TEMERLOH 14 Mac - Kementerian Pengajian Tinggi memberi tempoh sebulan kepada semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menyediakan laporan lengkap mengenai bilangan mahasiswa miskin di universiti masing-masing.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) berkata, laporan dan statistik terkini itu diperlukan untuk membolehkan kerajaan menghulur kepakaran membantu mengatasi masalah mahasiswa yang miskin.
Katanya, pihaknya menerima banyak laporan mengenai segelintir pelajar tidak cukup perbelanjaan harian dan terpaksa 'mengikat perut' untuk meneruskan pengajian.
''Ada yang terpaksa bekerja sambilan di luar semata-mata mencari perbelanjaan bagi menampung kos belajar dan jika ini tidak diatasi, sudah tentu boleh menjejaskan tumpuan pelajaran mereka,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh ke-37 peringkat Zon Timur dan Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh di sini semalam.
Saifuddin berkata, jika kejadian itu benar-benar berlaku, pihaknya akan membuat kajian serta berunding dengan pihak yang memberi pinjaman atau biasiswa supaya membantu mengatasi masalah tersebut.
Bagaimanapun, jelas beliau, jika langkah itu membabitkan dasar, ia akan dikaji semula dengan mencari kaedah baru yang lebih fleksibel bagi mengelakkan beban pelajar tersebut berlarutan.
''Peluang rakyat negara ini untuk melanjutkan pelajaran ke mana-mana IPTA di negara ini semakin terbuka kerana terdapat 20 universiti awam dan dan 45 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menawarkan pelbagai bidang dan kursus," katanya.
Saifuddin memuji tindakan proaktif Universiti Teknologi Mara (UiTM) menawarkan 5,000 lagi tempat melalui pembinaan enam kampus baru di luar bandar.
Katanya, UiTM menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu IPTA mengambil lebih ramai pelajar miskin di seluruh negara pada sesi akan datang. - Utusan
0 comments:
Post a Comment