PM: Ubah Persepsi Pengangkutan Awam Untuk Golongan Bawahan

Wednesday, March 31, 2010

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melihat logo 1 Malaysia pada badan gerabak Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Putra selepas merasmikannya di Kuala Lumpur, hari ini. Hadir sama, Datuk Seri Ong Tee Keat (dua kiri), Pengerusi Prasarana Negara Berhad, Tan Sri Izzuddin Dali (dua kanan) dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Prasarana Berhad, Datuk Idrose Mohamed (kiri).

PETALING JAYA, 31 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata usaha menjayakan peningkatan penggunaan pengangkutan awam menuntut anjakan minda secara ketara di kalangan rakyat.

Perdana Menteri berkata yang paling utama adalah keperluan mengubah persepsi bahawa pengangkutan awam adalah bagi golongan berpendapatan rendah atau golongan bawahan.

"Saya kadang-kadang tersenyum sendiri mengenangkan ada pihak yang tidak bermasalah untuk menggunakan pengangkutan awam bila berada di luar negara, tetapi bila di dalam negara sendiri tidak sanggup menaiki LRT atau bas kerana berpandangan bahawa kononnya ia kurang glamour ataupun tidak berprestij," katanya semasa melancarkan Tren 4-Gerabak 1Malaysia untuk laluan Kelana Jaya, di Depoh Subang RapidKL, di sini, Rabu.

Perdana Menteri berkata mungkin ada faktor lain yang menyebabkan sikap ini seperti faktor cuaca dan liputan perkhidmatan yang kurang memuaskan.

Namun, beliau berkata persoalannya adalah "jika perkara-perkara tersebut tidak menjadi perkiraan, apakah ada kesediaan dari kalangan masyarakat untuk berhijrah kepada pengangkutan awam daripada menggunakan kenderaan sendiri".

Najib berkata pada realitinya, peningkatan penggunaan pengangkutan awam amat bergantung kepada pembudayaan dan sikap yang seharusnya ada pada masyarakat, selain usaha kerajaan.

Perdana Menteri berkata rangkaian pengangkutan awam perlu mampu menyokong pertumbuhan ekonomi, pertumbuhan bilangan penduduk dan kepelbagaian aktiviti di bandar.

"Bagi kerajaan matlamat atau sasaran utama ialah untuk meningkatkan peratusan (orang ramai) yang menggunakan pengangkutan awam kepada 25 peratus menjelang 2012, memperbaiki masa perjalanan, mempertingkatkan keselesaan dan kemudahan pengguna dan mempertingkatkan kebolehcapaian dan kesalinghubungan," katanya.

Kata Najib, Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan telah menggariskan beberapa bidang tumpuan dalam merealisasikan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), untuk mempertingkatkan perkhidmatan pengangkutan awam di bandar dengan empat fokus utama antaranya meningkatkan kualiti perjalanan menggunakan pengangkutan awam bermula daripada pengguna melangkah keluar rumah sehingga tiba di destinasi akhir.

Untuk mencapai tujuan ini beberapa tindakan akan dilaksanakan, antaranya kapasiti KTM Komuter dan LRT akan ditingkatkan sebanyak 1.7 sehingga empat kali ganda, katanya.

Untuk tujuan itu, sebanyak 850 buah bas akan ditambah untuk meningkatkan liputan perkhidmatan sedia ada dan lebih 50 laluan baru akan diperkenalkan bagi menambah rangkaian hubungan seiring dengan pembangunan sebuah sistem pengangkutan bersepadu, katanya.

Beliau berkata selain itu, konsep satu tiket satu perjalanan, iaitu penggunaan satu tiket untuk semua bentuk pengangkutan awam, sama ada bas, LRT atau monorel akan diperkenalkan.

Selain itu, lebih 6,000 tempat meletak kereta di 14 stesen rel utama juga akan disediakan dan perkhidmatan bas pengantara akan dipertingkatkan lagi.

Tiga buah terminal pengangkutan bersepadu (ITT) utama di luar bandar akan diwujudkan bertujuan mengehadkan kemasukan kenderaan berat ke kawasan perniagaan pusat (CBD). -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya