Burung walet jana RM5 bilion

Tuesday, March 16, 2010


KUCHING 15 Mac - Industri sarang burung walet di negara ini mampu menghasilkan pendapatan sehingga RM5 bilion dengan pengeluaran 500 tan metrik setahun menjelang tahun 2020.

Menteri Muda Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Talib Zulpilip berkata, untuk menghasilkan jumlah pengeluaran sebanyak itu, negara ini perlu mempunyai lebih 100,000 rumah burung itu dan Sarawak mempunyai potensi untuk tujuan berkenaan.

Ini kerana, jelasnya, negeri ini mempunyai banyak kawasan berpotensi untuk memikat burung walet khususnya di sepanjang perairan Tanjung Datu hingga ke utara Sarawak iaitu di Lawas.


''Sarang burung walet dikatakan mempunyai khasiat dalam penjagaan kesihatan malah mempunyai pasaran tinggi di peringkat antarabangsa.

''Dengan potensi pasaran tersebut, kita berharap lebih ramai penduduk di negeri ini menceburi bidang memikat burung walet yang bukan hanya mampu meningkatkan ekonomi masing-masing bahkan kepada pendapatan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pembukaan Kursus Pemikatan Burung Walet di Dewan Masyarakat Sematan dekat sini hari ini.

Talib berkata, pasaran utama sarang burung walet pada masa ini adalah seperti China, Jepun, Korea dan Taiwan di samping pasaran domestik dalam negara.

Katanya, keempat-empat negara tersebut mempunyai jumlah penduduk yang tinggi dan mempercayai khasiat sarang burung walet dalam penjagaan kesihatan menjadikan mereka pengimport terbesar produk berkenaan.

Tambahnya, pada tahun lalu sahaja, sebanyak 250 tan metrik sarang burung walet daripada 50,000 rumah burung telah dihasilkan dengan nilai pendapatan sebanyak RM1 bilion bagi pasaran tempatan dan luar negara.

''Justeru, industri ini sememangnya memberi pulangan lumayan memandangkan harga sarang burung itu mengikut gred dengan harga tempatan RM4,500 hingga RM6,500 sekilogram manakala pasaran dunia pula menjangkau RM6,000 hingga RM12,000 sekilogram.

''Saya berharap rakyat di negeri ini mengambil peluang seumpama itu untuk mengusahakan tanah terbiar di sekitar kawasan masing-masing untuk menjalankan perniagaan sarang burung walet," katanya.

Mengenai kursus anjuran SEDC tersebut, Talib memberitahu, ia disertai seramai 250 orang peserta berdaftar dari bahagian Lundu dan Sematan selama sehari.

Menurutnya, tujuan kursus untuk memberi gambaran secara menyeluruh tentang industri burung walet kepada para peserta supaya mereka memahami peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi dalam bidang ini. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya