Pisang goreng Mawar popular

Saturday, March 13, 2010

PENGGUNAAN pisang yang bermutu tinggi selain ramuan tepung khas yang direka sendiri menjadikan produk pisang goreng Mawar Rasid Ghani antara yang popular di Jalan Sungai Chat , Johor Bahru. 

JOHOR BAHRU 12 Mac - Sebut sahaja 'Pisang Goreng Mawar', ramai yang mengenalinya terutama warga bandar raya ini.

Ini kerana gerai pisang goreng yang terletak berhampiran bangunan Majlis Wanita Johor (Mawar) di Jalan Sungai Chat itu mempunyai tarikan tersendiri.

Tarikan dan kelebihan gerai itu ialah menjual pelbagai jenis pisang goreng yang menjadi teras perniagaannya.

Pengusaha Mawar Cafe, Rasid Ghani berkata, antara pisang goreng yang dijual adalah nipah, tanduk, nangka dan yang paling eksklusif adalah pisang raja.

Rasid, 50, yang mengusahakan perniagaan itu sejak enam tahun lalu berkata, antara ciri-ciri produknya yang menjadi tarikan adalah jenis pisang bermutu dan ramuan bancuhan tepung yang diolah dan direka sendiri.

Menurutnya, bagi memastikan bekalan tidak putus dan bermutu tinggi, pisang tanduk dan nipah ditempah dari Perak dan pisang raja dari Pontian.

Rasid yang dibantu isterinya, Kamsiah Ali berkata, gerai berkenaan dibuka dari pukul 11 pagi hingga 6.30 petang dan hari yang paling ramai pelanggan adalah pada hujung minggu.

Selain pisang, mereka turut menjual kuih-muih tradisional, nasi lemak dan pelbagai jenis mi.

"Apa yang membanggakan, para pelanggan kami bukan sahaja terdiri daripada penduduk bandar raya ini, malah pelanggan dari Singapura.

"Kalau pelanggan Singapura, lazimnya mereka akan membeli dalam jumlah yang banyak iaitu antara RM50 hingga RM70.

Rasid mengakui, gerainya juga popular di kalangan artis, orang kenamaan dan para pemimpin di peringkat tempatan atau pusat.

"Kalau artis memang ramai yang datang ke sini antaranya Mawi, Chef Wan, Erra Fazira, Amy Search dan Datuk Khatijah Ibrahim. Bila berkunjung ke sini, mereka tidak melepaskan peluang untuk menikmati pisang goreng di gerai kami," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya