Seramik Temin kian dikenali

Thursday, March 4, 2010

JERANTUT 2 Mac – Sesuatu hasil seni bangsa lahir daripada kreativiti yang terpancar melalui nilai peradaban dan kehidupan masyarakatnya. Tidak terkecuali bagi bangsa Melayu yang begitu kaya dengan warisan seni kraf yang diwarisi sejak zaman berzaman.

Hasil seni Melayu menggambarkan budaya dan cara hidup masyarakatnya.

Sehubungan itu, warisan Melayu yang berbentuk tenunan, sulaman, tekat, batik, ukiran kayu dan seramik antara seni kraf yang begitu dekat atau sinonim dengan bangsa itu.


Kreativiti dan kehalusan seni termasuk motif begitu jelas terpancar dalam setiap hasil kerja tangan tradisional itu.

Lazimnya, pengetahuan dan kemahiran kraf biasanya dipelajari secara tradisional mengikut kaedah tidak formal.

Bagaimanapun, peredaran waktu dan keperluan semasa menuntut perubahan menerusi kaedah pembelajaran ilmu serta kemahiran secara lebih formal.

Menyedari hakikat dan keperluan ini, maka Institut Kraf Negara (IKN) diwujudkan bertujuan menjadi salah satu gelanggang pendidikan formal bagi pelajar dalam bidang seni kraf tempatan.

Salah sebuah perusahaan seramik yang kini meningkat maju iaitu Temin Kraf di Kampung Temin dekat sini yang beroperasi mengeluarkan pelbagai barangan cenderamata berasaskan seramik.

Pelbagai produk seramik dihasilkan syarikat berkenaan termasuk labu sayong, labu kecil, lampu tidur dan pasu besar.

Menurut salah seorang pengusaha Temin Kraf, Zainal Idris, 43, syarikat yang beroperasi sejak 15 tahun lalu merupakan program inkubator di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

‘‘Kami memulakan perniagaan ini dengan modal permulaan sebanyak RM10,000 bagi membina bengkel termasuk peralatan, membeli tanah liat dan bahan bagi menghasilkan produk seramik sementara pihak Kraftangan menyediakan fasiliti dan bimbingan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Katanya, pendidikan dan kemahiran yang diperoleh secara singkat di Pusat Karyaneka Temerloh dan Kuala Lumpur digunakan sepenuhnya untuk memulakan perniagaan sehingga dikenali di Pahang dan Lembah Klang.

Kejayaan Temin Kraf juga menurutnya, hasil bantuan dan kerjasama Kraftangan Malaysia, Pejabat Daerah Jerantut dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang menyediakan peralatan, bengkel, tapak serta teknikal untuk menghasilkan seberapa banyak produk seramik.

Zainal menambah, seramik dihasilkan yang dikenali sebagai Terenang atau Pasu Tembeling mendapat sambutan menggalakkan di kalangan pelancong yang singgah di bandar Jerantut sebelum ke Taman Negara, Kuala Tahan dekat sini.

“Kami turut menerima banyak tempahan pasu besar daripada jabatan kerajaan, hotel dan resort bagi menghiasi ruang dan landskap di premis masing-masing,” katanya.

Seterusnya, beliau menjelaskan, ‘trend’ terkini yang menjadi pilihan orang ramai ialah pasu besar berbentuk klasik dengan warna yang kusam atau ‘matte,’ pudar dan nampak seperti antik.

Pasu atau Terenang Pahang itu, kata Zainal, amat menarik jika dijadikan hiasan taman atau sebagai kolam di sudut ruang yang kecil.

‘‘Motif alam semulajadi seperti flora dan fauna menjadi pilihan ramai. Selain itu, kami turut menyelitkan corak ukiran kayu atau sulur kacang,” katanya.

Kebiasaannya, motif yang digunakan untuk menghias terenang ialah hiasan tumbuh-tumbuhan dan unsur geometri iaitu bunga cengkih, bunga kedudut, bunga tanjung, bunga padi, bunga pecah empat, bunga pecah lapan, bunga lawang dan pucuk rebung.

“Pada masa akan datang, kami merancang meluaskan pengeluaran dengan reka bentuk dan corak yang pelbagai bagi memenuhi permintaan,” katanya.

Rakannya, Mohammad Zakaria, 40, pula berkata, syarikatnya kini menghasilkan kira-kira 50 kraf seramik pelbagai saiz dan bentuk untuk digunakan sebagai hiasan, cenderamata dan bekas menyimpan air atau lebih dikenali sebagai terenang.

‘‘Kita akan berusaha menambah lebih banyak seramik berasaskan tanah liat terutama yang bermotifkan tumbuhan, haiwan dan kontemporari dalam usaha mengetengahkan seramik Temin ke pasaran di Lembah Kelang.

‘‘Selain terenang yang cukup terkenal di sini, kita juga menghasilkan rekaan antaranya seramik berbentuk perahu panjang Tembeling, cawan, mangkuk, labu, teko, bekas telur dan pasu,” katanya.


Bagi menghasilkan pelbagai jenis seramik, jelasnya, syarikat itu menggunakan kira-kira satu tan tanah liat yang diperoleh daripada pembekal di Selangor dengan harga RM850 setan.

‘‘Kita mampu mengeluarkan lebih 3,000 unit seramik pelbagai saiz bergantung kepada permintaan dan bekalan tanah liat.

‘‘Seramik ini dijual daripada harga RM3 hingga RM100 sebuah berasaskan saiz, motif dan warna,” katanya.

Beliau menambah, walaupun dibantu peralatan teknologi mesin untuk menghasilkan seramik, adakalanya pekerjanya menggunakan tangan terutama bagi proses ukiran motif dan kreativiti tertentu untuk memperlihatkan keunikan terenang atau Labu Tembeling. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya