Antara ukiran bermutu Zulkipli Abas yang dipamerkan di bengkel Perusahaan Zulkipli, Batu 27, Kampung Sungai Buloh, Alor Gajah, Melaka.
MELAKA 15 Mac - Bahagian Sahabat Belia Jabatan Ketua Menteri Melaka bersedia membantu pengusaha perabot ukiran kayu, Zulkipli Abas, mengenal pasti kelompok belia yang berbakat untuk diketengahkan dalam bidang perusahaan seni ukiran.
Pengarahnya, Mohd. Nizam Omar berkata, selain menggalakkan lebih ramai belia terlibat dalam bidang itu, pihaknya juga menyokong setiap program sosial yang dianjurkan oleh Zulkipli.
Menurutnya, golongan belia di negeri ini mudah diajar dengan kemahiran baru dan bersedia mempelajari pelbagai teknik sekali gus dapat membantu mereka memilih bidang kerjaya yang sesuai.
''Menerusi program yang diatur, para belia akan didedahkan dengan pelbagai ilmu serta kemahiran yang mungkin mereka sendiri tidak pernah terfikir untuk melakukannya.
''Sebaliknya program yang diatur menjadi medium mencungkil bakat yang ada seterusnya menjadikannya sebagai pekerjaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Beliau mengulas hasrat Zulkipli untuk menarik penglibatan lebih ramai golongan belia di negeri ini untuk terlibat secara aktif dalam bidang seni ukiran kayu.
Selain itu, kata Nizam, Sahabat Belia negeri juga tidak menolak pelawaan dari individu atau kumpulan yang berhasrat menganjurkan kegiatan berfaedah bagi membantu meningkatkan pencapaian golongan belia pada masa depan.
''Ini seperti cadangan yang diusulkan oleh pihak yang mahukan belia mempelajari teknik menghasilkan perabot ukiran kayu.
''Pihak kami sentiasa terbuka dan pasti belia di luar sana berminat untuk mempelajari teknik ukiran kayu yang menjadi warisan kita," kata beliau.
Mohd. Nizam berkata, golongan belia di negeri ini bukan sekadar mempunyai ilmu yang tinggi dalam pembelajaran malah mereka berminat untuk melakukan teknik-teknik praktikal seperti mengukir kayu.
''Saya berharap selepas ini, Zulkipli dapat menjemput Sahabat Belia untuk datang ke bengkelnya dan mengajar para belia mengenai teknik mengukir kayu.
''Dengan adanya lebih banyak program seperti ini diadakan, sedikit sebanyak mampu membantu para belia yang belum mendapatkan pekerjaan.
''Keadaan ini mungkin dapat membantu pihak pengusaha dalam meningkatkan perusahaan mereka dan juga para belia mendapatkan pekerjaan," katanya. - Utusan
0 comments:
Post a Comment