914 nelayan terima elaun

Wednesday, March 10, 2010

PULAU PINANG 9 Mac – Kehidupan golongan nelayan ibarat ombak di laut, ada pasang surutnya. Menyedari pendapatan yang tidak menentu dan demi membantu golongan itu menjalani kehidupan lebih selesa, justeru, pelbagai insentif telah dilaksana dan disediakan oleh kerajaan.

Hilmi Yahaya (kiri) bermesra dengan sebahagian daripada 914 nelayan di daerah Bayan Lepas dan Balik Pulau yang menerima elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan setiap seorang di Dewan Kompleks Sukan Balik Pulau, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Antara insentif itu termasuk pemberian subsidi untuk membeli minyak diesel, peralatan perikanan dan memberi elaun sara hidup setiap bulan kepada seluruh nelayan terlibat.

Kerajaan Pusat memperkenalkan pemberian elaun sara hidup tersebut bermula Jun 2008 yang melibatkan kira-kira 80,000 nelayan.

Bantuan wang tunai sebanyak RM200 sebulan yang diterima merupakan usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi meringankan beban kewangan golongan nelayan di negara ini.

Insentif itu susulan pemberian subsidi pembelian minyak diesel dan juga untuk membantu golongan berkenaan berdepan dengan krisis kenaikan harga minyak dalam pasaran dunia.

Kira-kira RM180 juta setahun diperuntukkan untuk membiayai elaun sara hidup itu yang disalurkan menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Bagi negeri Pulau Pinang, sebanyak RM17 juta telah diagihkan kepada hampir 4,075 nelayan yang bernaung di bawah 30 persatuan nelayan kawasan (PNK) sejak Jun 2008 hingga Disember tahun lalu.

Pengarah LKIM Pulau Pinang, Raja Khalid Raja Ariffin berkata, daripada 30 PNK itu, sebanyak 14 daripadanya di bahagian pulau, manakala bakinya di kawasan Seberang Prai.

‘‘Kita perlu bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan bantuan elaun sara hidup kepada golongan nelayan di negara ini.

‘‘Umpama kerja makan gaji. Setiap bulan nelayan akan mendapatkan wang ini. Bantuan ini harus digunakan secara berkesan terutama membeli keperluan untuk ke laut dan bukannya dibelanjakan secara sia-sia.

“Diharapkan, dengan wang ini, ia sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang dihadapi golongan nelayan,” katanya pada majlis penyampaian bantuan tersebut di daerah Balik Pulau dan Bayan Lepas baru-baru ini

Pada majlis itu, seramai 914 nelayan yang bernaung di bawah PNK Balik Pulau dan Bayan Lepas menerima wang tunai RM200 yang disampaikan oleh Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang.

Raja Khalid memberitahu, tiada negara lain yang mengambil langkah memberikan elaun sara hidup kepada golongan nelayan.

Beliau berkata, pemberian elaun sara hidup itu menepati gagasan 1Malaysia bertemakan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dalam membela nasib golongan tersebut.

‘‘Tiada satu negara yang melakukan langkah seperti kerajaan Malaysia yang memperuntukkan perbelanjaan besar setiap tahun walaupun dalam keadaan ekonomi yang masih belum pulih.

‘‘Kerajaan sejak dulu lagi sentiasa mengeluarkan pelbagai jenis bantuan kepada nelayan supaya golongan ini tidak menghadapi masalah melakukan kerja bagi menanggung keluarga.

“Ini juga antara usaha untuk membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata insentif itu diharapkan dapat membantu golongan nelayan khususnya pemilik individu bot perikanan yang berlesen dan pekerja tempatan yang bekerja di atas bot yang berlesen dalam menghadapi tekanan ekoran kenaikan harga minyak.

Raja Khalid berkata, golongan nelayan juga digalakkan menyertai industri hiliran berkaitan hasil-hasil laut bagi menambahkan pendapatan keluarga memandangkan pendapatan ke laut yang tidak menentu.

Antara industri yang boleh dijalankan oleh masyarakat nelayan seperti penyediaan makanan sejuk beku berasaskan hasil laut seperti ikan, udang dan ketam selain penghasilan ikan kering.

‘‘Pemberian elaun berkenaan adalah sebagai usaha kerajaan meringankan beban golongan nelayan ketika menghadapi krisis ekonomi.

“Namun, kita tahu ia tidak mencukupi. Eloklah nelayan membuat kerja-kerja lain berasaskan perikanan untuk menambah pendapatan,” katanya.

Jelas Raja Khalid, pembayaran elaun berkenaan yang kini dibuat secara tunai oleh LKIM juga bukan bertujuan untuk menyusahkan golongan tersebut, sebaliknya bertujuan merapatkan lagi hubungan antara nelayan dengan agensi itu.

Sebelum ini, katanya lagi, pembayaran elaun dibuat menerusi akaun bank nelayan, tetapi ia kurang memberi kesan positif malah usaha murni kerajaan memberi elaun itu ibarat tidak dihargai dan diketahui umum.

‘‘Sekarang kita buat pembayaran secara tunai dan nelayan dikehendaki hadir di tempat dan masa yang ditetapkan oleh LKIM untuk mendapatkan elaun sara hidup masing-masing.

“Nampaknya ia mencapai sasaran yang kita harapkan,” katanya.

Elaun tersebut sebelum ini dikreditkan terus ke dalam akaun bank golongan nelayan yang layak pada setiap bulan sejak Jun 2006. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya