Mara tawar 12,370 tempat kepada pelajar

Saturday, March 13, 2010

KUALA LUMPUR 12 Mac – Sebanyak 12,370 tempat disediakan untuk pelajar di institusi pendidikan yang dikendalikan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi sesi pengambilan Julai tahun ini.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kursus yang ditawarkan adalah bagi peringkat sijil, diploma, ijazah pertama dan sarjana dalam bidang akademik, profesional dan kemahiran teknikal.

‘‘Kolej Polytech Mara menawarkan 4,940 tempat, Universiti Kuala Lumpur (4,238), Kolej Profesional Mara (1,780), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (1,004) dan German-Malaysian Insititute (408),” katanya dalam ucapan perasmian Karnival Pendidikan Mara 2010 Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh.

Pada majlis itu, Idris menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Muhamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Finance Bank, Datuk Mohamed Azahari Kamil berhubung persetujuan bank itu memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi menaja 10 pelajar Sarjana Muda Perbankan Islam di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurut Mohd. Shafie, terdapat 10,800 tempat juga disediakan di Pusat GiatMara untuk pelajar yang ingin mempelajari kemahiran dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata, pelajar yang berminat melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan Mara boleh meninjau sendiri kursus yang ditawarkan di karnival pendidikan yang berlangsung sehingga Ahad ini.

‘‘Karnival sama akan diadakan di Plaza Astana, Kuching dari 19 hingga 20 Mac, Pusat Dagangan Sabah di Kota Kinabalu (24-25 Mac) dan Pusat Dagangan Terengganu di Kuala Terengganu (28-29 Mac).

‘‘Ia juga akan diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar dari 3 hingga 4 April dan Plaza Angsana, Johor Bahru (10-11 April),” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menasihatkan pelajar supaya memilih bidang pengajian berdasarkan minat masing-masing dan bukan kerana tekanan ibu bapa atau mengikut kawan-kawan.

‘‘Pelajar bumiputera yang tidak mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) juga perlu membuat permohonan untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya