oleh insan-insan yang sentiasa menjaga hatinya dari titik-titik hitam, menggilap hatinya dengan zikrullah dan disinari hatinya dengan makrifatullah.

Minggu ini, kami mengajak pembaca menggali dan menghayati satu lagi khazanah dan hikmah di sebalik kejadian Allah yang telah dirakamkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al Sakandari r.a dalam kalam hikmahnya:

"Tatkala Allah mengetahui timbul dari diri kamu perasaan jemu, Dia mempelbagaikan untuk kamu amalan ketaatan.

"Tatkala Dia mengetahui di dalam diri kamu wujud kerakusan, maka Dia mengehadkannya ke atas kamu pada waktu-waktu tertentu untuk menjadikan keinginan kamu itu mendirikan solat bukannya mengadakan solat. Tidak semua yang solat itu mendirikan solat".

Allah SWT dengan limpahan sifat kemurahan dan kasih sayang-Nya mengurniakan kepada hamba-hamba-Nya pelbagai amalan ketaatan untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Tergopoh-gapah

Ini kerana Allah mengetahui hamba-Nya akan jemu jika melakukan sejenis ketaatan kerana menjadi tabiat nafsu merasa jemu dengan mengulang-ulang perkara yang sama.

Seorang penyair pernah mengungkapkan: "Nafsu tidak akan dapat diperbaiki apabila ia ditadbir (diatur); melainkan dengan memindahkannya atau mengalihkannya dari satu keadaan kepada satu keadaan yang lain".

Dengan adanya pelbagai amalan ketaatan yang disediakan, apabila seseorang itu jemu melakukan solat sunat maka dia boleh beralih melakukan amalan zikir. Apabila dia jemu berzikir dia boleh membaca al-Quran, berpuasa, bersedekah dan sebagainya. Zikir itu pula mempunyai bermacam-macam jenis.

Sheikh Zarruq r.a berkata: Dipelbagaikan amalan ketaatan bagi hamba kerana tiga sebab:

1. Rahmat daripada Allah untuk merehatkan dan memberi peluang kepada hamba-Nya menggilir-gilirkan atau menukar ganti amalan ketaatan dari satu amalan kepada satu amalan.

2. Sebagai hujah ke atas mereka kerana tidak ada alasan lagi bagi mereka untuk meninggalkan amalan ketaatan.

3. Dengan adanya pilihan akan menetapkan mereka dengan pelbagai amalan yang melayakkan mereka mendapat kemuliaan tertentu dari amalan-amalan tersebut dan memudahkan mereka beramal.

Orang yang jemu beramal, akan bersikap tergopoh-gapah melakukannya kerana tiada penentuan waktu beramal. Oleh itu, dibataskan pula amalan itu pada waktu-waktu tertentu, sebagaimana disebut dalam Hikam: "Tatkala Dia mengetahui di dalam diri kamu wujud kerakusan, maka Dia mengehadkannya pada waktu-waktu tertentu".

Bergegas-gegas dalam melakukan amalan, akan menatijahkan tiga kerosakan: Meninggalkan amal apabila dilakukan secara berterusan, berasa jemu sekalipun dia tidak meninggalkan amalannya dan berlaku banyak kecacatan dalam melaksanakan amal.

Mengehadkan waktu-waktu tertentu bagi suatu amal, mendatangkan tiga faedah: Mengelakkan kerakusan beramal, menghalang daripada penangguhan amal dan teguh beramal.

Jika tiada penentuan waktu, akan menyebabkan amalan tersebut dikerjakan secara sambil lewa, bertangguh-tangguh dan tidak dijaga kerana dikuasai oleh dorongan nafsu.

Tujuan pembatasan waktu adalah membentuk keazaman yang tinggi melakukan amal dengan yakin dan bernilai seperti disebut: "Untuk menjadikan keazaman kamu itu mendirikan solat bukannya mengadakan solat".

Rahsia dibataskan solat pada waktu-waktu tertentu bagi melahirkan perasaan rindu kepada solat tersebut. Dengan adanya kerinduan ini, akan terhasillah dalam solat tersebut rasa khusyuk, hadir hati dan ketenangan atau disebut sebagai penyejuk hati.

Berbeza jika solat itu dilakukan secara berterusan, maka tidak akan ada perasaan rindu kepadanya.

Bahkan mengundang perasaan jemu dan mengakibatkan amalan yang dilakukan tidak sempurna.

Maksud yang dikehendaki dalam melakukan solat ialah pergerakan hati dan bukannya pergerakan jasad semata-mata: "Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada luaran kamu, atau amalan zahir kamu, tetapi Dia memandang kepada hati kamu".

Selain itu, rahsia penentuan waktu solat adalah membentuk keazaman mendirikan solat dengan melaksanakan hak-hak zahir dan batin, dan bukan sekadar mengadakan solat. Solat sedemikian bagaikan bangkai yang busuk dan ia lebih dekat kepada azab Allah.

Umar ibn Abdul Aziz r.a menulis kepada para pekerjanya: "Sesungguhnya pekerjaan kamu yang terpenting padaku adalah solat. Sesiapa yang memelihara dan menjaganya maka amalan yang lain akan lebih dipeliharanya. Sesiapa yang mengabaikannya, maka dia akan lebih mengabaikan amalan yang lain".

Di dalam Hikam seterusnya disebut: "Tidaklah semua orang yang solat itu mendirikan solat. Iqamah atau mendirikan dari sudut bahasa bermaksud menyempurnakan dan meneliti. Dikatakan, si fulan telah mendirikan rumahnya, apabila dia telah menyempurnakan rumahnya dan melengkapkan segala keperluan di dalamnya. Maka orang yang mendirikan solat ialah orang yang meneliti solatnya".

Tidak semua orang yang solat itu mendirikan solat. Berapa ramai orang yang solat tidak mendapat apa-apa dari solatnya melainkan penat lelah.

Membanyakkan zikir 

Di dalam hadis, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang solatnya tidak menegahnya daripada melakukan perkara keji dan mungkar, maka tidak bertambah apa-apa pahala baginya dari Allah melainkan semakin jauh daripada-Nya".

Di dalam hadis lain disebut: "Apabila seseorang hamba itu mengerjakan solat tetapi tidak menyempurnakan rukuknya, sujudnya dan khusyuknya, maka solatnya itu direnyuk seperti mana merenyuk baju yang lusuh, kemudian dicampakkan ke mukanya".

Sheikh Abu Abbas al Mursi r.a berkata: "Di dalam al-Quran, setiap ayat yang menyebut tentang orang yang mengerjakan solat yang dipuji, disebut dengan lafaz iqamat (mendirikan) atau yang seerti dengannya.

Misalnya, firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 3: Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan solat.
Doa Nabi Ibrahim a.s dalam surah Ibrahim ayat 40: Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat.
 
Allah juga berfirman: Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan solat, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya. (al Hajj: 35)

Disebut orang yang melakukan solat dalam keadaan lalai dengan kalimah "Orang yang solat", seperti firman Allah: Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang solat (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya. (al-Maa'un: 4-5) dan tidak disebut: Maka celakalah bagi orang-orang yang mendirikan solat.

Ketahuilah, khusyuk di dalam solat mempunyai tiga martabat:

1. Khusyuk dengan merasakan gerun, rendah diri dan hina diri. Iaitu khusyuk bagi ahli ibadah dan orang yang zuhud.

2. Khusyuk dengan merasakan kebesaran, kehebatan dan keagungan Allah. Iaitu khusyuk bagi Ahli Muridin dan Salikin.

3. Khusyuk dengan merasakan kegembiraan dan penghadapan hati kepada Allah. Ini adalah khusyuk bagi Ahli Wasilin di kalangan 'arifin. Inilah yang dinamakan Maqam Qurrah al 'Ain (penyejuk mata hati).

Ulama berkata: Tidak diterima solat seorang hamba melainkan setakat yang hadir hatinya. Maka ada kalanya diterima seperempat sahaja dari solatnya, ada kalanya setengah sahaja dan sebagainya mengikut kadar kekhusyukkannya.

Perkara yang boleh membantu untuk mendapatkan khusyuk adalah zuhud di dunia. Inilah ubat yang terbesar kerana mustahil jika ada di sisimu anak perempuan iblis, bapanya tidak datang menziarahi anaknya.

Kamu tidak akan terlepas daripada pelbagai lintasan selagi ia berada di dalam hati kamu; dan ia mengikut banyak atau sedikitnya ia berada di dalam hati kamu.

Mustahil, pohon dunia berada di dalam hati kamu, dan kamu boleh terlepas daripada lintasan-lintasannya. Burung-burung pasti hinggap dan berkicau di atas pohon itu. Setiap kali kamu menghalaunya, ia akan pergi. Tetapi ia akan kembali selagi kamu tidak menebangnya.

Di antara perkara lain yang membantu mendapatkan khusyuk adalah membanyakkan zikir dengan hati dan juga lidah serta sentiasa berada dalam keadaan suci kerana zahir itu amat berkait dengan batin.

Semoga solat kita ialah solat yang diterima oleh-Nya. Sesungguhnya solat itu adalah pembersih hati dan tempat munajat serta penghubung hamba-hamba Allah yang kerinduan terhadap Kekasihnya.

Bukalah dan bersihkanlah hati kita untuk mengenal Pemilik dan Pencipta diri kita, maka kita akan menjadi orang yang paling bahagia kerana telah dikurniakan syurga 'ajilah di dunia sebelum dianugerahkan syurga di akhirat iaitu pertemuan dengan-Nya di alam yang kekal abadi. Wallahu 'alam. - Utusan

UTHM tambah baik silibus akademik

BATU PAHAT 20 Jan. - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan merancang pelan tindakan untuk menyelaras dan menambah baik silibus program akademik dan kokurikulum sedia ada.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Mohd. Noh Dalimin berkata, langkah itu sejajar dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk memperkasakan kebolehpasaran graduan serta pembangunan holistik para penuntut mulai tahun ini.

Justeru, pihaknya akan merencanakan aktiviti bagi memperkasakan pengetahuan dan kemahiran generik para penuntut serta meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris dan komunikasi di kalangan mereka.

"Para penuntut yang berjaya memasuki universiti ini akan didedahkan dengan kegiatan kokurikulum berkredit secara komprehensif dan kemahiran insaniah," katanya dalam Amanat Tahun Baru 2010 di sini semalam.

Seramai 1,500 pegawai termasuk kakitangan akademik hadir pada taklimat yang disusuli pelancaran kios mesin juruwang automatik (ATM) enam buah bank termasuk CIMB Bank, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Muamalat Malaysia Berhad di pekarangan kampus universiti berkenaan.

Mohd. Noh menggesa Pusat Kebudayaan, Kokurikulum dan Sukan UTHM agar mengambil inisiatif terbaik untuk menyahut cabaran bagi membuktikan universiti berkenaan bergerak seiring dengan keperluan pendidikan tinggi negara.

Selain itu, UTHM juga akan terus memantapkan lagi program 'Finishing School' untuk para penuntut yang bakal bergraduan.

"Program ini akan dilaksanakan secara komprehensif dengan memantapkan lagi komponen utama pembelajaran iaitu kemahiran insaniah, teknikal, pembangunan keperibadian, pendedahan kepada teknologi terkini dan tambahan komponen berdasarkan keperluan semasa," katanya. - Utusan

Ladang kontrak lahirkan usahawan


Mohd. Mokhtar Ismail (kanan) meninjau tanaman cili semasa lawatan ke ladang kontrak di Pulau Indah, Pelabuhan Kelang, Selangor.


KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani sentiasa memberikan perhatian, khidmat nasihat dan bantuan bagi meningkatkan lagi tahap dan mutu pertanian di negara ini.

Salah satu cara adalah dengan mengubah pertanian tradisional kepada pertanian yang lebih moden dan mendatangkan hasil berlipat kali ganda.

Antaranya menerusi High Impact Project (HIP) atau Projek Berimpak Tinggi bagi membantu meningkatkan pertanian negara.

Buat masa ini terdapat lima Projek Berimpak Tinggi yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Zon Industri Akuakultur (ZIA), Pusat Fidlot Nasional (NFC), Industri Asas Tani (IAT) dan Ladang Kontrak.

Di Selangor saja terdapat 250 petani yang terlibat dengan ladang kontrak di mana 25 peserta atau 10 peratus terletak di Pulau Indah, Pelabuhan Kelang, Selangor.

Bermula hanya dua orang peserta ladang kontrak pada penghujung 2004 yang menanam tembikai tanpa biji, jagung manis dan timun susu pada tanah seluas lima ekar dan kini terdapat 25 pengusaha ladang kontrak berdaftar dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di atas tanah seluas 40 hektar (100 ekar).

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Mokhtar Ismail berkata, matlamat ladang kontrak adalah bagi memastikan pasaran, meningkatkan pendapatan, meningkatkan pemasaran, menghasilkan produk berkualiti serta meningkatkan teknologi rantaian berkekalan.

"Ladang kontrak merupakan hasil perjanjian dengan pengusaha dengan agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang diperbadankan (MoA Inc).

"Ini termasuk Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), FAMA dan Agro Bank," katanya selepas melakukan lawatan kerja ke lima buah ladang kontrak di Pulau Indah baru-baru ini.

Beliau menegaskan semua agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggembleng tenaga membantu petani dengan MARDI terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), Jabatan Pertanian memberikan bimbingan, pembiayaan dari Agrobank manakala FAMA pula terlibat dalam pemasaran.

"Sayur-sayuran dan buah-buahan mempunyai permintaan yang tinggi dan dengan adanya kontrak dengan FAMA dapat memastikan pendapatan petani yang berterusan," katanya.

Mohd. Mokhtar berkata, ladang kontrak telah mencapai sasaran yang ditetapkan dengan petani menanam 17 jenis sayur-sayuran dan 13 jenis buah-buahan berdasarkan permintaan dan keserasian tanah.

Kawasan Klang mempunyai peserta ladang kontrak paling ramai kerana jawatankuasa kerja yang aktif dalam membantu peserta.

Malah selepas Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) ditubuhkan melibatkan jentera kerajaan, organisasi bukan kerajaan dan ketua masyarakat menjadikan program ladang kontrak menjadi lebih mudah.

Sementara ini Pengarah FAMA Negeri Selangor, Rohizad Ridzwan berkata, MPPP melibatkan 22 kawasan Parlimen di Selangor dengan kerjasama jentera kerajaan, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan ketua masyarakat.

"Pulau Indah mencatatkan bilangan peserta ladang kontrak sehingga 10 peratus daripada seluruh Selangor kerana penglibatan ketua masyarakat serta golongan belia yang aktif dalam pertanian," katanya.

Manakala Pengarah Lembaga Pembangunan Nanas Malaysia (LPNM), Selangor Rosmizam Md. Yusof berkata, walaupun masih tidak terdapat penanam nanas berdaftar dengan pihaknya tetapi ini merupakan peluang memperkenalkan tanaman nanas di Pulau Indah.

"Buat masa ini pihak LPNM menjalankan promosi besar-besaran bagi menanam nanas dengan memberikan subsidi tanaman dalam bentuk input pertanian," katanya. - Utusan

Industri tani penjana kekayaan


Kejayaan Ahmat Termizi Dollah Kusni dan isterinya, Jamirah membuktikan industri asas tani melahirkan usahawan berjaya.


Dengan hanya bermodalkan RM50, Ahmat Termizi Dollah Kusni, 50, dari Kampung Bukit Bangkong, Sepang berjaya menjadi jutawan dalam industri kerepek ubi kayu.

Walaupun pernah tiga kali gagal, beliau akhirnya meraih kejayaan berkat kegigihan dan keyakinannya bahawa pertanian ialah suatu perniagaan.

Menurut Ahmat Termizi, beliau mula terbabit dalam penjualan kerepek ubi kayu pada tahun 1986 dengan modal hanya RM50 dan sebuah kuali yang dipinjam untuk menggoreng kerepek ubi.

"Saya pernah tiga kali gagal sehinggalah pada suatu ketika saya terpaksa menjadi pemandu lori," katanya ketika ditemui di kilang syarikat Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd di Jalan Mempelam, Kampung Bukit Bangkong, Sepang, Selangor.

Nasibnya mula berubah apabila beliau menubuhkan Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd pada tahun 1996.

Ahmat Termizi, Pengarah Urusan syarikat itu, berkata, hari ini beliau mempunyai beberapa lagi anak syarikat iaitu Jamirah Enterprise, JFI Marketing Sdn Bhd dan Gemba Marketing Sdn. Bhd.

Pada tahun 2004 syarikat itu mendapat Sijil Amalan Baik Ladang (GAP) dari Jabatan Pertanian sekali gus membuka lembaran baru untuk terus berkembang dalam perusahaan kerepek ubi kayu.

PENGALAMAN 20 TAHUN

"Selepas 20 tahun saya bekerja keras, akhirnya saya berjaya menembusi pasaran luar dan hari ini hampir 20 peratus daripada keluaran kilang saya seperti kerepek ubi dipasarkan di luar negara seperti United Kingdom, Australia, Dubai dan Vietnam," katanya.

Ketika ini kilangnya, yang mempunyai kira-kira 20 pekerja tetap, mampu menghasilkan tiga tan kerepek ubi kayu sehari. Menurut Ahmat, buat masa ini jualan kerepek ubi kayunya dengan jenama Agro Chips mencecah RM5 juta setahun iaitu 80 peratus untuk pasaran tempatan manakala selebihnya untuk pasaran luar negara.

TERNAK KAMBING

Sementara itu seorang lagi pengusaha, Mahathir Talib, 35, yang terbabit dalam bidang ternakan kambing secara komersil di Kampung Ulu Melaka, Alor Gajah, Melaka berkata beliau yakin sektor pertanian boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan jika bijak menggunakan peluang yang disediakan kerajaan.

Katanya potensi sektor penternakan sememangnya amat luas dan masih banyak lagi ruang yang boleh digunakan untuk mengembangkan lagi sektor itu.

"Melihat kepada potensi ini saya nekad menubuhkan syarikat MP Livestock di Kampung Ulu Melaka.

Pindah yang mengusahakan penternakan kambing, bebiri, lembu dan kerbau," katanya ketika ditemui di ladangnya.

Beliau berkata pada permulaan operasi beliau mempunyai 60 ekor baka betina dan lima ekor baka jantan daripada pelbagai jenis baka kambing seperti Jamnapari, Boer, Rubian, kampung (katjang), Sanean serta bebiri Barbados, Lonte dan Malin.

Menurutnya ketika ini syarikatnya menjalankan usahasama dengan beberapa syarikat pembekal baka kambing di Malaysia selain membekalkan daging kambing segar.

Mahathir berkata hari ini kambing yang diternaknya berjumlah 400 ekor dan syarikatnya mampu membekalkan 800kg daging kambing segar setiap minggu.

"Harga kambing ketika ini memang baik dan saya mampu menjual pada harga sekitar RM450 hingga RM1,800 seekor bergantung dengan berat dan baka kambing," katanya.

Beliau kini mempunyai kandang bersaiz kira-kira 93 meter panjang and 10 meter lebar di Kampung Ulu Melaka Pindah.

TIDAK PUTUS ASA

Bagi Othman Abu Hassan, 50, dari Kampung Panchor, Durian Tunggal Melaka walaupun bidang penternakan merupakan satu kerja yang mencabar, beliau tidak pernah berputus asa kerana yakin bidang ini boleh menjadi sumber rezeki utama jika diusahakan dengan cara yang betul.

Bermula awal tahun 2004 dengan modal RM1,000 Othman membeli empat ekor kambing kampung dan pada pertengahan tahun, beliau membeli lagi 15 ekor kambing kampung berharga RM3,000.

Setahun kemudian beliau mula membeli lembu pula. Bermula dengan empat ekor dengan modal RM3,200, beliau menambahnya kepada 51 ekor dengan modal RM75,000.

Kata Othman, cabaran utama dalam penternakan ialah masalah penyakit dan jika ia berlaku pastinya kerugian besar yang terpaksa ditanggung bila ternakan mati dalam jumlah yang besar.

"Setakat ini saya mempunyai 140 ekor lembu manakala kambing berjumlah 170 ekor," katanya.

Kebanyakan binatang ternakannya diberi makanan dedak yang dicampur dengan daun kelapa sawit, rumput, gula merah dan sagu rumbia, katanya. - Utusan

Peniaga warung perlu budi bahasa


GERAI dan warung merupakan antara tumpuan rakyat Malaysia untuk menjamu selera tidak kira di bandar atau di kampung. Namun segelintir peniaga yang menunjukkan sikap sombong dan angkuh kepada rakyat Malaysia sendiri sedikit sebanyak menggagalkan hasrat kerajaan dalam Kempen Senyum dan Terima Kasih. - Gambar hiasan

TIDAK dinafikan, Malaysia memang terkenal dengan warung dan gerai makanan yang mempunyai pelbagai cita rasa menu dari semua negeri yang ada di negara ini.

Bukan hanya menjadi tumpuan rakyat tempatan, malah pelancong luar dan juga chef-chef terkenal turut sama menggemari suasana ketika menjamu selera di kebanyakan warung di negara ini.

Dan disebabkan itu juga warung dan gerai yang ada di negara ini tumbuh melata sama ada secara kawalan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau tidak.
Atas dasar itu juga kita dapat melihat ada di kalangan peniaga warung dan gerai di negara ini datang dari negara jiran terdekat, sama ada menggunakan saluran sah dan tidak.

Bidai tidak mahu mempertikaikan perkara ini kerana Bidai tahu tugas penguatkuasaan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa.


Penguatkuasa PBT memang ada lakukan serbuan setiap masa. Namun yang merisaukan Bidai kali ini ialah pengurusan hospitaliti pengusaha warung atau gerai berkenaan.

Bukan apa, walaupun mereka beniaga di kawasan warung dan gerai tidak seperti restoran atau hotel yang besar, Bidai merasakan mereka juga memerlukan satu pengurusan hospitaliti mereka perlu memastikan pelanggan yang betul sentiasa betul Right customer is always right.

Itu prinsip orang berniaga dan bukan diadakan oleh Bidai. Jika sebelum ini ramai yang mengatakan customer is always right, namun dengan suasana dan keadaan masa kini, hanya right customer is always right bagi Bidai.

Ini berikutan ada juga pelanggan yang mempunyai banyak kerenah dan mereka bagi Bidai boleh diketepikan dan tak perlu dilayan.

Kembali kepada pengusaha warung dan gerai, Bidai rasa mereka perlu mengamalkan apa yang diamalkan oleh pengusaha hotel atau restoran besar.

Mereka juga perlu sentiasa mesra dengan senyuman dan boleh menerima kritikan secara terbuka.

Walaupun kemungkinan pendapatan yang mereka peroleh tidak sama dengan apa yang diperoleh oleh pengusaha hotel dan restoran besar, hakikatnya, mereka juga merupakan peniaga barisan hadapan yang sentiasa berhadapan dengan orang ramai.

Kena ingat, orang ramai yang hadir membeli makanan mereka bukan makan free tapi terpaksa turut membanting tulang mendapat wang untuk menjamu selera.

Jadi, mereka juga perlu melayan dan sentiasa memastikan orang ramai mendapat hak mereka yang sepatutnya.

Bidai timbulkan cerita ini disebabkan kejadian yang Bidai alami sendiri di sebuah warung atau gerai makanan di sebuah taman perumahan berdekatan Zoo Negara.

Warung ini Bidai lihat memang maju. Penuh dengan orang ramai pada waktu tengah hari dan malam. Makanan yang dijual juga bagi Bidai boleh tahan dan membuka selera.

Mereka menjadi tumpuan kerana ada menjual nasi ayam, makanan dari negara Gajah Putih dan juga pembasah tekak, air tebu, air batu campur (ABC), cendol dan len chee kang.

Semua yang dijual sememangnya makanan yang digemari rakyat Malaysia tidak kira waktu.

Menariknya di sini waktu tengah hari penuh dengan orang ramai tua atau muda, semuanya menjamu selera di situ lebih-lebih lagi di gerai nasi ayam mereka.

Tidak hanya yang makan di situ, gerai itu turut penuh dengan mereka yang mahu membungkus.

Beratur dan tidak berebut-rebut dan service dia juga cepat. Yang membeli nasi ayam itu tak perlu menunggu lama.

Melihat dari segi kerja sama yang ada ketika mereka berniaga, Bidai dapat rasakan ini adalah perniagaan keluarga.

Bidai juga sering makan di situ jika melawat seorang kawan yang tinggal berdekatan.

Nak jadi cerita baru-baru ni, Bidai nak belanjalah kawan Bidai tu makan nasi ayam jadi Bidai ke gerai berkenaan untuk bungkus.

Waktu tu memang orang ramai tapi kebanyakan makan di situ. Bidai teruslah order 10 bungkus nasi ayam.

Memang cepat, yang tukang ambil order tu memang dah tahu tugas dia. Dia khas ambil order bagi mereka yang nak bungkus sahaja.

Sementara nak tunggu nasi tu dibungkus, Bidai ke gerai ABC yang berdekatan yang turut dimiliki oleh pemilik gerai nasi ayam itu. Ini berikutan Bidai nampak, tauke nasi ayam tu selamba je kaut duit yang 'dicampak' oleh peniaga ABC di gerai dia.

Jadi anggapan Bidai mereka ini mempunyai pemilik yang sama.

Sampai di situ, Bidai beratur dan buat pesanan: "Kak ABC bungkus dua."

Tapi tidak disahut dan Bidai agak mungkin dia dah dengar sebab dia pun sibuk.

Ketika itu ada dua pelanggan di depan Bidai yang turut membuat pesanan ABC dan cendol.

Pada Bidai tak apalah, mungkin peniaga tu dah tau pesanan Bidai walaupun dia buat tak reti.

Tapi selepas dua pelanggan di depan Bidai dapat pesanan mereka, secara tiba-tiba seorang pelanggan lain secara tiba-tiba entah dari mana melaung dari jauh: "ABC bungkus satu!"

Awalnya Bidai tak kisahlah sebab mungkin dia pun baru buat pesanan.

Jadi episod menunggu diteruskan sebab ketika itu memang banyak pesanan dari mereka yang sedang makan di situ.

Pada Bidai tak pe lah, mungkin penjual tu nak selesaikan mana-mana pesanan yang dah agak lama.

Tapi selepas 20 minit menunggu, Bidai mula resah sebab kakak penjual tadi buat tak reti Bidai ada di situ.

Satu persatu pesanan baru untuk mereka yang makan di situ masuk dan kakak penjual tadi asyik menyelesaikan pesanan berkenaan.

Bidai bersuara sekali lagi: "Kak ABC bungkus dua, lama dah ni." Sedikit menambah menyuarakan rasa tak puas hati.

Tapi dengan selamba kakak tu tadi beri sebungkus ABC kepada seorang pelanggan yang datang entah dari mana di belakang tadi.

Bidai pun mulalah rasa panas di hati dan terdetik: "Mentang-mentang dia boleh cakap bahasa negeri dia sesama sendiri, yang kemudian pula dilayan."

Lalu dengan perasaan tak puas hati dengan topi keledar yang masih tidak ditanggalkan Bidai terus berkata: "Kak, memey jenih bagi ke ore maghi lambat ko? Ke dok dengar kawe ordar tadi? Pelik sungguh."

Dan Bidai pun blah dari situ, malas nak tunggu.

Muka kakak tadi masam mencuka, senyum tidak, berkata apa pun tidak.

Apa salahnya minta maaf kepada pelanggan kalau rasa diri tu bersalah.

Dan itulah realiti mereka yang dah berjaya, dia tak kisah pelanggan tu suka ke tidak. Yang penting mereka 'mahsyuk'.
Fikirkanlah... - Utusan

Penguasaan Ilmu Dan Bahasa Penting - Dr Mahathir

Monday, January 25, 2010

SINTOK: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penguasaan ilmu sains dan matematik akan menjamin setiap bidang ilmu yang berkembang setiap hari dapat dikuasai dan negara tidak akan ketinggalan dalam arus kemajuan global.


Katanya untuk mencapai matlamt itu, menguasai lebih dari satu bahasa selain bahasa kebangsaan, menjadi kunci kejayaan sesebuah negara.

"Banyak ilmu baru berasaskan sains berkembang setiap hari. Banyak darinya ditulis dalam bahasa asing terutama bahasa Inggeris. Jika rakyat hendak belajar mereka mesti menguasai lebih banyak bahasa.

"Ilmu dan bahasa juga berkait dengan ekonomi. Jika ketinggalan kedua-duanya, kita tidak mampu mengejar negara yang semakin maju," kata Dr Mahathir sewaktu menyampaikan ucaptama pada Kolokium Pendidikan Kedah di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Kolokium itu bertemakan 'Pendidikan Pada Masa Hapadan' dianjurkan bersama oleh Persatuan Kecemerlangan Pendikan Kedah (Cerdik), UUM, Jabatan Pelajaran Kedah dan Majlis Guru Besar Kedah.

Dr Mahathir berkata fenomena yang berlaku sekarang di mana ramai bangsa berhijrah dan berlaku secara timbal-balik kerana perkembangan perhubungan menjadi semakin mudah dan sukar pula untuk dihalang.

"Masa depan semua negara akan terdiri daripada rakyat pelbagai bangsa. Contohnya, Amerika sendiri tidak dapat menghalang kemasukan kaum Hispanik. Ini bermakna pengaruh ilmu dan jenis pendidikan masa depan ditentukan mereka," katanya.

Menurut Dr Mahathir, hubungan ekonomi dengan bangsa asing akan lebih berkesan dan mudah berkembang melalui pengetahuan dan penguasaan bahasa yang luas.

Ketika menjawab soalan peserta yang menyentuh soal imbuhan, gaji dan kenaikan pangkat untuk memotivasikan pendidik, beliau berkata tidak akan ada pihak yang akan berpuas hati dengan ganjaran yang diterima.

"Secara perbandingan, saya rasa 100 juta rakyat Indonesia akan berhijrah ke Malaysia jika diberi peluang kerana rakyat negara ini lebih bernasib baik dalam banyak perkara," kata Dr Mahathir.

Katanya kualiti graduan yang dilahirkan oleh universiti tempatan masih memuaskan yang terbukti terdapat ramai pelajar asing menuntut di Malaysia.

Bercakap kepada pemberita kemudian, beliau berkata sistem pendidikan negara ini masih relevan tetapi nilai-nilai mulia dan pembentukan karektor perlu dititikberatkan dalam sistem pendidikan dari awal bagi melahirkan rakyat yang berdisplin.

"Ibu bapa sekarang tidak banyak masa untuk anak-anak kerana bekerja. Sebab itu didikan yang melebihkan nilai agama sangat penting supaya kelak mereka tidak menggunakan ilmu untuk tujuan yang merosakkan," kata Dr Mahathir.

Katanya pengajaran pembentukan karektor menjadi semakin penting untuk memupuk nilai, disiplin diri dan timbang rasa. - mStar online

Ukhwah bantu Nur Izzati


Nur Izzati melambaikan tangan kepada keluarganya sebelum berlepas ke Rumah Anak Koperasi Ukhwah di Subang Jaya untuk melanjutkan pelajaran di SMK SS17, Subang Jaya setelah mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR di Kampung Manjui Baru Tambahan, Perak, semalam.


IPOH 24 Jan. - Kira-kira dua bulan lalu, murid cemerlang yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ini hanya mampu menangis apabila rakan-rakan lain gembira memegang slip keputusan peperiksaan.

Kegagalan membayar yuran sekolah sebanyak RM57 menyebabkan slip keputusannya ditahan dan dia hanya mampu melihat keputusan tersebut di papan kenyataan.

Namun hari ini, Nur Izzati Azahar, 13, sudah boleh tersenyum apabila Koperasi Pendidikan Islam Malaysia Berhad (Ukhwah) menawarkannya tempat di Rumah Anak Koperasi Ukhwah di Subang Jaya.

Melalui Rancangan Khas Pendidikan Koperasi Ukhwah, Nur Izzati akan didaftarkan ke salah sebuah sekolah terbaik di Selangor iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) SS17, Subang Jaya.

Pengurus Perhubungan Awam merangkap Pengurus Rumah Anak Koperasi, Sharifah Aminah Al-Habshee berkata, koperasi yang ditubuhkan lima tahun lalu itu memang dibuka khas untuk membantu pelajar-pelajar miskin.

Menurut beliau, pihaknya terpanggil untuk membantu Nur Izzati apabila membaca laporan akhbar sebelum ini.

"Saya rasa sebak dan sedih apabila membaca kisah Nur Izzati yang bercita-cita melanjutkan pengajian ke sekolah berasrama penuh tetapi keluarganya tidak mampu.

"Kita memang bersedia membantu kerana melihat kepada kejayaannya. Jika berpotensi menjadi salah seorang pelajar cemerlang, mengapa kita tidak membantu," katanya ketika ditemui di rumah Nur Izzati, di sini.

Utusan Malaysia pada 19 November lalu menyiarkan kisah Nur Izzati yang tidak dibenarkan mengambil slip peperiksaan UPSR kerana gagal membayar yuran sekolah sebanyak RM57.

Kemiskinan keluarga menyebabkan bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tarcisian Convent ini 'berhutang' dengan pihak sekolah.

Anak kedua pasangan Azahar Ariffin, 42, dan Fatimah Ahmad, 43, ini adalah antara 34 murid SK Tarcisian Convent yang mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu (Penulisan), Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Bapa Nur Izzati ketika ditemui bersyukur kerana ada pihak yang prihatin dengan nasib anaknya.

Menurut Azahar, anaknya itu turut mendapat tawaran untuk belajar di Sekolah Menengah Sains, Teluk Intan, tetapi dia tidak mampu menghantar Nur Izzati ke sana kerana perbelanjaan yang tinggi.

Sementara itu, Nur Izzati yang kelihatan ceria, menunggu kedatangan pihak Ukhwah seawal pukul 11 pagi lagi untuk bertolak ke Subang Jaya. - Utusan

Bekas graduan kini tauke tempe


Noraini Ahmad (kanan) meninjau perusahaan tempe keluaran Perniagaan D'Sinar sambil diiringi Norhedayah Mesiran di kilangnya di Batu Pahat,baru-baru ini.


TEMPE merupakan makanan tradisi masyarakat Jawa. Setiap kali majlis keraian atau kenduri, pasti tempe tidak ketinggalan dijadikan sebagai salah satu hidangan wajib yang dihidangkan bersama pelbagai juadah lain.

Tempe juga begitu sinonim dengan masyarakat Johor terutama apabila tibanya musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri. Ia merupakan salah satu ramuan untuk memasak juadah hari raya yang dipanggil sayur lodeh di samping menu lain termasuk rendang serta ketupat.

Permintaan terhadap tempe pastinya akan meningkat setiap kali tiba musim perayaan. Tanpa tempe juadah yang terhidang bagaikan tidak lengkap justeru di negeri Johor khususnya di Batu Pahat, menyebabkan pengusaha tempe sering tidak menang tangan.

Kini, zaman telah berubah. Namun tempe tetap menjadi pilihan. Selain menjadi makanan tradisi masyarakat Jawa, tempe kini telah mula dikomersialkan sebagai kerepek tempe yang mudah dan senang didapati meskipun bukan pada musim perayaan.

Menyedari tempe berpotensi besar untuk dikembangkan Norhedayah Mesiran, 34, mengambil inisiatif untuk mengembangkan lagi perusahaan tempe warisan keluarga turun temurun yang dahulunya diusahakan oleh ibunya Mariam Sarkam dan ayahnya Mesiran Rosman.

Sebagai seorang graduan dalam bisnes dari salah sebuah universiti swasta, Norhedayah melihat jauh ke hadapan terhadap potensi produk berasaskan tempe ini. Dengan bantuan seluruh ahli keluarga mereka kini telah selangkah ke hadapan bagi meningkatkan lagi mutu produk.

Bersama adiknya Riduan Mesiran, 29, yang bertindak sebagai Pengurus Operasi mereka telah menubuhkan syarikat Perniagaan D'Sinar yang bertindak sebagai pengeluar dan pengedar kerepek tempe pelbagai perisa.

Jika dahulu ibunya mengusahakan kerepek tempe dengan berbekalkan kudrat empat kerat tanpa bantuan mesin canggih, kini mereka tidak lagi menggunakan ramai pekerja terutama untuk menggoreng tetapi mereka telah mempunyai mesin menggoreng dengan teknologi terkini.

Menurut Nurhedayah, dahulu ibunya hanya membuat tempe biasa yang dibungkus menggunakan daun. Ia sering digunakan dalam pelbagai masakan sejak turun temurun lagi yang merupakan warisan keluarga mereka serta dijual hanya sekitar tempat tinggalnya sahaja.

Bagaiamanapun, sejak lima tahun lalu beliau mula membantu ibunya menguruskan pelbagai hal bagi menjadikan tempe sebagai kerepek dengan pelbagai perisa iaitu ketumbar, kari, lada hitam dan lada serta berusaha untuk dipasarkan lebih jauh.

''Walaupun perusahaan ini sudah lama diusahakan tetapi masih belum dikomersialkan secara besar- besaran. Hanya setelah saya mengambil alih tugas daripada ibu saya barulah saya cuba membuka ruang untuk meluaskan pasaran," jelasnya.

Bermula dengan RM500 sebagai modal pusingan, beliau kini memiliki modal pusingan mencecah RM30,000 sebulan. Bermula dari situ mereka mengembangkan perusahaan tempe dengan menghasilkan kerepek tempe pelbagai perisa.

Paling menarik, kerepek tempe syarikat mereka lengkap dengan sambal kicap tradisi masyarakat Johor manakala perisa tempe pedas ia dicampur kacang tanah dan ikan bilis goreng.

Dahulu, mereka terpaksa menggunakan tenaga pekerja yang ramai untuk melakukan pelbagai kerja seperti memotong dan menggoreng. Kini mereka telah mempunyai dua mesin pemecah kacang soya, satu mesin pemotong, satu mesin untuk mencampurkan adunan (mixer), satu mesin pengisar kering dan satu kuali keluli tahan karat.

Menurut Norhedayah, dia telah mengikuti kursus teknologi makanan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Johor Bahru untuk menimba ilmu dan meminta khidmat nasihat dalam perusahaan tempe. Ia tidak sia- sia apabila semakin hari perusahaan tempe warisan keluarga ini semakin berkembang.

Ketika memulakan perniagaan ini dahulu mereka hanya mengusahakannya di rumah sahaja dan dibantu oleh dua orang pembantu serta menggunakan tenaga kerja manusia tanpa mesin. Tetapi kini mereka mempunyai bangunan sendiri yang bernilai kira-kira RM40,000.

''Kenangan yang paling menarik ketika mula mengusahakan kerepek tempe ini ialah kami memecahkan kacang soya yang telah siap direbus untuk dibuat tempe menggunakan mesin memproses getah keping dan memotong tempe dengan menggunakan mesin khas," jelasnya.

Meskipun pada awal pembabitannya dia agak gementar, kini dia mampu tersenyum bangga kerana segala usahanya mula membuahkan hasil dan dilengkapi dengan anggota keluarga yang sentiasa memberi sokongan.

Menurut Norhedayah, dia berharap dapat menepis persepsi masyarakat terhadap tempe yang dikaitkan hanya untuk masyarakat Jawa.

Justeru, dia bercita-cita mengetengahkan makanan yang berasaskan soya ini supaya menjadi lebih komersial dan dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.

Memandangkan tempe biasa yang bersaiz kecil, dia dan kedua orang tuanya mula membuat kajian sendiri bagaimana untuk menghasilkan tempe dalam bentuk bulat agar senang dipotong dan cantik bila digoreng.

Nurhedayah serta kedua-dua orang tuanya berjaya menemui satu teknik menghasilkan tempe berbentuk bulat iaitu seperti bentuk lemang dan ternyata idea mereka berjaya.

Alat pencetak bulat yang dibuat oleh mereka sekeluarga mampu menjadikan kerepek tempe itu nampak lebih komersial.

''Dengan kerepek tempe tiga perisa ini produk tempe warisan ini berjaya dikembangkan hingga memasuki pasaran Singapura, Brunei dan juga Iran," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, jumlah permintaan yang semakin tinggi memungkinkan beliau mengambil lebih ramai pekerja kerana pekerja yang ada sekarang tidak mencukupi untuk membuat tempahan yang lebih tinggi.

Setiap paket kerepek berisi setengah kilogram kerepek tempe dijual sekitar RM6. Kerepek itu akan dihantar kepada tujuh pemborong tetap di seluruh negeri Johor juga kepada sebuah koperasi di sekitar daerah ini secara tetap.

Tambahnya, kerepek-kerepek berkenaan boleh tahan lebih tiga bulan. Selama ini mereka tidak pernah mendapat maklum balas negatif daripada mana-mana pihak tentang produk keluarannya.

Nurhedayah yang mengusahakan perusahaan tempe ini bersama keluarganya di No. 148 Kampung Sungai Nibong Darat, Semerah, Batu Pahat berharap agar satu hari nanti kerepek tempe keluaran syarikatnya mampu dinikmati oleh semua masyarakat di dalam dan luar negara.

Untuk itu beliau bercita-cita untuk menambah baik lagi teknologi pembuatan agar ia dapat menambah lagi pengeluaran produk. Di samping itu berusaha untuk membuat pembungkusan yang terbaik serta pelabelan dan penjenamaan agar lebih menarik untuk pasaran global.

Selain kerepek tempe, beliau juga mengusahakan kerepek pisang, keledek, keladi yang mana bahan mentah tidak menjadi masalah kerana ia mudah didapati di sekitar kawasan kampungnya dan secara tidak langsung dapat membantu penduduk kampung menjual hasil pertanian mereka.


Kegigihan dan kesungguhan Nurhedayah serta ahli keluarga lainnya mengetengahkan produk berasaskan kayang soya dengan menghasilkan kerepek tempe pelbagai perisa telah menarik minat Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad untuk meninjau perusahaan yang mereka jalankan baru-baru ini.

Dalam lawatan itu Noraini berasa kagum dengan idea anak-beranak ini menghasilkan tempe berbentuk bulat yang mana ia adalah teknologi yang mereka cipta sendiri dan belum pernah terfikir oleh orang lain.

''Jika sebelum ini saya hanya lihat tempe dibungkus dengan daun dan surat khabar lama. Tetapi kini saya lihat tempe dibuat dalam bentuk bulat seperti lemang yang pertama kali saya lihat, memang menarik dan sesuai untuk dibuat kerepek secara komersial," jelasnya.

Tambah Noraini, perusahaan tempe warisan keluarga ini merupakan salah satu produk yang mampu menaikkan nama Parlimen Parit Sulong khususnya dan negeri Johor amnya dalam Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) yang merupakan satu kelainan.

Melihat kelainan dan cita-cita keluarga ini untuk memasarkan produk mereka ke seluruh negara dan luar negara, beliau yakin produk ini boleh pergi jauh kerana ia menepati ciri-ciri kebersihan dan amalan pengilangan yang baik.

''Saya yakin produk ini mampu di eksport ke luar negara kerana ia lain dari yang lain dan pihak pengusaha harus cuba untuk membuat pelabelan dan penjenamaan yang sesuai untuk pasaran antarabangsa," jelasnya.

Tambahnya, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Sulong sedia memberi khidmat nasihat dan bantuan yang sewajarnya bagi membantu Perniagaan D'Sinar mengetengahkan kerepek tempe pelbagai perisa untuk meningkatkan pasaran mereka. - Utusan

Tekad 16 pelajar OKU

PASIR GUDANG: Seramai 16 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) yang mendaftar sebagai pelajar baru Diploma Kemahiran Khas (DKK) di Politeknik Johor Bahru (PJB), baru-baru ini tidak melihat kekurangan diri sebagai penghalang untuk mengecapi kejayaan.

Malah, kekurangan diri dianggap keistimewaan yang tiada pada pelajar lain malah penguat semangat bagi membuktikan mereka juga boleh mencapai kejayaan jika mempunyai keazaman tinggi.

Sehubungan itu, beberapa pelajar OKU yang mengikuti beberapa kursus tetap mengutamakan kejayaan dan berharap mereka mampu mencipta kejayaan dalam bidang diceburi.

Soh Zhi Kun, 17, tidak menganggap kekurangan diri sebagai pelajar OKU, sebaliknya menganggap dirinya sama seperti pelajar normal.

Pelajar tahun dua yang mengikuti Kursus Hotel dan Katering berkata, dia tetap bersahabat dengan pelajar lain yang banyak membantu mengikuti kuliah dan mengulang kaji pelajaran.

Walaupun pekak dan bisu, kami juga ada kebolehan tersendiri yang mungkin tidak ada pada pelajar normal lain. Ini hakikat yang perlu diterima kerana kami juga mampu mengikuti pelajaran dengan baik, katanya.

Rakan sekelas, Mohd Hisham Jamal, 18, dari Johor Bahru turut berharap akan menamatkan kursus mengikut jadual.


Menurutnya, sebelum ini, ramai rakan senior OKU sudah membuktikan kejayaan mereka selepas berusaha gigih tanpa mengenal jemu.

"Rakan senior saya ramai yang berjaya menamatkan pengajian mereka di PJB, malah ramai yang mampu tersenyum kerana berjaya dalam bidang perhotelan.

"Ini bukti bahawa masyarakat OKU tidak perlu rasa rendah diri dengan kekurangan yang ada, sebaliknya perlu membuktikan kepada masyarakat mereka juga insan biasa yang mampu mencapai kejayaan," katanya. - Harian Metro

UniRazak, PUNB jalin kerjasama

KUALA LUMPUR 24 Jan. - Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), bagi memperkukuhkan dan merapatkan lagi hubungan kerja kedua-dua pihak.

MoU ditandatangani antara Presiden dan Naib Canselor UniRazak, Prof. Datuk Dr. Md. Zabid Abdul Rashid dan Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Mohd. Nasir Ahmad yang berlangsung di kampus baru UniRazak di Capital Square baru-baru ini.

Majlis turut disaksikan Pengarah Projek Khas-Hubungan Keinstitusian UniRazak, Ailinton Isahak dan Pengurus Besar Bahagian Pelaburan PUNB, Dzulkifli Fadzilah.

MoU berkenaan lebih kepada kerjasama kedua-dua pihak dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, juga melibatkan aktiviti perunding, latihan dan program berkaitan, selain mengukuhkan penglibatan usahawan muda melalui Skim Siswazah. - Utusan

FAMA Perak sasar RM15 juta jualan pasar tani

Sunday, January 24, 2010

IPOH 23 Jan. - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak mensasarkan jualan di pasar tani di negeri ini akan meningkat kepada RM15 juta tahun ini berbanding RM13 juta pada tahun lalu.

Timbalan Pengarah FAMA negeri, Mukram Faizal Mustaza berkata, sasaran itu berikutan sebanyak lima pasar tani baru akan dibuka pertengahan tahun ini.

"Menjelang pertengahan tahun ini, lima lagi pasar tani akan dibuka di Batu Gajah, Manjung, Parit, Kuala Kangsar dan satu lagi lokasi di daerah Kinta yang sedang dikenal pasti.

"Ini menjadikan jumlah pasar tani di Perak meningkat kepada 25 kawasan. Kita yakin dengan pertambahan ini, jualannya juga akan meningkat.

''Selain itu, ia diharap turut memberi kesempatan kepada orang ramai mendapatkan barangan segar dengan harga yang amat berpatutan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Jom Sarapan Pagi FAMA di Pasar Tani Kampung Simee, di sini hari ini.

Mengulas mengenai program tersebut, ujar Mukram Faizal, ia bertujuan menggalakkan usahawan-usahawan makanan untuk berniaga di pasar tani dengan memperkenalkan konsep gerai makan.

Program yang diadakan sempena 25 tahun pembukaan Pasar Tani Kampung Simee itu akan berlangsung pada setiap hari Sabtu selama sebulan bermula hari ini sehingga 27 Februari ini.

Ia juga diharap mampu menarik lebih ramai pengunjung dengan menggalakkan orang ramai bersarapan selepas membeli barangan keperluan.

Menariknya kata Mukram Faizal, sepanjang program tersebut, pengunjung akan dapat menikmati sarapan pagi pada harga murah.

Selain itu, katanya, kempen promosi harga patut di setiap pasar tani yang diperkenalkan tahun lalu juga akan diteruskan bagi meringankan beban pengguna.

Kempen menekankan konsep jualan murah itu diadakan setiap bulan bagi membolehkan pengguna mendapatkan barang keperluan pada harga lebih rendah. - Utusan

Pembayar zakat harta meningkat


SUBANG JAYA – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mensasarkan kutipan zakat sebanyak RM300 juta tahun ini dengan kenaikan sebanyak 6 peratus berbanding tahun lalu.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Datuk Siti Maslamah Osman berkata, sasaran itu diunjur selepas mengambil kira faktor keadaan ekonomi yang semakin stabil selain kesedaran umat Islam menunaikan kewajipan itu.

Katanya, tahun lalu jumlah zakat yang berjaya dikutip adalah RM283.6 juta melebihi sasaran asal iaitu RM235 juta.

“Setiap tahun jumlah kutipan menunjukkan peningkatan dan tahun lalu sahaja kenaikan direkodkan adalah sebanyak 16 peratus.

“Jumlah itu termasuk kutipan zakat harta sebanyak RM267.03 juta dan zakat fitrah sebanyak RM16.6 juta,” katanya ketika mewakili Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah LZS, Tan Sri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail bagi mengumumkan rekod kutipan dan agihan zakat pada tahun lalu.

Beliau berkata, tahun lalu kutipan zakat harta menunjukkan peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding tahun sebelumnya dan zakat pendapatan mencatat rekod tertinggi sebanyak RM153.9 juta.

“Jumlah pembayar bagi zakat harta pada tahun lalu juga meningkat sebanyak 10 peratus iaitu 154,905 orang dan daripada jumlah itu seramai 29,622 direkodkan sebagai pembayar baru.

“Bagi zakat fitrah pula bilangan umat Islam yang menunaikan kewajipan itu pada tahun lalu direkod seramai 2.3 juta orang,” katanya.

Siti Salamah berkata, daripada jumlah dikutip Majlis Agama Islam Selangor (Mais) melalui LZS telah mengagihkan sebanyak RM275.8 juta kepada golongan layak di negeri ini sepanjang tahun lalu.

“Daripada rekod itu, kita dapat melihat jumlah asnaf fakir semakin menurun namun dalam masa yang sama jumlah asnaf miskin meningkat.

“Ia berikutan asnaf fakir dilihat sudah mampu menaiktaraf kehidupan mereka namun saya berharap jumlah golongan miskin turut akan menunjukkan penurunan,” katanya.

Sementara itu Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar, berkata, pelbagai strategi digunakan bagi mencapai sasaran yang diletakkan dalam kutipan zakat tahun ini.

“Antara pendekatan digunakan termasuklah kempen melalui media cetak dan elektronik, ceramah serta melalui dokumentari Al-Baraqah yang dipaparkan di media bagi menyiarkan ke mana wang zakat diagih.

“Memang kita akui cara berkenaan memberi kesan positif kerana pembayar sedia maklum bagaimana wang berkenaan disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya. - Sinar Harian

Setiap tutur kata cermin peribadi

PENCIPTAAN manusia sebagai makhluk paling istimewa di sisi Allah dan khalifah di muka bumi mempunyai tujuan yang ditetapkan.

Antaranya, menilai sejauh mana ketaatan manusia kepada Allah yang mengakui sejak awal penciptaannya bahawa Dia sahajalah Tuhan yang layak disembah. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang lagi Maha Bijaksana yang tidak pernah membiarkan hamba-Nya hidup tanpa panduan dan petunjuk. Al-Quran yang tiada sebarang keraguan di dalamnya, memaparkan panduan bagi membantu umat manusia mencapai kehidupan bahagia di dunia dan akhirat. Oleh sebab itu, wajarlah setiap perbuatan manusia, kelak akan dihitung dan dinilai serta diperlihatkan dengan seadil-adilnya.

Firman Allah bermaksud: "Barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula" (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8). Secara sedar atau tidak, tutur kata adalah antara perlakuan sukar dikawal manusia.

Manusia boleh menuturkan apa saja bentuk kata-kata tanpa had berdasarkan dorongan hati, nafsu dan akal mereka. Tanpa iman yang mantap, kata-kata yang dikuasai nafsu yang mendorong kepada kejahatan dan hati yang lemah akan sentiasa membasahi lidah mereka. Hakikatnya, dengan kata-kata, pelbagai perkara boleh terjadi serta mampu mengubah sesuatu keadaan sama ada yang baik atau sebaliknya. Keadaan umat Islam saling menghina dan memperlekeh sesama mereka, anak mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang tua dan keruntuhan moral di kalangan remaja.

Semuanya berpunca daripada lidah yang gagal dikawal. Sebagai manusia, kita harus ingat setiap apa yang kita katakan, ia tidak terlepas daripada catatan malaikat.
Hal ini bukanlah bertujuan mencari kesalahan serta kesilapan manusia tetapi memberi peringatan kepada kita bahawa setiap perlakuan ada nilainya di sisi Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada di sampingnya malaikat pengawas yang selalu hadir" (Surah Qaaf, ayat 18). Tutur kata yang baik dapat memberi kesan yang amat mendalam dalam diri pendengarnya. Dalam bidang dakwah misalnya, dengan hanya menggunakan kata-kata yang baik dan benar, masyarakat mudah terpikat dengan Islam. Ini kerana Islam adalah agama fitrah yang ajarannya tidak bertentangan dengan naluri dan sifat semula jadi manusia. Hal ini jelas apabila Allah memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun menemui Firaun sebagai satu cara menyerunya ke jalan Allah, lalu diperintah keduanya menuturkan kata-kata yang lembut dan tidak angkuh.

Firman Allah bermaksud: " Pergilah kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya dia melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut" (Surah Toha, ayat 43-44). Dakwah sedemikian tidak berjaya menambat hati Firaun, tetapi dengan perintah Allah, ia menunjukkan cara dan kaedah yang harus diikuti dalam proses dakwah hari ini. Selain itu, dalam al-Qur'an dengan jelas Allah menyatakan di antara ciri-ciri hamba-Nya yang cemerlang iaitu yang mendapat gelaran (' ibad ar-Rahman ) ialah mereka yang baik tutur katanya. Mereka yang apabila dihina atau dicerca orang yang jahil (tidak berilmu), mereka tidak membalasnya kecuali dengan kata-kata yang baik dan indah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu ialah orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik" (Surah al-Furqan, ayat 63). Justeru adalah amat menyedihkan jika dilihat orang-orang yang berilmu dan berpendidikan tinggi bersikap terlalu emosional, tidak berhikmah dalam menangani sesuatu isu dan yang lebih teruk lagi merasakan dirinya sahaja betul.

Sebagai orang yang dikurniakan Allah sekelumit daripada ilmu-Nya, kita harus berasa rendah diri dan memilih kata-kata yang terbaik apabila berhadapan dengan golongan yang tidak mengetahui atau kurang ilmunya. Dengan kata lain, bahasa yang digunakan haruslah bersesuaian dengan keadaan dan adat kelaziman khalayak pendengar. Hal ini perlu dititikberatkan lebih-lebih lagi di negara kita yang memiliki pelbagai bahasa dan budaya. Sesungguhnya tindak-tanduk dan perbuatan setiap anggota kita adalah menjadi tanggungjawab kita sendiri ketika berhadapan dengan Allah di mahkamah keadilan-Nya kelak. Lidah yang berperanan penting dalam menuturkan kata-kata tidak akan terlepas daripada nilaian dan timbangan keadilan Allah. Jauhilah diri kita daripada terus menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah dan menyakiti hati dan perasaan orang lain. Sebaliknya, basahi lidah kita dengan ingatan yang tidak putus kepada-Nya pada waktu senang dan susah, Firman Allah di dalam Al-Quran bermaksud: "Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram" (Surah al-Ra'd, ayat 28). - Harian Metro

Pelajari multimedia di PTPL

PERKEMBANGAN sains dan teknologi sejak revolusi komputer pada 1970-an membawa dimensi baru kepada penggunaan medium berkenaan.
Jika pada peringkat awal, penggunaan komputer hanya terhad membantu menganalisis data asas manakala peralatannya mahal, kini penggunaan komputer semakin meluas.

Bukan saja fungsinya dipelbagaikan, jurusan ditawarkan juga mencakupi pelbagai aspek dengan ruang penawaran kerjaya luas.

Multimedia menggunakan medium komputer untuk menyaji dan menggabungkan teks, suara, gambar, animasi dan video dengan bantuan alat bantu dan perhubungan hingga memberi pengguna peluang, berinteraksi, berkarya dan berkomunikasi.

Lazimnya, ia banyak digunakan dalam dunia hiburan dan permainan komputer selain dimanfaatkan dalam pendidikan dan perniagaan.

Dalam dunia perniagaan, ia boleh digunakan sebagai profil perusahaan, produk, media kiosk informasi dan sistem elektronik pembelajaran.
Justeru, tidak hairan, apabila peluang pekerjaan terbuka luas kerana penggunaan multimedia tidak hanya mencakupi satu bidang semata-mata membitkan semua industri.

Antara bidang kerjaya yang boleh diceburi ialah grafik, jurutera bunyi dan pereka laman web malah boleh menghasilkan pulangan lumayan jika dijadikan perniagaan persendirian.

Awalnya, multimedia hanyalah media yang merangkumi gambar diam, teks, gambar gerak video, dan gambar gerak rekaan/animasi serta suara.

Kini, ia merangkumi gerakan kinetik dan bau seperti pertunjukan tiga dimensi (3 D).

Menyedari perkembangan pantas dunia multimedia dan permintaan tinggi sektor kerjaya, banyak institusi pengajian tinggi menawarkan kursus terbabit.

Kolej PTPL menawarkan pada peringkat diploma selain pelajar boleh menyambung pengajian hingga peringkat tertinggi.

Untuk mengikuti kursus itu, kelayakan asas ialah lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat tiga kepujian dalam mana-mana mata pelajaran atau sijil lain diiktiraf.
Pelajar yang mengikuti kursus ini akan menerima latihan teori dan praktikal sepanjang tempoh pengajian.

Berminat, hubungi Kumpulan Kolej PTPL, di talian 03-55136688 atau layari laman web: www.ptpl.edu.my.

Pilihan lain ialah dengan menghantar SMS ke INFOPTPL nama emel dan hantar ke 013-2433677/017-3993034 atau 016-630 8966. - Harian Metro

Sasar jadi pengeluar utama

Saturday, January 23, 2010

PETALING JAYA 22 Jan. - Malaysia berpotensi menjadi pengeluar utama vaksin halal di dunia, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, pembangunan vaksin itu boleh membantu meningkatkan kesihatan awam di negara Islam.


"Pada masa ini, majoriti vaksin halal dikeluar dan digunakan di negara bukan Islam. Penerimaannya amat baik sekali.

"Jadi, jika vaksin boleh dihasilkan dalam negara, saya pasti, kita boleh memenuhi permintaan produk itu di Asia," kata Mukhriz.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran siri produk penjagaan kesihatan dan peribadi Frontier International, 'Angkasa' dan kedai utamanya di Malaysia di sini hari ini.

Frontier International (M) Sdn. Bhd. merupakan pengeluar produk kesihatan tambahan halal global.

Mukhriz berkata, melalui kementerian, para usahawan yang menjalankan perniagaan seperti itu digalakkan dengan pelbagai insentif, pinjaman dan geran. - Utusan

Ibu Bapa Perlu Menabung Capai Sasaran Satu Rumah Satu Komputer

UCHING, 23 Jan (Bernama) -- Ibu bapa khasnya daripada golongan berpendapatan rendah dinasihati agar menabung untuk memastikan anak-anak mereka mendapat kemudahan komputer di rumah masing-masing.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah berkata masih ramai anak-anak di negeri ini khasnya di kawasan luar bandar yang belum menerima kemudahan komputer di rumah kerana keluarga tidak mampu untuk membeli kemudahan yang dianggap semakin penting dalam dunia pendidikan hari ini.

"Komputer bukan lagi barangan mewah, ia merupakan satu keperluan khasnya kepada anak-anak untuk mendapatkan ilmu dalam dunia teknologi maklumat (IT) yang semakin berkembang hari ini," katanya ketika berucap pada majlis perasmian pusat Kenshido International Sarawak di sini iaitu peneraju utama sistem pendidikan berasaskan portal internet.

Beliau berkata masalah jurang digital akan terus berlalu sekiranya ibu bapa khasnya di kawasan luar bandar terus mengabaikan keperluan kemudahan IT di rumah yang semakin penting dan perluas peranannya.

Sementara itu Pengurus Kanan Kenshido Romeyzee Zainuddin berkata sejak diperkenal pada tahun 1999 kira-kira 687,000 pelajar iaitu 52 peratus Cina, 29 peratus Melayu dan 19 peratus India menggunakan perkhidmatan portal pendidikan "Score A" secara dalam talian yang diperkenalkan oleh syarikat terbabit di seluruh negara. -- BERNAMA

Sektor Perladangan Diarah Sedia Perumahan Lebih Selesa Menjelang 2015

ROMPIN, 23 Jan (Bernama) -- Para majikan di sektor perladangan dikehendaki menyediakan perumahan lebih selesa kepada para pekerja sebagai usaha mewujudkan komuniti ladang moden menjelang tahun 2015.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Senator Datuk Maznah Mazlan berkata pekerja sektor itu perlu diberikan tempat tinggal yang mempunyai kemudahan asas dan sosial seperti dewan, pusat asuhan kanak-kanak sebagai memenuhi kebajikan mereka.

Beliau berkata pada masa ini, majikan tidak begitu mengambil berat mengenai kawasan penempatan pekerja sehingga menyebabkan sektor itu kurang diminati rakyat tempatan.

"Sekarang ini masih ada yang tinggal di rumah kongsi, tiada kemudahan elektrik dan mendapat bekalan air tidak bersih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Selendang di sini, pada Sabtu.

Dalam perkembangan lain, Maznah berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mewujudkan jawatankuasa teknikal bagi mengkaji cadangan kementerian untuk mengiktiraf beberapa skim perjawatan dan skala gaji dalam 55 bidang kemahiran yang menggunapakai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Beliau berkata pengiktirafan itu penting dalam usaha kementerian melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang teknikal dan vokasional untuk keperluan sektor kerajaan dan swasta. -- BERNAMA

Prasekolah di rumah panjang


Muhyiddin Yassin bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Bintulu, semalam. - bernama


BINTULU 22 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran secara dasarnya bersetuju untuk mewujudkan kelas prasekolah di rumah-rumah panjang di Sarawak secara berperingkat tidak lama lagi.

Kata Timbalan Perdana Menteri, dengan membina bilik darjah di rumah panjang, ia akan memberi lebih banyak peluang kepada kanak-kanak berumur empat hingga lima tahun untuk belajar sebelum memasuki darjah satu.

Beliau berkata, selain itu, kementerian juga akan melatih penghuni rumah panjang yang berpelajaran supaya menjadi guru kepada murid-murid prasekolah tersebut.

"Sebagai permulaan, kita akan melaksanakannya secara berperingkat dalam masa terdekat ini kerana kita tidak tahu berapa banyak rumah panjang yang terdapat di Sarawak.

"Justeru, kita akan meminta kerjasama daripada kerajaan negeri serta Jabatan Pelajaran negeri untuk membuat tinjauan yang lebih dekat bagaimana kita hendak membangunkan program prasekolah di rumah-rumah panjang di Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menunaikan solat Jumaat dan menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Masjid Assyakirin di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan timbalannya, Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, pelaksanaan kelas prasekolah di rumah-rumah panjang adalah langkah yang baik dan amat sesuai berikutan faktor muka bumi di kawasan pedalaman.

Ujarnya, pelaksanaan kelas prasekolah itu juga akan membantu usaha kementeriannya untuk meningkatkan peratusan prasekolah yang merupakan salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Kementerian Pelajaran.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, ketika ini, sebanyak 300 buah bilik darjah baru di setiap sekolah di negara ini telah dikenal pasti untuk dijadikan kelas prasekolah.

"Sasaran kita untuk meningkatkan peratusan penyertaan murid-murid dalam kelas prasekolah daripada 67 peratus kepada 87 peratus dalam tempoh tiga tahun," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau bersetuju supaya cadangan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Balai dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Tambahnya, ia selaras dengan hasrat Kementerian Pelajaran supaya memberi keutamaan kepada usaha memperbaiki dan menaik taraf sekolah-sekolah yang usang dan kerap dilanda banjir di negara ini dalam RMK-10. - Utusan

My 1Malaysia platform pasar produk halal

PAMERAN My 1Malaysia Expo anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan usaha sama Union Shield Event & Marketing Sdn Bhd (USEMSB) yang bermula semalam sehingga esok bakal menjadi platform kepada usahawan Bumiputera untuk memasarkan produk makanan halal mereka ke luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif USEMSB, Abdul Latif Mohd Ali, berkata daripada 103 pengusaha yang menyertai pameran itu, 99 peratus daripadanya adalah usahawan Bumiputera dengan memfokuskan kepada produk asas tani serta kajian dan penyelidikan.

"Kami akan mengumpul maklumat mengenai usahawan yang menyertai pameran kali ini terutama mereka mempunyai produk yang berpotensi untuk menembusi pelbagai peringkat pasaran, malah kami jangkakan 15,000 pengunjung akan hadir," katanya di majlis perasmian Pameran My 1Malaysia Expo di Kuala Lumpur, semalam.

Pameran dilancarkan Timbalan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Johari Baharum.

Abdul Latif berkata, promosi dan pasaran bagi produk makanan halal yang melepasi standard itu nanti turut dijalankan dengan kerjasama Persatuan Persahabatan Malaysia-China, Persatuan China Muslim Taiwan dan lembaga Promosi Ekonomi dan Kebudayaan Eropah.

Menurutnya, segala aktiviti pemasaran juga akan dipantau Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).
Sementara itu, Johari berkata, kementeriannya juga menyasarkan untuk menurunkan sekurang-kurangnya 10 sehingga 20 peratus nilai import makanan dari luar negara bagi meningkatkan pengeluaran produk tempatan.

Beliau berkata, pada 2008 Malaysia sudah mengimport produk makanan bernilai RM27.9 bilion manakala nilai eksport makanan hanya RM17.8 bilion manakala purata dagangan defisit adalah tetap iaitu sekitar RM9 bilion hingga RM10 bilion setiap tahun tanpa penguncupan.

Pameran My 1Malaysia Expo diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra iaitu dibuka dari jam 10 pagi hingga 8 malam dan masuk percuma. - Harian Metro

2,000 hektar untuk tanaman keledek Vitato

Friday, January 22, 2010

PASIR PUTEH 21 Jan. - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kelantan mensasarkan 2,000 hektar tanah beris di jajahan ini dan Bachok ditanam keledek Vitato sebagai tanaman gantian tembakau.

Timbalan Pengarah LPP negeri, Sawalludin Ahmad berkata, penyelidikan MARDI mendapati tanaman itu mampu mengeluarkan hasil sebanyak RM24,000 bagi setiap hektar untuk semusim penanaman dalam tempoh hanya tiga bulan.

Katanya, pendedahan mengenai potensi tanaman, teknologi penanaman dan baka pokok berubi itu perlu disebarkan secara menyeluruh kepada petani agar mereka mengusahakannya secara komersial.

''Jajahan ini dan Bachok pastinya akan menjadi jelapang dan pusat pengeluaran keledek berkualiti dengan kapasiti pengeluaran hasil yang tinggi sekiranya kerja penanaman dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran penanaman keledek Vitato di Kampung Kuala Semerak dekat sini kelmarin.

Sawalludin berkata, LPP sedia membantu petani mengkomersialkan hasil tanaman itu dan setakat ini Lembaga Pemasaran Hasil Pertanian Persekutuan (FAMA) bersedia membelinya dengan kadar 60 sen bagi setiap sekilogram.

Menurutnya, skim intensif pengeluaran turut diperkenalkan iaitu ganjaran RM81 untuk setiap tan keledek Vitato bagi menggalak penyertaan lebih ramai petani menanam tanaman jangka pendek yang boleh diusahakan dua kali setahun.

"Bagi mencapai sasaran dan matlamat berkenaan LPP Kelantan kini memusatkan perhatian terhadap kawasan seluas 47 hektar dengan melibatkan penyertaan 68 petani yang mengusahakan tanaman itu secara sepenuh masa," katanya. - Utusan

Berniaga di pasar tani lumayan


SEBUAH pasar tani menerima kunjungan pelanggan yang menggalakkan di Kangar.


KANGAR 21 Jan. – Berniaga di pasar tani nampak seperti suatu perniagaan yang kecil, namun siapa sangka bahawa pulangan yang dinikmati oleh peniaganya adalah lumayan sehingga mampu meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.

Contohnya, jika dahulu Wan Nasruddin Wan Nidzamuddin, 29, berpendapatan hanya RM800 sebulan dengan bekerja sebagai pelayan di restoran makanan segera, kini dia meraih RM3,500 sebulan dengan berniaga makanan di pasar tani.

“Tujuh tahun saya bekerja di restoran dan sering terfikir sampai bila harus bekerja dengan gaji ‘cukup makan’ untuk sara hidup yang semakin tinggi.

Justeru saya melakukan penghijrahan dan bertekad untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan,” katanya.

Wan Nasruddin merupakan salah seorang penjual nasi lemak, ayam goreng dan minuman di Pasar Tani Taman Sena di sini sebanyak dua kali seminggu.

Apa yang menggembirakan ialah apabila sambutan orang ramai terhadap nasi lemaknya begitu menggalakkan.

Apa tidaknya, jika dahulu dia hanya menggunakan motosikal untuk berniaga, kini dia sudah mampu memiliki sebuah van dan mempunyai lima pekerja.

Seorang lagi peserta pasar tani, Ramli Omar, 66, adalah antara golongan peniaga veteran yang berniaga di pasar tani dengan menjual ayam yang telah diproses.

Pendapatannya walaupun tidak menentu, namun amat lumayan iaitu pendapatan bersih RM4,000 sebulan dengan berniaga sebanyak enam kali seminggu.

Menurut Ramli, walaupun berniaga ayam yang merupakan produk harga kawalan, namun ia tetap memberi keuntungan kepada para peniaga.

“Di pasar tani, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga kerana ia telah ditetapkan dan sentiasa dipantau, namun itu tidak bermakna ia tidak boleh membawa keuntungan,” katanya.

Namun begitu, dengan faktor usianya yang semakin meningkat, dia berhasrat mewariskan perniagaan itu kepada anak-anaknya kerana percaya perniagaan membawa rezeki yang besar.

Dalam pada itu Sharifah Rohim, 45, yang dahulunya menanam sayur-sayuran kampung berhampiran rumahnya dan terpaksa menolak hasil ladang ke pasar borong dengan pendapatan RM800 sebulan, juga telah beralih ke pasar tani.

Apabila diberi peluang menjual sendiri hasil tanaman di pasar tani, Sharifah berjaya mendapat keuntungan yang berlipat ganda iaitu kira-kira RM650 seminggu.

“Saya menjual sayur enam kali seminggu di pasar tani. Jika dahulu saya cuma menjual hasil tanaman sendiri, kini saya membeli sayur-sayuran daripada orang kampung, sekali gus saya dapat membantu mereka walaupun tanaman yang dihasilkan tidak banyak,” katanya.

Ku Hasrin Ku Abd. Rahman, 28, pula mula berkecimpung dalam aktiviti perniagaan di pasar tani sejak 2007 di Pasar Tani Desa Raya di sini.

Bekas pekerja kilang pembungkusan di Pulau Pinang itu tidak pernah berasa bosan walaupun pada peringkat awal pendapatannya tidak seberapa.

Ku Hasrin kini berniaga produk makanan seperti rempah ratus dan minyak kelapa dara (VOC).

“Keuntungan berniaga lebih lumayan berbanding makan gaji kerana dengan menjual rempah ratus, saya mampu meraih keuntungan RM600 sebulan manakala VOC pula RM3,000 sebulan,” katanya.

Muhamad Irsyad Abdul Razak, 22, pula adalah antara remaja yang gigih berniaga di pasar tani dengan menjual baja organik.

Anak muda ini yang berkecimpung dalam perniagaan di pasar tani sejak tiga tahun lalu berniaga dua kali seminggu dan memperoleh pendapatan bersih RM6,000 sebulan.

“Saya mula berniaga produk ini sebaik sahaja tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan apabila mendapati hasil jualan yang menguntungkan, saya tidak terfikir untuk berhenti berniaga,” katanya.

Berbekalkan semangat yang berkobar-kobar dan keinginan yang kuat untuk meningkatkan perniagaannya, ia membuatkan Muhamad Irsyad berusaha untuk memantapkan diri dengan mengambil kursus persijilan dalam bidang pertanian. - Utusan

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya