Untuk melindungi Pengguna : Bank perlu kebenaran mahkamah untuk tarik kereta

Sunday, March 28, 2010

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Sewa Beli 1967 yang akan dibuat bakal menyaksikan institusi kewangan dan perbankan perlu mendapatkan kebenaran mahkamah terlebih dahulu sebelum bertindak menarik kenderaan pengguna yang gagal menjelaskan ansuran bulanan mereka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pindaan itu dibuat bagi melindungi pengguna terutama apabila berhadapan dengan penarik kereta yang bertindak ganas dan sewenang-wenang menarik kenderaan mereka.


"Isu tukang tarik kereta yang bertindak ganas dan tidak mengikut undang-undang menyebabkan pengguna berada dalam ketakutan apabila berhadapan dengan mereka dan tindakan mereka ini pula dibenarkan oleh pihak institusi kewangan. "Jadi kita akan pinda akta ini, bagi memperkenalkan peraturan yang lebih ketat dan tarik kereta hanya boleh dilakukan selepas mendapat kebenaran mahkamah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Juara Rakyat "Bulan Agensi Kerajaan" Bahagian Wangsa Maju di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kebenaran mahkamah itu mungkin hanya diberi kepada pengguna atau peminjam yang sudah menjelaskan lebih dari satu pertiga daripada jumlah keseluruhan pinjaman yang dibuat.

"Kalau kurang dari satu per tiga, orang ini mungkin memang tidak berminat atau memang ada niat untuk tidak membayar, jadi kita tidak akan melindungi orang macam ini," katanya.

Beliau berkata, deraf pindaan itu yang akan diluluskan Jabatan Peguam Negara dijangka diterima pihaknya dalam minggu ini sebelum dibentang di Parlimen untuk bacaan kali pertama.

"Kita mahu cepat, kalau boleh saya mahu bacaan kali kedua juga dilakukan dalam tahun ini, supaya pindaan akta ini dapat dikuatkuasakan dan dilaksanakan dengan segera bagi melindungi pengguna," katanya.

Ismail Sabri berkata, selepas pindaan itu dibentang dan diluluskan di Parlimen, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan institusi kewangan bagi memperkenalkan peraturan pinjaman terutama prosedur menarik kenderaan.

Selain itu, Ismail Sabri berkata Akta Anti Keuntungan Berlebihan yang akan diperkenalkan akan membolehkan kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga yang menaikkan harga sesuatu barang tanpa sebab munasabah.

"Contohnya, apabila H1N1 menular dalam negara, peniaga mengambil peluang menaikkan harga topeng mulut, dari 50 sen kepada RM5, ini yang kita cuba elak.

"Sekarang ini kita tidak ada undang-udang untuk menyekat, tapi apabila akta ini diperkenal, peniaga boleh dikenakan tindakan jika menaikkan harga barang sesuka hati," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya