Pendidikan anak kaum India tidak diabaikan

Monday, March 8, 2010

SEREMBAN 7 Mac - Kerajaan negeri sentiasa mengambil berat aspek pendidikan rakyat negeri ini tanpa mengambil kira soal kaum khususnya dalam mencapai matlamat Dasar Jaringan Keselamatan Sosial (DJKS).

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini termasuklah memajukan masyarakat India agar mereka tidak terus ketinggalan lebih-lebih lagi dalam aspek pendidikan.

Mohamad Hasan bersama pelajar-pelajar ketika hadir pada Majlis Meraikan Pelajar-Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Tamil di Seremban, semalam.

"Apa yang saya dapat lihat, aspek pendidikan masyarakat India semakin meningkat lebih-lebih lagi peranan parti MIC dalam mewujudkan 1Keluarga 1Profesional.

"Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga banyak membantu menyediakan kemudahan kepada sekolah-sekolah jenis Tamil termasuklah sumbangan kerana kita mahu mereka tidak terus ketinggalan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Meraikan Pelajar-Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Tamil di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden MIC yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S.K Devamany; Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk T. Rajagopalu dan timbalannya, Datuk V.S Mogan.

Dalam pada itu, beliau juga melahirkan rasa gembira dengan pencapaian pelajar di semua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri ini walaupun kebanyakan sekolah itu terletak di kawasan ladang dan estet.

Beliau berkata, banyak dasar-dasar kerajaan yang dilakukan bukan tertumpu pada golongan-golongan tertentu bahkan ia menitik beratkan kesejahteraan rakyat dalam agenda 1Malaysia.

"Agenda 1Malaysia bukan sekadar membantu golongan tertentu tetapi membela semua rakyat termasuk golongan minoriti dalam menikmati kesejahteraan termasuklah aspek pendidikan.

"Malah apa yang dapat kita lihat hari ini, hampir 200 pelajar mencapai keputusan cemerlang berbanding dahulu dan kita amat sukacita dengan perkembangan itu," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya