Malaysia Pada Sasaran Capai RM20 Bilion Sasar FDi, Kata Mukhriz

Sunday, December 20, 2009


JOHOR BAHARU, 19 Dis (Bernama) -- Malaysia masih berada dalam kedudukan untuk mencapai sasaran RM20 bilion dalam pelaburan langsung asing (FDI) tahun ini meskipun kelembapan ekonomi global, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata negara mencatat iklim ekonomi positif dengan jumlah FDI RM12.6 bilion berjaya dikumpul sehingga suku ketiga tahun ini.

"Angka FDI menggalakkan kerana kita perlu mengambil kira Malaysia kini bukan lagi negara utama pelabur asing, berdasarkan kemunculan negara saingan baharu, seperti Vietnam," kata Mukhriz kepada pemberita selepas melancarkan forum mengenai "Menjana Usahawan Tekno Dalam Era Model Ekonomi Baru dan Liberalisasi" melibatkan 200 penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di kampus universiti itu di sini pada Sabtu.

Beliau berkata negara masih menarik FDI terutama dalam bdiang elektrik dan elektronik serta industri kimia.

Beliau juga berkata kerajaan memberi tumpuan terhadap menarik FDI berkualiti daripada industri yang mempunyai intensif modal dan teknologi tinggi dengan nilai tambah yang tinggi.

Menurut Mukhriz, selain pelabur asing berpotensi, insentif juga ditawarkan kepada syarikat asing sedia ada di Malaysia bagi mengelak ia daripada menjalankan perniagaan di tempat lain.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata negara perlu mencatat pertumbuhan ekonomi enam peratus setahun bagi merealisasikan visinya untuk menjadi negara maju pada 2020.

"Oleh itu, kita perlu mendapatkan FDI berkualiti," katanya.

Mengenai pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan peserta industri tempatan, Mukhriz berkata syarikat tempatan mesti diberikan keutamaan, untuk menjadi makmur.

"Peserta tempatan merasakan mereka perlu diberikan insentif yang sama seperti pelabur asing, termasuk potongan cukai," katanya. -- BERNAMA

Kerjasama NCIA Dan YKSM Lahirkan Tenaga Kerja Berkemahiran Tinggi

BUTTERWORTH, 19 Dis (Bernama) -- Jalinan kerjasama antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan Yayasan Kemajuan Sosial Malaysia (YKSM) dalam melaksanakan program pembangunan kemahiran belia bertujuan melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi sesuai dengan keperluan industri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata tenaga kerja berkemahiran tinggi penting dalam menyediakan Malaysia sebagai sebuah negara yang mesra pelabur.

"Dahulu Malaysia kurang saingan untuk pelaburan kerana banyak negara yang tidak mesra pelabur tetapi keadaan sekarang telah berubah dan negara berhadapan dengan pelbagai saingan dan cabaran dalam usaha menarik pelabur asing.

"Perkara utama yang menjadi faktor kedatangan pelabur ke sesebuah negara selain daripada pelbagai kemudahan infrastruktur ialah tenaga kerja dengan kemahiran tinggi yang mencukupi untuk keperluan industri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran program pembangunan kemahiran belia di wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di sini hari Sabtu.

Nor Mohamed berkata program pembangunan kemahiran belia ini juga dapat memberi pendedahan kepada generasi muda hari ini untuk menambah nilai bagi memperoleh kehidupan yang selesa di masa depan.

"Untuk itu, program ini akan dilanjutkan ke satu tempoh lagi dan peruntukan juga akan ditambah bagi membeli peralatan yang diperlukan sepanjang program ini berlangsung," katanya.

Pada majlis yang sama turut berlangsung majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara NCIA dan YKSM.

NCIA diwakili oleh Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Mohd Annuar Zaini manakala YKSM pula diwakili oleh Naib Presidennya L.Krishnan Letchumanan dengan disaksikan oleh Nor Mohamed.

Program pembangunan kemahiran belia itu dimulakan pada Oktober tahun ini dan dijangka tamat Julai 2010. Sejumlah 800 permohonan diterima tetapi hanya 570 peserta dipilih mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan.

Antara kursus ditawarkan dalam program itu ialah program keperluan asas perniagaan, program usahawan tani, program keusahawanan dan program E-Work dengan tumpuan diberikan kepada aspek penjualan, promosi dan pemasaran menggunakan teknologi maklumat.

Sementara itu, Mohd Annuar dalam ucapannya berkata program itu merupakan pelaburan penting kerajaan dalam bidang sumber manusia.

"Ia diumpamakan seperti menyediakan pancing kepada nelayan untuk melatih dan melahirkan nelayan yang benar-benar mahir menangkap ikan," katanya. -- BERNAMA

Tiga Politeknik Akan Dinaik Taraf - Mohd Khaled

Wednesday, December 16, 2009


PUTRAJAYA, 15 Dis (Bernama) -- Tiga buah politeknik akan dinaik taraf mulai tahun depan bagi membolehkan politeknik berkenaan menyediakan kursus diploma lanjutan, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata ia juga adalah satu pendekatan awal sebelum politeknik itu dinaik taraf menjadi universiti.

"Kalau kita lihat di luar negara sudah ada politeknik diikhtiraf dan menyediakan kursus di peringkat lebih tinggi daripada diploma. Ini memandangkan sistem politeknik penting untuk meningkatkan sektor teknikal dan vokasional di negara ini.

"Kementerian juga tidak mahu pendidikan di politeknik hanya tersekat sehingga di tahap diploma sahaja malah politeknik juga akan dijadikan sebagai pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan kementerian di sini Selasa.

Mohamed Khaled berkata senarai tiga politeknik yang terpilih daripada 27 politeknik yang sedia ada itu akan diumumkan awal tahun depan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) perlu menyediakan insuran berkelompok sebagai langkah melindungi keselamatan para pelajar.

"Perkara itu dianggap wajar walaupun setakat ini kementerian tidak berhasrat untuk menjadikan ia satu perkara wajib. Tetapi dengan adanya insuran ia serba sedikit dapat membantu keluarga pelajar yang dilanda musibah," katanya.

Terdahulu, Mohamed Khaled menyampaikan sumbangan wang insuran daripada Kolej Universiti Kesihatan Materskill kepada keluarga dua pelajar kolej itu, Siti Nuramira Shamsudin dan Siti Nurdiana Azman yang terkorban dalam tragedi di Kompleks beli-belah Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Turut menerima sumbangan seorang lagi pelajar Mazlizatul Akmar Muhammad, 23, yang terbunuh dalam satu kemalangan di Kilometer 39 Jalan Kuantan-Kemaman, Pahang pada November lepas.

Pada majlis sama beliau turut menyampaikan sumbangan kementerian berjumlah RM184,000 kepada pelajar yang terbabit dalam kejadian gempa bumi di Padang, Indonesia. -- BERNAMA

Naim mewah berkebun kubis

Thursday, December 10, 2009

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

Naim Adam dibantu isterinya, Junaidah Gausion menyusun kubis sebelum bermulanya Pesta Kubis 2009 di Kundasang, Ranau, Sabah, baru-baru ini. -UTUSAN/GHAZALI BASRI


RANAU 9 Dis. - Satu ketika dulu mungkin tiada siapa yang mengenali Naim Adam - anak seorang petani yang hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Apatah lagi dengan hanya menamatkan pelajaran sehingga ke tingkatan tiga, tiada apa yang boleh diharapkan daripadanya.

Namun dengan pengorbanan dan usaha gigihnya, siapa sangka anak petani yang tidak mempunyai ijazah atau diploma itu kini mampu meraih pendapatan sehingga RM12,000 sebulan.

Betullah seperti apa yang menjadi sabda Rasulullah SAW bahawa sembilan daripada 10 rezeki datang daripada perniagaan.

Menyedari hakikat itulah, Naim yang kini berusia 46 tahun mengambil tindakan nekad untuk berbakti kepada tanah bermula sejak umur 15 tahun.

Lelaki yang dilahirkan lima hari sebelum tarikh pembentukan negara Malaysia di Kampung Kaulan itu mula berkecimpung dalam bidang pertanian sejak remaja lagi.

Malah, tidak hairanlah beliau hanya mampu menamatkan zaman persekolahannya sehingga tingkatan tiga sahaja kerana memilih kerjaya sebagai petani.

Menurut Naim, minat mendalam dalam bidang pertanian itu juga mendapat dorongan daripada kedua ibu bapanya yang juga merupakan petani.

Katanya, selepas mengambil keputusan berhenti sekolah untuk menanam sayur, dia telah berazam menjadi petani moden yang mampu memperoleh pendapatan yang lumayan.

"Saya sebenarnya banyak belajar daripada kedua ibu bapa saya mengenai teknik dan cara menanam sayur di tanah tinggi malah kerja ini juga sudah sebati dengan hidup saya.

"Selain itu, kejayaan saya hari ini juga adalah hasil bantuan daripada isteri dan anak-anak selain bantuan modal dan nasihat yang disediakan kerajaan," katanya.

Menurutnya, pada masa ini sayuran utama yang ditanamnya ialah kubis yang amat sesuai dengan suhu dan cuaca tanah tinggi pergunungan di Ranau, Sabah.

Selain itu katanya, dia juga telah mempelbagaikan lagi penanaman dengan menanam lada besar, sawi dan kuchai.

Menurutnya, dalam usaha mengembangkan lagi penanaman sayur dia juga telah membuat pinjaman daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

Pada masa ini katanya, dia boleh berbangga kerana mempunyai 10 pekerja sendiri selain mempunyai jentera pembajak.

Katanya, hasil sayur-sayuran khususnya kubis dijual di gerai-gerai sayur di pekan Ranau dan Kundasang serta kepada pemborong luar.

"Hampir setiap minggu pemborong akan datang dan saya juga dapat menjual sekurang-kurangnya satu tan," katanya.

Katanya, harga borong bagi kubis adalah antara RM1 dan RM1.20 bagi setiap kilogram.

Dalam pada itu katanya, beliau amat berpuas hati dengan usahanya selama ini dan berharap kejayaan tersebut akan menjadi pembakar semangat untuk anak-anaknya dan generasi muda menceburi pertanian.

"Walaupun saya tidak mempunyai kelulusan tinggi, saya dapat pendapatan yang baik, jadi anak-anak saya yang belajar hingga ke universiti harus lebih berjaya daripada saya," katanya.

Katanya, hasil usahanya bukan sahaja dapat memberikannya rumah yang selesa, malah dapat menyara ketiga-tiga anaknya melanjutkan pelajaran sehingga ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Tambahnya, meskipun telah berjaya, dia mempunyai perancangan untuk membuka ladang sayur yang lebih luas pada masa akan datang.

Katanya, pada masa ini dia telah mengenal pasti beberapa kawasan lagi yang akan dimajukan dengan tanaman sayur.

Sementara itu isterinya Nancy@Junaidah Gausion, 44, berkata, kesabaran dan sikap tidak berputus asa mereka sekeluarga merupakan faktor utama kejayaan tersebut. - Utusan

Pelaburan Tokuyama sumbang RM19b

Wednesday, December 9, 2009

Oleh Marhaini Kamaruddin

MUHYIDDIN Yassin menyampaikan cenderamata kepada Yasuhito Katoh selepas menghadiri mesyuarat bersama Mitsui Engineering and Shipbuilding di Tokyo, semalam.


TOKYO 8 Dis. – Pelaburan Tokuyama Malaysia Sdn. Bhd. di Sarawak akan menyumbang anggaran RM19 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri yang menemui peneraju Tokuyama Corp., syarikat pengeluar polisilikon terbesar di Jepun itu di sini pagi ini, memberitahu, projek yang telah diluluskan oleh kerajaan tersebut akan memulakan operasi fasa pertamanya untuk tempoh tiga tahun mulai 2013.

“Tokuyama telah mengesahkan pelaburan berjumlah RM5.5 bilion dan ini adalah satu jumlah yang sangat besar. Sebab itu saya bersetuju ditubuhkan satu pasukan khas untuk mendasari pelan pelaksanaannya.

“Kerajaan negeri Sarawak telah meluluskan kawasan seluas 100 hektar di Taman Perindustrian Samalaju bagi pembinaan kilang yang akan mengeluarkan silikon polikristal untuk sel solar.

“Kita juga bersetuju memberikan beberapa insentif untuk membantu syarikat ini supaya ia dapat beroperasi dengan segera,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan 120 pelajar dan profesional Malaysia di Jepun di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, kerajaan bersetuju menyokong operasi syarikat tersebut memandangkan ia akan memberi pelbagai kesan positif.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Presiden merangkap Pengurus Besar Bahagian Promosi Projek Malaysia Tokuyama Corp., Kazuhiso Kogo dan timbalannya yang juga Pengarah Urusan Tokuyama Corp., Hiroo Momose.

Beliau juga menemui kumpulan pemimpin Sojitz Corp. diketuai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yutaka Kase selain Presiden Mitsui Engineering and Shipbuilding, Yasuhito Katoh dan rombongannya.

Sojitz juga akan melabur di Malaysia sebagai syarikat vendor yang mengeluarkan komponen diperlukan oleh Tokuyama untuk projek di Sarawak.

Menurut Muhyiddin, operasi raksaksa Tokuyama di Sarawak ini akan memberi kesan penggandaan dari segi mencambahkan projek-projek kecil di dalam negara.

“Justeru kerajaan akan memberi sokongan dari segi insentif dan bantuan termasuk memastikan kadar tarif elektrik yang dikenakan dalam tempoh operasi syarikat itu adalah kompetitif selain menyediakan pelbagai prasarana yang diperlukan,” katanya. - Utusan

Juak gigih ternak ikan

Tuesday, December 8, 2009

Oleh HAMDEN RAMLI

Juak Borneo menabur makanan ikan ke dalam sebuah sangkar di kelongnya di Kampung Bangau-Bangau, Semporna, Sabah. - UTUSAN/ GHAZALI BASRI


SEMPORNA 7 Dis. - Pengalaman menyaksikan pukat di kelong miliknya musnah akibat cuaca buruk beberapa tahun lalu hampir membuatkan Juak Borneo, 57, melupakan terus perniagaan menternak ikan.

Juak hampir menitiskan air mata apabila melihat ikan yang diternak di kelong di Kampung Bangau-Bangau di sini keluar satu persatu ke laut biru.

Dengan perginya ikan itu bermakna segala pengorbanan dan penat lelah beberapa tahun menternak ikan berkenaan bukan sahaja tidak berbalas, sebaliknya Juak perlu menghitung kerugian yang perlu ditanggung.

Kekecewaan itu mendorong Juak merenung kembali pengorbanannya sama ada perlu diteruskan atau tidak.

Bagaimanapun, Juak tidak mudah mengalah dan seboleh-bolehnya mahu mempertahankan perusahaan yang telah diceburinya sejak 1996 lagi.

Tidak pasti apa yang membuatkannya mengambil keputusan yang dilihat oleh banyak pihak sebagai songsang itu.

''Ramai yang tidak faham kerana perusahaan ini bukan perniagaan atau mata pencarian bagi saya dan keluarga semata-mata.

''Perusahaan ini mempunyai kaitan dengan untung nasib penduduk di kampung ini yang kebanyakannya nelayan tradisional," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Dia berkata, selain menternak dan menjual ikan, dia turut membeli ikan hidup yang ditangkap oleh nelayan.

Kata Juak, adakalanya ikan yang ditangkap oleh nelayan tradisional sangat kecil dan tidak sesuai dijual terus kerana harga rendah.

''Jadi saya membantu dengan membeli pada harga berpatutan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh nelayan tradisional itu," katanya.

Menurutnya, walaupun daerah ini terkenal sebagai pusat pengeluaran makanan laut tetapi hakikatnya bagi nelayan tradisional mereka dihimpit seribu satu masalah.

Katanya, banyak nelayan yang tidak mahu turun ke laut kerana kebiasaannya hasil yang diperoleh tidak mampu menampung modal.

''Sekarang kalau mahu tangkap ikan perlu pergi jauh ke laut, kos tinggi tetapi hasil belum tentu. Kadang-kadang pulang menggigit jari kerana tidak mampu bayar modal," katanya.

Semangat ingin membantu itu bukan sahaja didorong oleh hakikat bahawa Juak merupakan anak kelahiran kampung berkenaan, tetapi hari ini beliau merupakan Ketua Kampung di kampung yang dihuni kira-kira 7,000 penduduk itu.

Sebagai ketua, katanya, naluri ingin membantu penduduk di bawah tanggungjawabnya membuak-buak.

''Kelong ini juga penting kerana ia membawa saluran paip yang kemudiannya digunakan untuk mengagihkan air bersih kepada hampir 300 penduduk yang masih tinggal di laut," katanya.

Dia menambah, saluran paip itu dibiayai oleh dirinya sendiri dan oleh itu beliau mengenakan bayaran yang sangat berpatutan iaitu 20 sen bagi sebotol yang mampu memuatkan kira-kira empat gelen air.

Bagi memastikan perusahaan itu terus hidup beliau mencari rakan kongsi baru untuk bersama-sama membangunkan semula perniagaan tersebut

''Tetapi hasilnya tidak memuaskan. Cukup makan dan adakalanya rugi," katanya.

Masalah air, cuaca buruk, kematian ikan, terus menghantui usaha Juak mengembangkan perniagaan menternak ikannya.

''Saya perlukan bantuan modal dan kepakaran," jelasnya.

Menurutnya, dia pernah membangkitkan masalahnya kepada pihak berkaitan tetapi setakat ini masih belum berjaya menyakinkan mereka.

Ditanya apa perancangan jika mendapat suntikan modal pusingan, ayah kepada lima anak itu berkata, dia akan menggantikan sistem pukat kepada sangkar konkrit.

Selain itu, katanya, bilangan pukat atau sangkar akan ditambah dan kawasan kelong sedia ada akan diperbesarkan.

Sementara menanti bantuan itu sampai, katanya, dia akan terus berusaha memaju dan mempertahankan perusahaan menternak ikan itu selagi termampu. - Utusan

Benih orkid terbaik di Ayer Hitam


MOHAMED Ismail Jaafar kini menanam 10,000 pohon orkid daripada lapan jenis terpilih di Projek Pertanian Moden Ayer Hitam, Kluang.

KLUANG 7 Dis. - Penggemar orkid yang ingin mendapatkan benih terbaik boleh berkunjung ke Projek Pertanian Moden Ayer Hitam, dekat sini.

Projek pertanian itu yang telah mengadakan ekspo baru-baru ini, memberikan peluang kepada pengunjung melihat kegiatan 30 usahawan yang mengusahakan pelbagai tanaman dan ternakan.

Antara yang menarik dikunjungi adalah tanaman orkid.

Di kawasan seluas 4,000 hektar itu, terdapat 10 pengusaha tanaman orkid yang menanam pelbagai jenis orkid bermutu.

Salah seorang pengusaha orkid terkenal di situ Mohamed Ismail Jaafar, 46, berkata, di kebun orkid yang diusahakannya, pelbagai spesies orkid dipamerkan.

"Dengan keluasan itu saya kini menanam lapan jenis orkid terpilih dengan 10,000 pohon orkid.

''Daripada jumlah itu 8,000 pohon telah matang dan sebahagian besar orkid berkenaan untuk tujuan eksport," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Kata Mohamed Ismail, projek yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan kerajaan negeri itu, memberi peluang kepadanya menjadi usahawan berwibawa.

Katanya, ternyata segala usaha yang lakukan selama dua tahun dalam projek berkenaan mampu memberi pulangan yang cukup lumayan.

Hakikat itu, katanya, dapat dibuktikan dengan 8,000 pohon orkid yang telah matang, dan dia kini mampu peroleh pendapatan sekitar RM4,000 sebulan.

"Apa yang saya hendak kongsi bersama pengunjung adalah mereka boleh melihat teknologi yang kami gunakan di samping boleh beli benih terbaik serta bunga orkid yang digemari.

"Mereka juga boleh mempelajari cara mengusahakan orkid secara komersial, kerana bidang ini amat kurang diceburi oleh bumiputera," katanya.

Mengenai benih orkid, Mohamed Ismail berkata, benih berkualiti itu diperoleh dari Thailand.

Katanya, antara spesies orkid yang dimiliki ialah dendrubium, mokara, aramthera, vanda dan banyak lagi.

Sehubungan ini, katanya, mereka yang ingin mendapatkan keterangan lanjut mengenai orkid boleh menghubunginya di talian 019 7107271. - Utusan

Disiplin, integriti dan dedikasi tiga elemen usahawan berjaya

TEMERLOH 7 Dis. - Setiap bakal usahawan perlu memiliki tiga elemen penting iaitu disiplin, integriti dan semangat dedikasi jika ingin menjadi usahawan yang berjaya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ishak Muhamad berkata, elemen tersebut sangat penting dalam memastikan kecekapan pengurusan dan pentadbiran dalam perniagaan.

Katanya, disiplin dan kecekapan mengurus dapat membantu usahawan membayar balik pinjaman mengikut jadual dan tidak disalahgunakan untuk perkara-perkara yang tidak berkaitan.

''Sementara itu, elemen integriti pula mampu melahirkan usahawan jujur dan amanah serta semangat dedikasi bagi mengembang dan mencari peluang-peluang perniagaan baru," kata Ishak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Interaksi Pembiayaan Usahawan anjuran Mara Daerah Temerloh dengan kerjasama Penerangan UMNO dan Biro Keusahawanan Parlimen Kuala Krau.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar, Pengerusi Biro Usahawan Parlimen Kuala Krau, Sarif Azib dan Pegawai Mara Temerloh, Raja Norlailay Raja Haron.

Menurut beliau, masyarakat kini menganggap bidang usahawan adalah pilihan terakhir jika mereka gagal mencari pekerjaan makan gaji.

Kata beliau, tanggapan itu adalah salah, sebaliknya bidang keusahawanan dan perniagaan menjamin masa depan yang cerah dan mempunyai banyak kelebihan berbanding bidang lain.

Jelasnya, masyarakat terutamanya bumiputra perlu membuang tanggapan negatif tersebut sebaliknya perlu memandang ke hadapan dan melihat peluang-peluang yang boleh diceburi.

"Kita tidak akan maju sekiranya masih dibelenggu pemikiran seperti itu dan akhirnya kita gagal menguasai bidang ekonomi di negara sendiri.

''Kalau bidang ini tidak mempunyai masa depan bagaimana orang Cina mampu hidup senang dan menjadi kaya raya," kata Ishak.

Sehubungan itu, beliau berharap usahawan bumiputera tidak malu untuk mempelajari selok-belok perniagaan daripada rakan-rakan mereka berbangsa Cina dan India yang sudah berjaya.

Selain itu kata Ishak, usahawan yang ingin berjaya perlu mempunyai kreativiti dan sentiasa mengikuti kursus bagi memantapkan lagi ilmu bagi meningkatkan mutu barangan dan produk masing-masing. - Utusan

Keda mohon RM700 juta - Ahmad Bashah

Oleh SAFINA RAMLI

ALOR SETAR 7 Dis. - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) memohon peruntukan RM700 juta daripada kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk memenuhi perancangan Keda dalam membasmi kemiskinan.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah (gambar) berkata, jumlah tersebut dipohon memandangkan banyak program yang telah dirancang bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk di luar bandar.

"Antara program itu adalah pembangunan usahawan, program pembangunan desa, program pembangunan modal insan dan lain-lain.

"Kita juga fokus kepada projek-projek seperti pembinaan jalan-jalan baru di beberapa kawasan di negeri ini," katanya selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Pengerusi dengan Ahli Lembaga Pengarah Keda di Bangunan Tunku di sini hari ini.

Ahmad Bashah mengambil alih jawatan Pengerusi Keda daripada Datuk Seri Mahdzir Khalid berkuat kuasa 1 November lalu.

Menurut beliau, semangat dan komitmen daripada semua pihak diperlukan bagi menjayakan program-program pembasmian kemiskinan yang telah dirancang oleh Keda.

"Saya baru sahaja mengadakan perjumpaan buat pertama kali dengan 376 warga Keda selepas dilantik menjadi pengerusi baru Keda.

"Saya mahu semua warga Keda terus bersemangat dan menggandakan usaha dalam program basmi kemiskinan di luar bandar ini," katanya.

Tambahnya, semua warga Keda perlu bekerja keras untuk membuktikan kepada rakyat bahawa Keda benar-benar serius dalam usaha membasmi kemiskinan di negeri ini.

"Tanggungjawab untuk membasmi kemiskinan adalah merupakan amanah kepada kita.

"Kita juga perlu membuktikan dalam tempoh terdekat bahawa kita mampu menjalankan tugas yang telah diberikan dengan baik," katanya. - Utusan

Taman Agro Teknologi Mardi Langkawi dinaik taraf


Hassim Mat melihat buah anggur yang menjadi tarikan baru kepada pelancong tempatan di Taman Agro Teknologi Mardi di Langkawi, semalam. - BERNAMA

LANGKAWI 7 Dis. - Taman Agro Teknologi Mardi Langkawi, merupakan antara produk pelancongan yang sedang dinaik taraf bagi projek pembangunan prasarana pelancongan di pulau peranginan itu.

Pengurus Stesen Mardi Langkawi, Hassim Mat berkata, menara tinjau, dewan terbuka, pembangunan hutan tropika untuk tarikan ekopelancongan, pondok rehat serta laluan siar kaki adalah antara projek yang sedang dilaksanakan di taman berkenaan.

"Taman itu mempunyai keluasan lebih 25 hektar mula dibangunkan sebagai stesen penyelidikan pada Ogos 1990 dan dikenali sebagai Taman Agro Teknologi pada Julai 2005," katanya di sini.

Beliau berkata, pelancong yang berkunjung ke taman itu berpeluang melawat serta memetik sendiri buah-buahan yang ditanam Mardi.

Kedatangan pelancong ke taman itu meningkat kepada 32,000 orang dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini berbanding 25,000 orang dalam tempoh yang sama tahun lalu, katanya.

Hassim berkata, pelancong luar negara seperti dari Eropah, Australia, India serta Timur Tengah adalah antara pengunjung asing yang mengunjungi taman itu.

"Taman itu mempunyai visi untuk menjadi destinasi pelancongan teknologi pertanian yang tersohor dan bertaraf antarabangsa, selain itu menjadi pusat pembelajaran serta pemindahan teknologi pertanian, menggalakkan aktiviti agro pelancongan berasas teknologi.

"Pada masa ini, taman itu turut dibangunkan sebagai destinasi agro pelancongan yang mempunyai lebih 20 jenis buah-buahan bermusim seperti rambutan, belimbing, jambu, nanas, durian, ciku, mangga, betik dan limau," katanya. - Utusan

Jangan bergantung harap kelayakan akademik atas kertas

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Penuntut universiti tidak sepatutnya terus bergantung kepada kelayakan akademik di atas kertas semata-mata untuk bersaing di pasaran kerjaya yang semakin mencabar.

Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Ghauth Jasmon berkata, kelayakan akademik yang diperoleh hanya penting dalam tempoh beberapa tahun selepas menamatkan pengajian.

Malah katanya, ada pihak yang berpendapat, jika ijazah mereka hilang selepas lima tahun, mereka sudah tidak perlu mencarinya lagi.

"Hanya graduan yang tidak dapat menunjukkan prestasi yang baik di pasaran kerjaya akan bergantung harap kepada kelulusan di atas kertas yang mereka miliki.

"Bagi yang cemerlang di alam kerjaya, mereka hanya menggunakan ijazah itu sebagai pasport untuk mendapatkan pekerjaan pertama sahaja," katanya sewaktu menyampaikan ucapan pada Pertandingan Akhir Kategori Bahasa Melayu dan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Debat Piala Diraja Ke-13 di sini hari ini.

Berangkat sama ke majlis itu ialah Pro-Canselor UM yang juga Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Arshad Ayub.

Debat kategori bahasa Arab diungguli Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai johan manakala Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) naib johan.

Kategori bahasa Inggeris pula dimenangi UIA sebagai juara dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai naib juara manakala kategori bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) muncul juara dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHO) naib juara.

Mengulas lanjut, Ghauth mengakui ijazah beliau juga sudah hilang sewaktu dua kali berpindah pejabat dalam tempoh setahun baru-baru ini namun tidak pernah risau mengenainya.

Katanya, apabila seseorang itu sudah mencapai tahap kemahiran tertentu dalam kerjaya, kelayakan di atas kertas sudah tidak diperlukan lagi.

"Sewaktu dalam proses dilantik sebagai Naib Canselor, ahli panel pemilihan dan Pengerusi Lembaga Pengarah UM tidak bertanya langsung mengenai kelayakan akademik saya," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ghauth berkata maklumat yang diperoleh daripada JobStreet.com pada masa ini menunjukkan majikan masih cenderung untuk menggaji lulusan universiti luar negara berbanding universiti tempatan.

Katanya, perkara itu amat merisaukan pentadbir universiti kerana mereka telah mengambil pelbagai inisiatif untuk meningkatkan keterampilan graduan.

"Salah satu punca utamanya adalah kemahiran komunikasi yang bukannya satu perkara baru.

"Kerana itu kita galakkan lebih ramai pelajar umpamanya di UM untuk menyertai program debat tetapi bilangan mereka hanya kira-kira 500 orang berbanding jumlah keseluruhan pelajar yang kini mencecah 25,000 orang," katanya. - Utusan

RM60 juta naik taraf 70 sekolah Tamil

ALOR GAJAH 7 Dis. - MIC memerlukan tambahan RM60 juta daripada kerajaan bagi menaik taraf 70 sekolah rendah Tamil di seluruh negara dalam usaha menyediakan kemudahan pendidikan sempurna untuk kaum India di negara ini.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, peruntukan sebelum ini yang disediakan kerajaan sebanyak RM130 juta dianggap tidak mencukupi disebabkan kenaikan kos dalam kerja-kerja pembangunan semula sekolah-sekolah Tamil terlibat.

"Bagi peringkat pertama projek menaik taraf sekolah Tamil ini, kerajaan sudah salurkan peruntukan RM30 juta untuk menaik taraf 25 sekolah Tamil.

"Namun, disebabkan berlaku peningkatan harga binaan, peruntukan tersebut hanya dapat menampung keperluan 15 buah sekolah Tamil manakala selebihnya terpaksa ditangguhkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Meletak Batu Asas Bangunan Baru Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Alor Gajah di sini hari ini.

Menurut Samy, projek menaik taraf 15 sekolah Tamil terbabit sedang giat dijalankan dan dijadualkan siap sepenuhnya pada Ogos tahun depan.

"Kita sudah memohon kepada kerajaan untuk menimbang peruntukan tambahan RM60 juta dengan alasan berlaku kenaikan kos binaan sejak program menaik taraf sekolah Tamil bermula setahun lalu," katanya.

Ujarnya, pada masa ini terdapat 523 buah sekolah Tamil di seluruh negara dengan sebahagian besar peruntukan menaik taraf sekolah terlibat terdapat di kawasan luar bandar.

Mengenai pembinaan bangunan baru SRJK Alor Gajah, katanya, sekolah itu yang dibina sekitar 1949 akan dinaik taraf dengan kos sebanyak RM3.39 juta membabitkan pembinaan bangunan empat tingkat mengandungi 17 bilik darjah. - Utusan

Noh perjelas tunda Subur

Monday, December 7, 2009

Oleh Fazli Abdullah
fazliabdullah@bharian.com.my

NOH melawat gerai pameran pada Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bukit Gelugor dan Jelutong di Sungai Gelugor, semalam.

Kabinet arah penerima layak dikemas kini dalam e-Kasih

GEORGETOWN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjelaskan, penangguhan program Subsidi Beras Untuk Rakyat (Subur) bertujuan memastikan keadilan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik dan kaum.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar, berkata program itu yang sepatutnya bermula bulan ini ditangguhkan selepas Kabinet mengarahkan supaya senarai penerima dikemas kini, sekali gus mengelak mereka yang layak terpinggir.

Katanya, senarai penerima yang disediakan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta kementerian tidak lengkap kerana berlaku pertindihan, malah orang yang sudah meninggal dunia turut disenarai.

"Kerajaan sudah memutuskan supaya senarai nama dikemas kini menerusi e-Kasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU). Selepas senarai itu siap dan dipersetujui Kabinet, Subur akan dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Pembangunan Pertanian (MPP) Parlimen Bukit Gelugor dan Jelutong di Sungai Gelugor di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Bukit Gelugor, Datuk Omar Faudzar dan Ketua Umno Bahagian Jelutong, Abdul Razak Abdul Rahman yang dilantik sebagai pengerusi MPP di kawasan masing-masing.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan mereka yang berpendapatan antara RM420 dan RM1,740 sebulan layak mendapat kupon beras yang lebih murah menerusi Subur, mulai 1 Disember lalu.

Bagaimanapun, selepas menerima pandangan pelbagai pihak, kerajaan menangguhkannya bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak mendapat manfaat.

Mengulas lanjut, Noh turut meminta MPP di seluruh negara membantu mengemas kini senarai dalam e-Kasih kerana majlis itu mempunyai maklumat yang lebih tepat di kawasan masing-masing.

"Kerajaan mahu sesiapa saja yang layak tidak tercicir dalam senarai penerima," katanya.

Sementara itu, Noh berkata, kementeriannya sudah menerima laporan awal berkaitan kerugian yang dialami petani akibat banjir yang melanda beberapa negeri, baru-baru ini.

Beliau memberi contoh, laporan daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Kelantan (Kada) menunjukkan kerugian yang dialami RM3 juta.

"Kementerian menunggu laporan daripada agensi berkaitan untuk mendapat kepastian jumlah kerugian yang dialami sebelum bantuan dihulurkan kepada petani," katanya.

Noh juga menjelaskan segala bantuan akan diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). - Berita Harian

IKS: Produk Malaysia masuki pasaran Dubai

Daripada NOR AZIAH JAAFAR

DUBAI 6 Dis. - Sebanyak 142 produk keluaran Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dari Malaysia sudah berjaya menembusi pasaran tempatan sejak November lalu menerusi kerjasama dengan beberapa rangkaian pasar raya di sini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata, produk tersebut terdiri daripada makanan seperti biskut, sos, bubur segera dan cip serta produk sejuk beku mendapat permintaan tinggi dari penduduk tempatan.

Menurutnya, bilangan produk berkenaan dijangka meningkat kepada 158 jenis bernilai RM10 juta pada tahun depan.

Beliau memberitahu, pengedaran produk-produk berkenaan dikendalikan oleh Diamond International Consolidators (Diamond) menerusi 35 cawangan Pasar Raya Besar Union Coop., E-Mart, Apsara dan Pasar Raya Family.

Jelasnya, mulai tahun depan, pasaran produk berkenaan akan diperluaskan ke seluruh Emiriyah Arab Bersatu (UAE) termasuk Abu Dhabi dan Sharjah melalui rangkaian pasar raya terlibat.

''Daripada jumlah ini, 80 peratus produk adalah keluaran syarikat IKS bumiputera.

''Selepas UAE, kementerian dengan kerjasama Diamond berhasrat untuk menawan pasaran negara-negara Teluk," katanya selepas melakukan lawatan ke pasar-pasar raya berkenaan di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, produk makanan dari Malaysia tidak mempunyai masalah untuk memasuki pasaran UAE dan negara Teluk kerana status halalnya sudah diterima oleh masyarakat dunia.

Katanya, syarikat-syarikat IKS yang dipilih untuk memasarkan produk-produk berkenaan perlu memenuhi tiga syarat iaitu mempunyai produk yang berkualiti, mempunyai pembungkusan yang baik dan konsisten daripada segi pengeluaran.

Beliau berkata, masalah ekonomi yang melanda Dubai tidak memberi kesan kepada promosi produk makanan kerana ia sentiasa mendapat permintaan pengguna.

''Kita perlu mengambil kesempatan daripada pasaran negara-negara di rantau ini seperti UAE kerana mereka tidak mengenakan sekatan atau kuota dari segi jumlah produk yang memasuki negara mereka," ujarnya. - Utusan

Sistem pelajaran perlu diubah untuk keperluan pelajar pintar cerdas: PM

Sunday, December 6, 2009

BANGI: Sistem dan kaedah pembelajaran serta pengajaran untuk pelajar pintar cerdas perlu diperbaiki serta diperhebatkan selepas sekian lama ia seakan terabai kerana tumpuan lebih diberikan kepada pelajar golongan khas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sistem pendidikan negara selama ini hanya memberi keutamaan dan tumpuan kepada pelajar golongan khas tanpa menyedari tumpuan yang sama harus diberikan kepada pelajar pintar.

"Selama ini kita lihat dasar pendidikan negara kita ada kelas untuk pelajar biasa dan ada kelas khas untuk pelajar cacat penglihatan, cacat pendengaran, autisme, sindrom down dan segala aspek daripada segi kecacatan dan kelemahan diambil kira tapi kita lupa ada pelajar yang kecerdasan mereka, merupakan golongan luar biasa.

"Luar biasa daripada segi mereka berfikir, luar biasa daripada segi mereka belajar. Mereka juga perlukan pembelajaran yang baik," katanya semasa merasmikan perkhemahan cuti sekolah PERMATA Pintar Negara di sini hari ini.

Najib berkata sudah tiba masanya aspek pembelajaran dan pengajaran yang sesuai untuk golongan pelajar pintar cerdas diadakan selepas sekian lama ia terbiar sedangkan ia telah lama wujud di negara-negara lain.

"Sudah sampai masanya kita melakukan perancangan untuk keperluan pelajar-pelajar seperti ini. Saya yakin program seperti ini sama ada tadika pintar, sekolah pintar, akan membawa perubahan besar pada pembentukan jati diri bangsa yang lebih hebat untuk masa akan datang," katanya. - Berita Harian

Melahirkan 'Permata' Negara

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Rosmah Mansor bertanya sesuatu kepada Ketua Pusat Permata Pintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Noriah Mohd Ishak (kanan), mengenai model Kompleks Permata Pintar Negara pada majlis pecah tanah pembinaan kompleks berkenaan, hari ini.

LIMA 2009 berakhir cemerlang


SEBAHAGIAN pengunjung beratur panjang mengambil kesempatan untuk naik ke atas pesawat amfibia Bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pada Pameran LIMA 2009 di Langkawi, semalam. - mingguan/ Kamal Basir

LANGKAWI 5 Dis. - Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 yang bermula Selasa lalu melabuhkan tirainya hari ini dengan mencatatkan urus niaga industri pertahanan dan keselamatan yang dianggarkan bernilai RM9.5 bilion.

Jumlah dagangan itu melibatkan nilai rasmi sebanyak RM4.7 bilion, manakala bakinya melibatkan persetujuan pelbagai memorandum persefahaman (MoU) dan kontrak tidak rasmi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah rasmi berkenaan, syarikat swasta mencatatkan pemeteraian kontrak dan MoU terbesar iaitu sebanyak RM2.4 bilion

Katanya, Kementerian Pertahanan pula mencatatkan nilai keseluruhan RM1.27 bilion diikuti urus niaga syarikat swasta di tapak pameran masing-masing (RM1 bilion) dan agensi-agensi kerajaan lain sejumlah RM17.56 juta.

"Jumlah ini rendah sedikit daripada yang dicatatkan pada penganjuran dua tahun lalu tetapi kita faham ia disebabkan kemelesetan ekonomi yang teruk ketika ini.

"Saya yakin untuk tempoh dua tahun akan datang, beberapa majlis menandatangani kontrak dan pembekalan aset tentera akan terus dijalankan yang kita akan umumkan dari semasa ke semasa," katanya pada sidang akhbar LIMA 2009 yang berakhir hari ini di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini.

Edisi LIMA kali ini melibatkan 325 peserta dari 25 buah negara antaranya Australia, Belarus, Denmark Singapura, New Zealand, Indonesia, Hong Kong, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).

Ia dibahagikan kepada dua sektor iaitu maritim yang diadakan di Awana Porto Malai dan segmen udara di MIEC.

Ahmad Zahid berkata, LIMA 2009 berlangsung dengan jaya termasuk menyaksikan penyertaan syarikat tempatan yang menempah seluas 37 peratus lantai pameran sekali gus membuktikan mereka mula bergerak untuk menjadi pemain-pemain utama dalam industri pertahanan.

Katanya, ia juga menyaksikan kehadiran panglima laut seramai 31 orang dari seluruh dunia yang mengambil bahagian dalam Persidangan Maritim Antarabangsa.

Menurut beliau, LIMA 2009 yang mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan turut menyemarakkan lagi industri pelancongan negara apabila ia menganjurkan karnival di pekarangan letak kereta Awana Porto Malai dan Kompleks Pekan Rabu di Kuah.

"Para peserta karnival itu mempamerkan pelbagai jenis produk, kraf tangan dan makanan yang terdapat di negeri masing-masing bagi membolehkan pengunjung mengenali produk mereka," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, kehadiran pelawat yang mengunjungi pameran sepanjang lima hari itu dianggarkan mencecah 78,000 orang.

Katanya, ia melibatkan pelawat perdagangan sejumlah 38,000 orang dan bakinya merupakan pengunjung awam.

Menurut beliau, LIMA yang dianjurkan sejak 1991 hasil ilham bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan diteruskan pada 2011. - Utusan

Kontrak RM4.7 bilion dimeterai pada Lima '09

Saturday, December 5, 2009

ORANG RAMAI berpusu-pusu mendapatkan tiket masuk ke Dewan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi, untuk menyaksikan Pameran Antarabangsa LIMA 2009, pagi ini.

LANGKAWI: Sejumlah RM4.7 bilion nilai kontrak dimeterai semasa Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (Lima) 2009 sehingga semalam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata nilai tidak rasmi hampir RM9.5 bilion.

"Kebanyakan kontrak itu membabitkan pihak di luar negara, antara syarikat Malaysia dan asing," katanya pada sidang media di sini pada hari terakhir pameran itu.

Pada edisi sebelumnya iaitu Lima '07, sejumlah RM11 bilion urus janji dimeterai.

Zahid berkata, ia mencerminkan keyakinan berterusan peserta pasaran meskipun berlaku krisis kewangan global.

Beliau menjangkakan lebih banyak perjanjian ditandatangani, termasuk membekalkan peralatan ketenteraan dan aset dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Sehingga semalam, kontrak yang ditandatangani bernilai RM4.7 bilion. Namun, banyak kontrak yang membabitkan pihak negara luar dengan syarikat Malaysia dan luar turut ditandatangani.

"Mengikut catatan yang saya peroleh, ia tidak kurang RM9.5 bilion iaitu angka tidak rasmi," katanya.

Zahid berkata, syarikat Malaysia yang bermula sebagai ejen pemasaran untuk produk keselamatan dan pertahanan antarabangsa, kini menjadi peserta utama dalam industri pertahanan.

"Sebagai contoh, Boustead Group mendaftarkan lebih 3,000 vendor tempatan, dengan 2,000 daripada aktif.

"Daripada jumlah itu, kira-kira 600 vendor hadir dalam pasaran, bukan sahaja untuk memperkukuh industri perkapalan, malah terbabit dalam pengeluaran peralatan untuk industri pertahanan global," katanya.

Beliau berkata, kejayaan syarikat Malaysia mencerminkan komitmen untuk mengukuhan industri itu, dan ia membantu menyokong Lima 2011 - hab industri pertahanan Asean.

"Negara anggota Asean menawarkan aset pertahanan yang hebat yang boleh digunakan di negara masing-masing dan menjalin usaha sama yang lebih baik di kalangan peserta industri di rantau ini.

"Saya yakin dalam tempoh dua tahun yang akan datang, kita dapat mempelawa lebih banyak peserta terutama pengeluar pesawat. Dan kita juga mahu menjemput pasukan udara negara jiran ke sini, bukan sahaja untuk pertunjukan statik aset masing-masing, malah mengambil bahagian dalam pertunjukan udara," katanya. - Berita Harian

Kesusahan dorong kejayaan


AZIZAH MAAT dan Ahmad Tumin di ladang ubi kayu mereka di Kuang, Selangor.


DARI kejauhan saya melihat, jejeran pohonan ubi kayu menghijau menyapa kedatangan kami. Pucuk-pucuk segar hijau muda itu melambai-lambai dicumbui angin, meliuk lintuk bagai menyatakan 'selamat datang' ke daerah aman ini.

Dari jauh juga saya dapat melihat sepasang manusia, seorang ibu berkerudung labuh dan seorang anak lelaki berkopiah lengkap berseragam sekolah.

Itulah Azizah Maat, 44, seorang wanita separuh usia yang bagi saya nampak cemerlang wajahnya. Pada sekeping wajah beliau ada rona ceria dan ada sinar bahagia.

Dengan cekatan wanita pertengahan usia yang masih bugar itu mengayuh basikalnya sebelum membukakan palang pagar demi membolehkan kunjungan saya dan wakil media melewati perbatasan ladang ubi kayunya yang subur.

Saat kaki melangkah keluar dari perut kereta, hati saya dipagut rasa selesa. Nyaman berada dalam cempungan sebuah taman yang lapang saujana mata memandang.

Di hadapan saya ada rumah separuh batu separuh papan yang amat sederhana, manakala di kanan saya ada selautan pandangan sebuah ladang ubi kayu yang saujana terbentang.

Saya melemparkan pandangan ke kiri, ada kolam ikan bersaiz sederhana besar yang beralun tenang airnya dipuput bayu. Pokok-pokok pisang, serai dan herba ditanam mengelilinginya.

Saya bersama rakan wartawan dijemput masuk ke rumah. Kemudian Azizah bergegas meninggalkan kami buat sementara, suami beliau harus bersama dalam wawancara santai nanti. Suami beliaulah tulang belakang di sebalik keindahan ini.

Kemudian tidak lama, kami pun diperkenalkan dengan Ahmad Tumin, 56, seorang lelaki berbadan sasa. Wajahnya mempamerkan kecekalan, nada suaranya menyatakan ketegasan. Memang betul, alang-alang manusia pasti kalah mengerjakan tanah seluas 1.5 hektar itu.

Tanah yang asalnya berbanir dan berkematu, kini bersih dan subur dihuni ubi kayu. Tanah yang dahulunya tandus dan kering, kini subur dan basah dengan sumur dan kolam yang hening.

"Suami saya ini memang asalnya orang Kuang. Di sinilah dia lahir, membesar dan di sini jugalah dia memberikan baktinya. Bukan sekejap masa dihabiskan di sini, sudah 30 tahun suami saya berbudi kepada tanah ini," kata Azizah membuka bicara.

Tutur lembutnya sedap teratur menjadi halwa telinga.

"Saya yang bangunkan kawasan ini. Dulu, semuanya hutan. Kini sudah ada ladang ubi dan kolam ikan. Dalam kolam itu, ada macam-macam ikan. Ada ikan keli, ikan tilapia, ikan kelah dan ikan lampam.

"Isteri sayalah yang rajin mengusahakannya. Kami akan tangkap ikan itu jika ada permintaan. Buat masa ini, usaha kami masih secara kecil-kecilan," kata Ahmad.

Demi menepati maksud kedatangan, saya menyatakan kami perlu tahu kesusahan mereka. Ia akan dipaparkan sebagai iktibar kepada masyarakat dan yang lebih utama, kami mahu paparkan betapa gigihnya sepasang suami isteri ini membina keluarga.

Ini kerana, sedari awal Ustaz Masrul memaklumkan anak-anak pasangan ini boleh dikatakan semuanya berjaya.

"Benar, kami punya ramai anak. Sebelas orang semuanya. Anak pertama, Nurpaizah, 24, kini di Institut Pertanian Pulau Pinang, kedua Mohamad Fauzi, 23, (Universiti Teknologi Mara mengambil bidang perakaunan). Anak ketiga ialah Nurhayati, 22, belajar bidang perniagaan di Kolej Cybernatic, yang keempat Nurfarhana, 21, sedang mengikuti kursus perhutanan di Universiti Putra Malaysia.

"Anak kelima pula Mohamad Firdaus, 20 (Politeknik Shah Alam). Anak keenam kami Nurhidayah, 17, kini belajar di Maktab Rendah Sains Mara, Alor Gajah, Melaka.

"Anak-anak kami yang lain ialah, Nurhanisa, 15; Mohd. Fariz, 12; Mohd. Farid, 8, dan Mohd. Adib Farhan, 7, yang masing-masing belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuang dan Sekolah Kebangsaan Kuang," kata Azizah.

Bagaimanakah puan dan suami menguruskan keluarga? Cungkil saya, dan dilanjutkan lagi, apakah saat paling meninggalkan kesan dalam sejarah hidup selama ini?

"Saya dan suami orang susah. Kekadang mengalir air mata ini mengenangkan kesusahan kami sekeluarga. Bayangkanlah, di ladang inilah usia 30 tahun kami hamburkan demi rezeki yang halal, dengan berbekalkan kudrat empat kerat tanpa sedikit pun bantuan luar," ujar Azizah.

Tersisih

"Kami ini ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Asalkan anak-anak dapat meneruskan persekolahan, itu sudah memadai," sokong Ahmad.

Melihat kepada iras wajah Azizah, saya sudah mengagak beliau seorang wanita yang pastinya berlatar belakangkan baik-baik. Hal ini disahkan sendiri akhirnya oleh beliau, bahawa di dalam keluarganya hanya dia yang tersisih lantaran mencari alternatif sendiri dalam kehidupan.

"Sungguh pun kami susah, namun anak-anak sentiasa menjadi keutamaan. Biar kami kekeringan belanja, maklumlah anak-anak kami ramai; namun keperluan pendidikan adalah mengatasi segalanya," kata Ahmad.

"Manalah ada kehidupan tanpa cubaan. Sebagai isteri saya merasai sendiri getirnya hidup dalam serba kekurangan membesarkan anak-anak. Belanja sekolah dan pendidikan sekarang semuanya memerlukan wang.

"Kadang-kala apabila tertekan dengan masalah, hanya kepada Allah sahajalah saya mengadu. Saya bersyukur, kerana suami saya juga amat mengerti. Beliaulah penguat semangat, beliaulah penawar duka di hati," tambah Azizah.

Tidak cukupkah belanja harian hasil lading ubi? Bisik hati kecil saya dan ia seakan terhidu oleh si suami.

"Hasil jualan kian merosot sekarang. Ini ditambah dengan kenaikan kos barangan, termasuklah kos racun dan baja turut meningkat. Jika dahulu kami mampu untung hingga tiga sen setiap kilogram, kini untungnya sudah mengecil kepada satu sen.

"Kini saya hanya mampu membuat keuntungan bersih RM400 sebulan. Ini memang kecil berbanding segala usaha yang dicurahkan," jelas Ahmad.

Tiadakah usaha lain?

"Itulah sebabnya kami cuba juga menternak ikan air tawar. Itu pun atas bantuan syarikat yang mengambil sebahagian tanah kami bagi pembinaan lebuh raya. Saya diberi pampasan RM30,000.

"Saya tolak wang itu dan minta diganti dengan dua kolam untuk memelihara ikan. Ini kerana, kos membina kolam ikan itu jauh lebih mahal berbanding RM30,000.

"Alhamdulillah, syarikat berkenaan nampaknya amat tahu menjaga hati kami, lalu mereka menghantar jengkaut besar membina dua kolam dan yang terharunya, wang RM30,000 itu tetap disalurkan juga kepada kami," kata Ahmad lagi.

Bantuan anak-anak?

"Anak-anak memang ada yang menolong. Namun kami kurang galakkan, kecualilah kerja-kerja yang ringan. Kejayaan mereka di bidang pendidikan itulah yang kami harapkan.

"Alhamdulillah, setakat ini mereka memahami keadaan kami. Anak-anak sering berpada-pada dalam berbelanja. Mereka tahu mengukur baju di badan sendiri," Azizah terus berkongsi cerita dalam kiasan penuh makna.

Namun yang paling utama bagi kedua insan ini ialah didikan agama. Kata Azizah, sedari awal setiap anaknya disemai dengan benih agama. Dengan benih iman yang disemai, mereka tidak akan hilang pedoman pada hari muka.

"Saya paling menekankan soal agama. Akhlak dan disiplin sentiasa dijaga. Solat berjemaah sentiasa diutamakan. Apabila agama dititik beratkan dalam kehidupan, mereka akan menjadi anak-anak yang bertanggung jawab.

"Mereka tahu hukum-hakam, tahu dosa-pahala dan tahu syurga-neraka," jelas Azizah.

"Di samping itu, saya sentiasa memastikan anak-anak tidak mengabaikan segala kerja sekolah.

"Saya selalu berpesan kepada anak-anak, kita orang susah. Apabila susah, kita tiada sesiapa yang akan datang menolong melainkan diri kita sendiri," tegas Azizah.

Alhamdulillah, keluarga Azizah dan Ahmad mula mendapat perhatian pihak Lembaga Zakat Selangor (MAIS) pada tahun 2003. Mereka dikategorikan sebagai asnaf miskin yang melayakkan mereka mendapat bantuan zakat secara menyeluruh.

Bukan sekadar bantuan kewangan dihulurkan, bahkan dana pembiayaan pendidikan anak-anak itulah yang diutamakan.

"Kami bersyukur kepada Allah SWT, LZS (MAIS) banyak membantu. Kini kami menerima RM500 wang bulanan di samping bantuan persekolahan anak-anak. - Utusan

19,990 keluarga Orang Asli terima hak milik tanah


Muhyiddin Yassin berkata sesuatu pada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan sambil diperhatikan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng selepas mempengerusikan Mesyuarat Ke-65 Majlis Tanah Negara di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 4 Dis. - Sebanyak 19,990 keluarga Orang Asli bakal diberikan hak milik tanah kekal sebagai salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi dan kualiti hidup golongan itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Kepada Orang Asli untuk Kegunaan Pertanian dan Kediaman yang diluluskan oleh Majlis Tanah Negara itu melibatkan tanah seluas 50,563.51 hektar di seluruh Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, bagi menjamin pelaksanaan dasar tersebut lebih terancang dan teratur, tanah-tanah terbabit akan dimajukan terlebih dahulu dengan tanaman-tanaman seperti kelapa sawit dan getah.

"Dasar ini diharapkan dapat meningkatkan keupayaan Orang Asli untuk menghadapi cabaran semasa.

"Di samping itu, dasar ini juga diharapkan dapat mempercepatkan usaha pembasmian kemiskinan tegar dan mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan masyarakat Orang Asli," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ke-65 Majlis Tanah Negara di sini hari ini.

Muhyiddin memberitahu, keluasan tanah yang diberikan hak milik adalah 0.8 hingga 2.4 hektar untuk ladang dan 1,524 meter hingga 0.1 hektar bagi tapak rumah mengikut kemampuan kerajaan negeri.

"Tanah yang diberikan hak milik itu tidak boleh disewa, dipajak, digadai atau dilepaskan kecuali dengan kebenaran pihak berkuasa negeri selepas berunding dengan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).

"Tanah yang diberi milik juga tidak boleh dipindah milik selama 15 tahun oleh pemilik pertama dan pindah milik tanah hanya kepada Orang Asli," katanya. - Utusan

Najib tekad laksana pembaharuan ekonomi

Thursday, December 3, 2009

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata beliau bertekad melaksanakan pembaharuan ekonomi, seterusnya memperkasakan tarikan pelaburan ke negara ini, susulan lawatan kerjanya ke luar negara baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata, dalam lawatannya ke Amerika Syarikat (AS), beliau menyampaikan taklimat mengenai Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang bermanfaat kepada pemimpin korporat, pengurus dana dan bakal pelabur.

"Daripada maklum balas yang diterima daripada komuniti kewangan, walaupun "kisah kejayaan Malaysia" menarik, masih banyak yang boleh dilakukan untuk menarik pelabur global kepada pasaran modal kita.

"Saya menerima mesej ini sepenuhnya," katanya dalam blog beliau www.1malaysia.com.my hari ini.

Selepas melakukan lawatan singkat ke AS, beliau berlepas ke Trinidad dan Tobago bagi menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).

Di AS, Najib mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-Moon; Presiden Forbes Inc, Steve Forbes; dan Presiden Motorola Enterprise Mobility Solutions, Gene Daley.

Najib berkata, perubahan seperti itu, pasti akan membuka lembaran baru dalam "Cerita Kejayaan Malaysia", berdasarkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan AS yang pastinya akan berkembang dengan cara yang sangat konstruktif.

"Walaupun (lawatan ke AS) singkat tetapi sangat berhasil," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata beliau bersama pegawainya akan meninjau beberapa program tidak lama lagi untuk berinteraksi dengan "kawan-kawan" barunya.

Sebelum berlepas ke AS serta Trinidad dan Tobago, Najib telah menghadiri kemuncak persidangan Apec di Singapura dan membincangkan kemungkinan-kemungkinan Perjanjian Dagangan Bebas dalam pertemuan dua hala dengan Presiden Michelle Bachelet Jeeria dari Chile dan Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd.

Sebelum itu, Presiden China, Hu Jintao dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono telah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dan ia menunjukkan satu masa hadapan yang lebih gemilang dalam hubungan dua hala dengan kedua-dua negara berkenaan. - Berita Harian

PM mahu sektor binaan tempatan tembusi pasaran global

KUALA LUMPUR 3 Dis. — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penggiat industri pembinaan di negara ini harus berupaya mencipta peluang dan pasaran baru di luar negara.

Beliau berkata penggiat industri dan perkhidmatan di Malaysia mesti mampu bersaing sebagai pemain global kerana hasrat negara untuk menjadi negara maju menjelang 2020 akan terhasil sekiranya mereka mempunyai daya saing yang kompetitif di pentas dunia.

"Dalam mengharungi cabaran domestik dan cabaran arus pasaran global para penggiat industri pembinaan perlu menangani kekangan dan cabaran strategi dan operasi semasa. Pendekatan bersifat holistik bagi meraih impak positif dalam rantaian industri perlu dipertingkatkan.

"Pertandingan kemahiran seperti ini boleh memupuk cara berfikir berkualiti dan inovatif yang sangat perlu untuk menerokai arah tuju masa hadapan yang lebih baik kepada sektor industri dan ekonomi negara kita. Kata pujangga, ”Minds are like parachutes-they only function when open” (minda umpama payung terjun, ia hanya berfungsi apabila dibuka,” katanya pada majlis penyampaian hadiah dan anugerah Tangan Emas Pertandingan Kemahiran Malaysia (PKM) ke-18, 2009, di sini, malam ini. - Utusan

15 kontrak lebih RM3.57b dimeterai


ANTARA kapal perang yang dipamerkan di Awana Porto Malai.

Empat firma tempatan, tiga syarikat asing tandatangani MoU dengan Kerajaan Malaysia

LANGKAWI: Sebanyak 15 kontrak bernilai lebih RM3.57 bilion dan tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai pada hari kedua Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2009 (Lima '09), semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyaksikan majlis itu yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC).

Tujuh daripada kontrak itu antara Kerajaan Malaysia yang diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Tan Sri Abu Bakar Abdullah dengan empat syarikat tempatan dan tiga syarikat asing bernilai RM1.27 bilion.

Syarikat tempatan membabitkan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (program perkhidmatan kapal Kasturi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) RM703.8 juta); Aerotree Defence and Services Sdn Bhd (pemerolehan peralatan olah gerak peperangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) RM126 juta).

Ikramatic Synergy Sdn Bhd (pemerolehan sistem latihan darat TUDM RM74.8 juta); dan Star Fest Sdn Bhd (pemerolehan dan pemodenan kenderaan pemusnah periuk api Olister TLDM RM45 juta).

Tiga syarikat asing itu MBDA France (memperbaharui misil Exocet MM40 milik TLDM RM111.5 juta); DCNS France (pemerolehan alat ganti dan peralatan ujian untuk kapal selam Scorpene RM187.8 juta); dan SAAB Avitronics dari Afrika Selatan (pemerolehan data dan sokongan teknikal berkaitan sistem amaran misil dan laser untuk Sukhoi SU30-MKM RM22 juta).

PESAWAT Amfibi Bombardier CL-415 milik APMM membuat demonstrasi menyiram air.

Lapan kontrak lagi membabitkan syarikat swasta bernilai RM2.3 bilion.

CTRM Aero Composites Sdn Bhd dan Spirit Aerosystem USA (pembekalan komponen komposit bernilai RM2 bilion); kontrak pembinaan empat unit kapal antara NGV Tech Sdn Bhd dan Marine Services Company Saudi Arabia (RM102 juta); Malaysia Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) dan Universiti Kuala Lumpur bagi menubuhkan pusat latihan komposit (RM2 juta); dan dua perjanjian antara SME Aerospace Sdn Bhd dengan Vought Aircraft Industries Inc (RM88.4 juta).

SME Aerospace juga memeterai tiga perjanjian dengan Spirit Aerosystems (Europe) Ltd tetapi nilainya tidak diumumkan.

MoU pula dimeterai antara Kerajaan Malaysia dengan Masterplan Consulting Sdn Bhd bagi kajian penubuhan Taman Teknologi Pertahanan dan Keselamatan Malaysia; NGV Tech dengan Top of Korea Shipbuilding Co Ltd bagi pengambilalihan 66 peratus kepentingan dalam Top of Korea; Universiti Pertahanan Malaysia dengan Astronautic Technology (Malaysia) Sdn Bhd bagi kerjasama penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan modal insan.

Universiti Pertahanan Malaysia dengan Mantra Werks (Malaysia) Sdn Bhd bagi kerjasama dalam penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan dalam nanoteknologi dan bioteknologi.

MAS Aerospace Engineering and Maintenance Sdn Bhd (MAE) dengan Krauss GmbH dan Pratt & Whitley masing-masing bagi menjalinkan usaha sama.

Eurocopter Malaysia Sdn Bhd dan MIAC Sdn Bhd bagi pembangunan pusat helikopter di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) di Subang. - Berita Harian

Subsisi 50 peratus untuk usahawan tani motosikal tiga roda

Tuesday, December 1, 2009

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberikan subsidi sebanyak 50 peratus daripada kos membeli sebuah motosikal tiga roda yang bernilai RM7,000 kepada individu yang berminat untuk menceburkan diri sebagai usahawan tani.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar, berkata usaha itu selaras dengan usaha kerajaan yang mensasarkan jumlah peserta sebanyak 5,000 orang dicapai tahun depan, sekaligus meningkatkan hasil pertanian negara.

"Kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi usahawan motosikal tiga roda ini subsidi sebanyak 50 peratus akan kita berikan...mereka hanya perlu membayar RM3,500 untuk sebuah motosikal itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan bulanan kementeriannya dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di sini, hari ini.

Usahawan motosikal tiga roda adalah satu kaedah yang diwujudkan oleh Fama bagi membantu petani memasarkan hasil tanaman berskala kecil mereka tanpa perlu mengeluarkan modal besar.

Dengan cara itu hasil tani akan dipungut oleh usahawan yang akan bergerak ke kampung sebelum dikumpulkan di Agrobazar kedai rakyat dan diagihkan kepada peniaga pasar tani dan pemborong.

Kaedah itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Konvensyen Pasar Tani Kebangsaan 2009 pada 2 November lalu.

Noh juga mahu semua jabatan dan agensi di bawah kementeriannya mempunyai pangkalan data bagi menyimpan semua maklumat berkaitan agensi berkenaan bagi mendekatkan masyarakat dengan dunia pertanian.

"Sistem ini telah dimulakan Fama yang kini menyimpan 26,000 nama petani yang menyertai pasar tani di seluruh negara dalam laman webnya.

"Agensi lain pun perlu ada maklumat seperti ini supaya orang ramai boleh akses, sebagai contoh ada orang yang nak tahu nama syarikat yang mahu guna ubi kayu sebagai bahan utama produknya," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Noh berkata Fama perlu terus menyediakan sekurang-kurangnya sebuah pasar tani kekal bagi setiap negeri untuk membolehkan produk dari desa ditambah nilai dan mendapat harga yang lebih baik bagi menghasilkan pulangan langsung yang berbaloi kepada pengeluar. - Berita Harian

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya