Dasar terbuka Melaka tarik minat pelabur Jerman

Thursday, March 25, 2010

MELAKA 24 Mac - Pembangunan sektor industri di Melaka mempunyai masa depan yang cerah berikutan dasar terbuka dan proaktif yang dipraktikkan oleh kerajaan negeri.

Naib Presiden Kanan Teknologi Korporat Syarikat Siemens AG yang berpengkalan di Jerman, Dr. Urbanke berkata, dasar itu memudahkan pelabur membuat pelaburan manakala syarikat sedia ada pula akan berterusan melabur di Melaka.

 Mohd. Ali Rustam menandatangani buku pelawat ketika melawat Ibu Pejabat Siemens AG di Munich, Jerman, kelmarin. 

Menurutnya, usaha agresif perlu ditingkatkan jika kerajaan negeri ingin mengembangkan sektor industri selain menggalakkan lebih ramai pelabur datang membuat pelaburan.

''Melaka mempunyai masa depan yang cerah dalam sektor industri dan saya yakin dengan dasar terbuka diamalkan oleh kerajaan negeri ia akan menarik minat pelabur dari luar negara datang ke negeri ini," katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri di sini hari ini.

Urbanke berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dan menyampaikan taklimat kepada delegasi kerajaan negeri diketuai oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di ibu pejabat Siemens di Munich, Jerman, semalam.

Turut hadir ialah Duta Malaysia ke Jerman, Datuk Zakaria Sulong.

Setakat ini, Siemens telah membuka kilangnya di Petaling Jaya dan Melaka.

Syarikat itu kini bergabung dengan Infineon Technologies AG yang turut berpengkalan di sini.

Delegasi kerajaan negeri kini dalam rangka lawatan kerja dua minggu di beberapa negara di Eropah sehingga 27 Mac ini.

Ketika berada di ibu pejabat Siemens yang berpengkalan di Munich, delegasi kerajaan negeri turut dibawa melawat ke muzim syarikat itu.

Sementara itu Zakaria berkata, lawatan kerja oleh kerajaan negeri adalah wajar dan tepat pada masanya dalam usaha menggalakkan lagi syarikat-syarikat gergasi di Jerman membuat pelaburan di negeri ini termasuk Malaysia.

Katanya, peluang untuk menarik minat pelabur dari Jerman perlu digunakan memandangkan syarikat-syarikat daripada negara itu lebih berminat melabur di China, India dan Vietnam.

Sementara itu Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri, Daud Awang berkata, kunjungan itu mengakhiri lawatan kerja lima hari delegasi kerajaan negeri di Jerman.

''Selepas lawatan ke Jerman, delegasi kerajaan negeri akan membuat lawatan kerja di Amsterdam, Belanda sebelum berlepas pulang ke tanah air Sabtu ini," katanya.

Sebelum berlepas ke Amsterdam, katanya, Mohd. Khalil dan Mohd. Ali turut meluangkan masa meraikan kira-kira 20 pelajar Malaysia yang kini menuntut di beberapa universiti di Munich. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya