Hak semua diambil kira

Tuesday, March 9, 2010

KUALA LUMPUR 8 Mac - Kerajaan memberi jaminan bahawa kepentingan semua kaum akan diambil kira dalam Model Ekonomi Baru (MEB) yang kini sedang dalam peringkat penggubalan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehubungan itu semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu mewakili setiap kaum akan diberi peluang meneliti cadangan MEB yang sedang disediakan Majlis Penasihat Ekonomi dan memberi input masing-masing.

"Saya tahu setiap rakyat Malaysia, bukan sahaja Majlis Perundingan Melayu (MPM) mahu memberikan pandangan.

Muhyiddin Yassin bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melihat pelajar Sekolah Menengah Teknik Gombak bermain Eksplorasi Cabaran Sejarah produk permainan yang dihasilkan oleh guru sekolah tersebut selepas merasmikan pelancaran 1 Komuniti 1 Koperasi di Padang Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh, Selangor, semalam.

"Saya beri jaminan bahawa semua akan dirundingi. Kaum Cina mempunyai NGO mereka sendiri, kaum India juga ada NGO mereka sendiri dan semua NGO ekonomi dan sosial ini mungkin mempunyai idea mereka sendiri dan kami akan mengambil kira semua ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program 1 Komuniti 1 Koperasi di Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Muhyiddin mengulas desakan MPM dianggotai 76 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu semalam supaya kerajaan tidak terburu-buru mengumumkan MEB kerana bimbang ia bakal menimbulkan polemik dalam soal yang membabitkan hak serta kepentingan Melayu dan bumiputera.

Pengasas MPM, Datuk Ibrahim Ali berkata, MEB perlu diperhalusi sepenuhnya agar kepentingan Melayu dan bumiputera terus terbela selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) berkata, kerajaan perlu memastikan setiap dasar ditetapkan dalam MEB berteraskan kepada peruntukan tersebut agar tidak menimbulkan kemarahan di kalangan orang Melayu hingga menjadi isu politik.

Menurut Muhyiddin, walaupun pandangan semua pihak akan diteliti, keputusan muktamad mengenai bagaimanakah bentuk sebenar MEB akan diputuskan sepenuhnya oleh kerajaan.

"Apa juga keputusan yang dibuat oleh kerajaan dari hari pertama hingga hari ini semuanya mengikut Perlembagaan, mengikut semangat Perlembagaan, sentiasa mengikut ketetapan dalam Perlembagaan.

"Kami amat memahami dan saya tidak fikir mana-mana kaum perlu berasa bimbang. Akan ada cukup masa bagi mereka diberi peluang untuk melihat cadangan MEB ini," katanya.

Tambah Muhyiddin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberi masa secukupnya kepada pelbagai kumpulan mengemukakan pandangan untuk diteliti kerajaan.

"Pengumuman tarikh pelancaran MEB akan datang daripada Perdana Menteri sendiri.

"Tunggu dan sabar kerana setiap kumpulan dalam masyarakat sama ada berkaitan politik, ekonomi dan sosial mempunyai idea tersendiri yang boleh dimasukkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai tiadanya parti komponen Barisan Nasional (BN) yang hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MCA semalam, Timbalan Perdana Menteri berkata, BN tidak akan masuk campur mengenai kemelut yang dihadapi parti itu.

Menurutnya, beliau yakin kepimpinan MCA mampu menyelesaikan kemelut dalaman yang kini sedang menghantui parti yang mewakili kaum Cina itu.

"Dengan adanya pemilihan baru pada 28 Mac ini, saya yakin mereka mempunyai penyelesaian untuk parti itu. Biarlah para perwakilan parti ini yang akan menentukan siapakah pemimpin yang akan mewakili mereka," katanya.

Beliau yakin pemimpin dan perwakilan MCA mempunyai cara tersendiri menyelesaikan kemelut yang dihadapi parti itu.

"Kita serahkan kepada mereka untuk selesaikan masalah dalaman parti itu dan juga mengenai pemilihan baru parti itu.

"Mereka seharusnya tahu apa yang perlu dilakukan untuk selesaikan kemelut yang dihadapi parti itu," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya