Miskin paksa gadis lupakan persekolahan

Wednesday, March 24, 2010

MELAKA 23 Mac - Kehidupan yang serba kekurangan memaksa seorang gadis, Nurul Shakira Mohd. Shamsuri, 16, melupakan alam persekolahannya dan mengalah dengan kesempitan hidup keluarganya.

Semuanya bermula selepas dia kecewa kerana tidak dapat menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu akibat kemiskinan keluarga.

NANY Idany Baharudin sambil meriba anak bongsu, Mohd. Danial Danish bersama (dari kanan) Mohd. Nur Shafiq, Nurul Shakira dan Nurul Shahirah melihat barangan sumbangan JKM dan Pembela BN di Kampung Sungai Putat, Melaka, semalam. 

Pendapatan ibunya, Nany Idany Baharudin, 35, sebanyak RM400 sebulan sebagai pembantu kedai tidak mampu menampung kehidupan mereka enam beradik selepas bapa, Mohd. Shamsuri, 44, tinggal berasingan dengan ibu sejak dua bulan lalu.

Namun, mujurlah rasa putus asa Nurul Shakira itu tidak menular kepada pasangan kembar seirasnya, Nurul Shahirah, 16, dan adik mereka, Mohd. Nur Shafiq, 14.

Sehingga kini, kedua-dua mereka masih meneruskan persekolahan masing-masing di tingkatan empat dan tingkatan dua di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mutahir kira-kira 500 meter dari rumah mereka di Kampung Sungai Putat di sini.

Dua lagi adik mereka, Mohd. Nur Shafiz, 11, dan Nurul Shafiqah, 8, bersekolah di Sekolah Kebangsaan Batu Berendam tetapi terpaksa berjalan kaki ke sekolah yang terletak lima kilometer dari rumah mereka seawal pukul 6 pagi.

Menurut Nurul Shakira, dia tidak berminat lagi untuk menyambung pelajaran kerana tiada semangat dan kecewa dengan sikap bapa mereka yang tidak langsung mengendahkan keluarga.

"Masa tingkatan tiga, ayah tidak mengendahkan urusan persekolahan sehingga saya dan Nurul Shahirah tidak sempat mengambil peperiksaan PMR dan sejak itu, saya sudah tiada semangat lagi hendak ke sekolah.

"Kami tidak boleh harapkan ibu kerana ibu telah berusaha menyediakan keperluan kami enam beradik di rumah lagipun pendapatan yang diterima setiap bulan juga tidak mencukupi," katanya.

Dia ditemui pada majlis lawatan Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional Melaka (Pembela BN) bersama agensi kerajaan berkaitan di rumah keluarga itu di sini hari ini.

Menurut Nurul Shakirah, hidup mereka sekeluarga semakin tertekan apabila rumah sewa di Port Dickson, Negeri Sembilan tertunggak RM3,000 dan terpaksa dilelong oleh pihak bank.

"Selepas itu, kami pindah ke sini (Melaka) dan sudah dua bulan tinggal di sini, bapa pula tidak tahu ke mana menghilang, cuma ibu sahaja tempat kami bergantung.

"Gaji ibu tidak banyak, oleh itu, banyak kelengkapan sekolah adik- adik tidak dapat disediakan malah yuran sekolah mereka juga belum dijelaskan lagi," katanya.

Ibunya pula menghidap penyakit tiroid sejak lebih 10 tahun lalu dan keadaan itu menghalang dia bekerja lebih keras.

"Saya melakukan dua kerja iaitu siang hari bekerja di kedai runcit dan sebelah petang bekerja di pasar raya dekat rumah, kalau kerja penuh, dapatlah RM400 sebulan.

"Namun, sejak kebelakangan ini saya sering kurang sihat dan terpaksa memberi perhatian kepada anak bongsu, Mohd. Danial Danish, 2, di rumah. Keadaan ini sekali gus menjejaskan pendapatan kami," katanya.

Sementara itu menurut Ketua Penyelia Pembela BN, Amir Hamzah, pihak Baitulmal sedang memeriksa butiran dan status permohonan bantuan yang sebelum ini pernah diterima oleh keluarga berkenaan di Negeri Sembilan sebelum membuat susulan lanjut.

Katanya, Pembela BN juga berusaha mendapatkan bantuan pendidikan termasuk biasiswa dan Tabung Amanah Pendidikan negeri untuk disalurkan kepada empat anak keluarga itu yang masih bersekolah.

"Berhubung masalah Nurul Shakira, kita akan cuba dapatkan tempat untuknya menyambung pengajian kemahiran memasak di Kolej Komuniti Bukit Beruang kerana dia sendiri berminat,'' katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya