PUTRAJAYA: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar membayangkan keperluan subsidi sektor pertanian diteruskan tetapi dengan pendekatan penyampaiannya dikaji semula bagi menjamin bekalan makanan negara.
Beliau berkata subsidi pertanian tidak semestinya dihapuskan kerana terdapat juga negara maju yang masih memberi subsidi kepada sektor pertanian mereka.
"Kerajaan sedang membuat kajian menyeluruh (mengenai subsidi) dan kita perlu tunggu," katanya ketika ditanya sama ada subsidi di sektor pertanian akan turut dikurangkan berikutan usaha kerajaan untuk mengurangkan subsidi secara beransur-ansur.
Bercakap kepada media selepas melancarkan Program Agrochallenge Pekan 2010 di sini malam tadi, Noh berkata subsidi pertanian harus diteruskan bagi mengatasi defisit perdagangan sektor tersebut ketika ini kerana pengimportan yang tinggi.
"Kita mengalami defisit kira-kira RM5.2 bilion. Kita lebih banyak mengimport barang pertanian dari pasaran luar. Sasaran negara adalah untuk mencapai lebihan dagangan agro makanan sebanyak RM1.2 bilion pada tahun ini," katanya.
Noh berkata negara boleh mengimport beras dari luar umpamanya kerana harganya lebih murah berbanding subsidi yang harus dikeluarkan.
"Jika mahu ambil kira untung dan rugi kita boleh mengimport sahaja beras tetapi bagi menjamin bekalan makanan di dalam negara, kita tidak boleh bergantung kepada negara luar.
"Jika kekurangan beras berlaku di negara luar pasti ia akan menjejaskan negara pengimport juga," katanya.
Noh berkata sektor pertanian adalah sektor yang penting di mana negara perlu mempunyai keselamatan makanannya sendiri dan usaha harus diteruskan bagi memastikan Malaysia akan menjadi mampu diri.
Katanya golongan petani, penternak dan nelayan akan menerima subsidi, insentif dan bantuan bernilai hampir RM2 bilion di dalam Bajet 2010. - mstar online
0 comments:
Post a Comment