MEB Penuhi Konsep 1Malaysia, Kata Dr Mahathir

Friday, April 2, 2010

PETALING JAYA, 2 April (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada Selasa lepas memenuhi konsep 1Malaysia kerana ia meliputi semua kaum.

Bekas Perdana Menteri itu berkata pengenalan MEB itu menunjukkan Najib memahami keperluan semua kaum di negara ini termasuk orang Melayu.

" Saya rasa beliau faham keperluan menangani semua komuniti dan tidak melupakan komuniti beliau sendiri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku dan pameran lukisan 'Painted-Axioms of Life Experiences" karya Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa Kejururawatan Prof Datuk Dr Hashim Yaacob di Subang Jaya dekat sini.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

MEB dilaksanakan untuk melonjakkan ekonomi negara menjadi negara maju menjelang 2020 dan seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat secara keseluruhan.

Apabila ditanya mengenai pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang akan diadakan pada 25 April depan, Dr Mahathir menyatakan kekhuatirannya tentang pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi menawan kembali kerusi itu.

Oleh itu, beliau berharap BN meletakkan calon yang sesuai dan boleh diterima oleh penduduk kawasan itu.

"Saya fikir memang penting parti kerajaan mencapai kemenangan tetapi kalau letak calon yang tidak boleh diterima penduduk tempatan, saya khuatir (calon) akan ditolak," katanya.

Mengenai genap setahun pimpinan Najib sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata tempoh setahun tidak cukup untuk menilai kepimpinan dan perubahan yang dibawa oleh Najib.

"Satu tahun belum cukup untuk membuat penilaian. Satu tahun ialah untuk mempelajari kerja," katanya.

Dr Mahathir berkata dasar dan perancangan baru yang dikemukakan oleh Najib hanya dapat dinilai apabila ia berjaya dilaksanakan dan membuahkan hasil. -- BERNAMA

1 comments:

春樺春樺 said...

如果你不思考未來,你便不會有未來..............................

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya