SAMARAHAN 9 Mac – Penanaman padi jenis beras merah bukan sesuatu yang baru di Sarawak kerana ia ditanam sejak turun temurun. Beras merah biasanya digunakan sebagai bahan asas dalam industri makanan bayi memandangkan ia tidak memberikan sebarang alahan kepada bayi.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Alfred Jabu Numpang (tengah) menunjukkan padi jenis beras merah sempena pelancaran program pengeluaran beras merah secara komersial di Tebedu, Samarahan, baru-baru ini.
Justeru, beras merah adalah pilihan pengilang makanan bayi kerana warna semula jadi yang menarik serta khasiat pemakanan yang lebih baik berbanding dengan beras biasa.
Ini kerana, kandungan zat galian beras merah seperti fosforus dan kalsium yang baik untuk kesihatan tulang adalah dua kali ganda berbanding beras putih.
Timbalan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Shariff Haron berkata, sememangnya polisi kerajaan tidak membenarkan beras merah ditanam di Semenanjung sebab dikhuatiri akan merosakkan atau mencemarkan jelapang padi sedia ada.
Menurutnya, Sarawak mempunyai kelebihan untuk menanam beras merah ini memandangkan ia memang sudah biasa ditanam secara tradisional di negeri ini.
Bagaimanapun, katanya, dalam konteks tersebut, MARDI telah memodenkan cara penanaman beras merah di Sarawak dengan membangunkan beras merah jenis baru iaitu YTM16.
“Ciri agronomi bagi YTM16 tidak banyak berbeza antara satu sama lain. Dengan ketinggian pokok sekitar 78 centimeter, ia dikelaskan sebagai varieti renek.
“Tempoh matang ialah antara 105 hari hingga 110 hari selepas ditabur dan berpotensi menghasilkan antara 3 hingga 3.5 tan metrik beras merah bagi setiap hektar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurut Shariff, perbezaan utama varieti beras merah moden adalah ia lebih rendah dan matang awal berbanding dengan beras merah tradisional iaitu 145 hari hingga 155 hari.
YTM16 juga rintang terhadap penyakit karah, sederhana rintang terhadap penyakit hawar daun bakteria dan juga sederhana rintang kepada penyakit hawar seludang serta perosak benah perang.
Jenis varieti baru itu juga boleh ditanam untuk dua musim dalam tempoh setahun, namun apa yang penting dan diperlukan untuk memastikan hasil yang tinggi adalah air yang mencukupi.
“Pada masa ini, permintaan terhadap beras merah hanya melibatkan pengilang makanan bayi seperti Nestle (Malaysia) Berhad dan Malaysia terpaksa mengimport beras jenis itu.
“Permintaan dijangka kekal berterusan mengikut permintaan pengilang industri makanan berasaskan beras dan penanaman padi sekali gus mengurangkan pengimportan beras merah,” ujarnya.
Bagaimanapun, Shariff memberitahu, sekiranya kerajaan benar-benar mahu melaksanakan projek penanaman varieti beras merah itu, tidak mustahil pengeluarannya akan melebihi daripada sekadar permintaan kilang-kilang industri yang berasaskan beras.
Sehubungan itu, menurutnya, orang ramai boleh menikmati beras merah ini yang diyakini baik untuk kesihatan memandangkan kandungan gulanya rendah serta memiliki vitamin B atau sebagainya.
“Cuma pada ketika ini, orang ramai masih tidak didedahkan mengenai khasiat serta kandungan beras merah ini apatah lagi pada masa ini kita masih mengimport beras ini dan menyebabkan harganya mahal, jadi orang ramai tak makan.
“Maka, jika Sarawak mampu menjadi pengeluar beras merah, tidak mustahil hasil itu boleh dieksport ke Semenanjung.
“Kita sudah nampak Sarawak mempunyai potensi dalam penanaman padi beras merah ini. Perubahan teknik penanamanperlu dilakukan jika mahu meningkatkan hasil yang tinggi,” jelas beliau.
Sharif memberitahu, setakat ini terdapat lima atau enam lokasi dikenalpasti di negeri ini untuk tujuan penanaman beras merah ini dengan keluasan kira-kira 300 hektar. - Utusan
0 comments:
Post a Comment