Wakil rakyat bantu projek tani

Monday, March 22, 2010

Kerajaan tubuh jawatankuasa IADA pantau rancangan pembangunan: Noh

JERTIH: Kerajaan akan penubuhan jawatankuasa pengurusan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) yang dianggotai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di lapan kawasan IADA seluruh negara, bagi memberi peluang wakil rakyat terbabit secara langsung dalam pelaksanaan projek pertanian di negeri masing-masing.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata penubuhan jawatankuasa dianggotai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu bertujuan menyelaras pemantauan projek pembangunan IADA di Projek Pembangunan Pertanian Terengganu Utara (Ketara), Besut, Terengganu; Barat Laut, Selangor; Keriang, Kedah dan Seberang Prai, Pulau Pinang.

Beliau berkata, buat kali pertama kementerian itu akan menubuhkan jawatankuasa pengurusan dan pemantauan yang dianggotai wakil rakyat, tidak seperti sebelum ini yang mana lembaga khusus ditubuhkan untuk menguruskan badan pertanian lain seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada). "Di negara ini ada lapan kawasan IADA dengan enam daripadanya adalah kawasan penanaman padi, manakala dua lagi kawasan pertanian biasa.

“Dulu IADA ditadbir di bawah Ketua Setiausaha kementerian, tetapi kita sudah bentangkan di kabinet minggu lalu supaya jawatankuasa pengurusan ini dianggotai oleh wakil rakyat BN,” katanya selepas majlis pecah tanah Projek Pembangunan Empangan Paya Peda, yang dilakukan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, di sini semalam. Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Mokhtar Ismail.

Sementara itu, Noh berkata, projek Empangan Paya Peda bernilai RM333 juta di sini, dijangka mampu menampung bekalan air untuk lebih 10,000 hektar tanaman padi di negeri ini, selain menjadi tempat penyimpanan air domestik untuk memenuhi keperluan sehingga 2050 dan mengurangkan masalah banjir di kawasan sekitar serta sebagai pusat akuakultur.

Katanya, projek empangan berkenaan yang juga bakal menjadi tarikan pelancongan itu dijangka siap sepenuhnya pada 2013, akan menempatkan empangan utama, empangan pelana, lencongan sungai dan jalan masuk.

Beliau berkata, empangan itu dijangka mampu mengumpul dan menakung sehingga 168 juta meter padu air secara penuh dan 165 juta meter padu dalam keupayaan biasa di kawasan seluas 1,200 hektar, sekali gus membantu mengurangkan fenomena kemarau yang mula melanda kini. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya