JARo latih OKU berdikari

Wednesday, March 10, 2010

JOHOR BAHRU 9 Mac – Mereka tidak meminta dilahirkan kurang sempurna seperti insan biasa lain apatah lagi menambahkan beban di bahu ibu bapa masing-masing.

Biarpun begitu, perasaan mereka sama seperti insan sempurna – punya rasa gembira, marah, duka, ingin disayangi, dibelai, dimanja dan diberi perhatian.

 PARa pelatih JARO sedang menyiapkan penjilidan buku yang ditempah pelanggan di Sungai Chat, Johor Bahru, semalam.

Namun, dek kerana kealpaan manusia dalam mengejar tuntutan hidup, orang kurang upaya (OKU) seakan-akan terpinggir di bumi sendiri.

Mereka ada yang dibiarkan mengemis di jalanan, ‘disembunyikan’ di dalam rumah hanya kerana kekurangan yang dimiliki malah dihantar ke rumah kebajikan tanpa dijenguk walau sekali.

Itu fenomena biasa yang dilihat mata kasar. Mujurlah ada segelintir pihak termasuk kerajaan membantu golongan ini dengan memberikan pelbagai bantuan dan menyediakan pusat perlindungan.

Malah, OKU di Johor amat bertuah kerana ada pusat yang bersedia membimbing dan menerima mereka bekerja terutamanya dalam usaha mencari pengalaman dan kemahiran untuk berdikari.

Pusat yang dimaksudkan ialah Pertubuhan Pemulihan Kawasan Johor (JARO) yang terletak di Jalan Sungai Chat, di sini.

JARO mempunyai sembilan petugas yang diketuai Pengurusnya, Abdul Karim Yahya yang tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada 46 OKU yang bekerja di situ.

Menurut Abdul Karim, matlamat utama JARO adalah mendidik dan memberi latihan kemahiran kepada OKU dalam bidang jahitan, kraf tangan dan menjilid buku.

“Pada dasarnya JARO ingin memberi peluang kepada OKU untuk berdikari dan percaya kepada kebolehan diri. Sebab itulah kami memberi latihan selama tiga bulan kepada mereka.

“Kami juga tidak meletakkan sebarang had umur bagi golongan ini untuk mendapatkan latihan. Kami berharap selepas latihan yang diberikan, mereka dapat mengamalkan ilmu yang dipelajari di sini untuk menyara kehidupan,” katanya.

Menurutnya, ada ibu bapa yang menghantar anak-anak OKU ke situ dengan harapan mereka akan mendapat peluang pekerjaan.

Abdul Karim menjelaskan, JARO bukan pusat penjagaan tetapi memberi latihan serta tidak mampu menyediakan pekerjaan kepada peserta.

Namun, akibat rasa kekurangan yang menebal dalam diri peserta untuk berdepan dengan dunia luar dan memulakan pekerjaan, ada pelatih yang bekerja di JARO.

“Di samping mendapat gaji bulanan, setiap pekerja mendapat wang bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). JARO mendapat bantuan RM48,000 setahun daripada kerajaan Persekutuan dan RM40,000 daripada kerajaan negeri.

“Nak kira memanglah tidak cukup. Setahun perbelanjaan yang diperlukan kira-kira RM300,000 dan sebab itulah kami terpaksa meminta bantuan daripada syarikat swasta.

“Disebabkan masalah itulah, kami tidak berani untuk menambah pekerja OKU, takut tak terbayar gaji mereka,” katanya.

Abdul Karim berkata, kebanyakan hasil kerja tangan pekerja JARO dijual secara langsung kepada syarikat yang membuat tempahan atau di kedai JARO yang terletak di City Square dan Holiday Plaza.

Beliau menyifatkan pekerja OKU yang berkhidmat di JARO adalah golongan yang mudah menerima arahan, rajin dan setia kepada majikan atau pekerjaan mereka.

“Berdasarkan pemerhatian saya, bagi golongan ini tiada istilah ponteng atau ‘tuang’ kerja.

“Mereka sangat bijak dan jujur kepada majikan mereka. Namun, kadangkala mereka cepat sensitif akibat kekurangan yang ada pada diri,” katanya.

Hakikatnya, golongan OKU sama seperti insan lain, malah kadangkala lebih baik dari insan sempurna jika dilihat dari beberapa segi. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya