RM150 juta tingkatkan penempatan Orang Asli

Sunday, March 7, 2010

KUALA LUMPUR 6 Mac – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengumumkan pemberian peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta untuk meningkatkan prasarana penempatan Orang Asli di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan sendiri oleh koperasi dan usahawan Orang Asli dalam tempoh tiga tahun akan datang.

‘‘Program pembangunan prasarana penempatan Orang Asli ini akan memberi manfaat kepada masyarakat itu asalkan mereka tidak mengalibabakan projek yang diberikan kerajaan,’’ katanya.

SHAFIE Apdal bersalaman dengan para peserta pada majlis perasmian Konvensyen Tanah dan Akta Orang Asli Semenanjung Malaysia di Kompleks Darul Putri Cheras, Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Tanah dan Akta Orang Asli Semenanjung Malaysia di sini hari ini.

Program anjuran Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia (PSOA) itu turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Datuk Mohd. Sani Mistam dan Presiden PSOA, Rashid Ka’.

Dalam pada itu jelasnya, kerajaan terus berusaha meningkatkan kemudahan pendidikan dan latihan untuk Orang Asli dengan sasaran sekurang-kurangnya 112 pelajar dapat melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tahun ini.

Katanya, menerusi usaha itu kerajaan juga menyasarkan sekurang-kurangnya lima pelajar Orang Asli dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Menurutnya, ia bagi memastikan generasi muda masyarakat itu berpelajaran dan dapat membantu membebaskan keluarga serta masyarakat mereka daripada belenggu kemiskinan.

“Terdapat sekitar 300 pelajar Orang Asli di IPTA sekarang dan kita menyasarkan minimum 112 lagi pelajar dapat melanjutkan pelajaran ke universiti tahun ini.

“Saya telah meminta Majlis Amanah Rakyat (Mara) menilai bidang bersesuaian untuk menghantar sekurang-kurangnya lima pelajar orang asli yang berkelayakan melanjutkan pelajaran ke luar negara,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd. Shafie memaklumkan kemasukan serta merta Rashid ke dalam Majlis Penasihat Kebangsaan Orang Asli bagi membolehkan pandangan dan pendapat daripada PSOA mahupun masyarakat itu disampaikan lebih pantas kepada kerajaan.

Jelasnya, pelajar Orang Asli yang cemerlang dalam peperiksaan juga akan dimasukkan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sementara golongan belia mereka diberi peluang menyertai Pusat Giat Mara.

Tambahnya, setelah mendapat pendidikan dan kemahiran, mereka perlu mengambil tempat di jabatan-jabatan kerajaan bagi membentuk rangkaian untuk memudahkan proses memajukan Orang Asli.

Dalam pada itu Mohd. Shafie memberitahu, pindaan ke atas Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) sedang diperhalusi Peguam Negara sebelum dibentangkan ke Dewan Rakyat bulan ini atau Jun ini.

“Pindaan akta tersebut dapat memudah dan meningkatkan hak milik berdaftar Orang Asli ke atas tanah mereka yang kini hanya berjumlah 0.03 peratus (Semenanjung Malaysia),’’ katanya.

Selain tanah dan pendidikan jelasnya, kementerian telah mengenal pasti beberapa bidang yang perlu dibangunkan untuk meningkatkan kualiti hidup Orang Asli termasuk kesihatan, ekonomi, prasarana penempatan serta pengetahuan tradisional dan warisan. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya