Tertarik dengan Pengurusan Pertanian M'sia : Pakistan tawar pelaburan dalam sektor penternakan

Monday, November 9, 2009

LAHORE 8 Nov. - Pakistan mempelawa sektor penternakan Malaysia melabur di negara itu yang memiliki industri penternakan lembu, kambing dan kerbau yang besar serta belum diteroka sepenuhnya dan menjadikannya sebagai pintu masuk ke Asia Barat dan Asia Tengah.

Ketua Setiausaha Jabatan Pembangunan Penternakan dan Tenusu Kerajaan Punjab di sini, Mohammad Jehanzeb Khan berkata, Pakistan dan Malaysia memiliki hubungan dua hala yang akrab dan mesra tetapi malangnya ia tidak diterjemahkan sepenuhnya dalam hubungan ekonomi dan perdagangan.

Menurutnya, Pakistan mengikuti dengan rapat perkembangan di Malaysia, termasuk matlamat Malaysia untuk menjadi hab makanan halal serantau, di mana Pakistan mampu merealisasikannya.

Beliau berkata, baru-baru ini pihaknya telah mempelawa Jabatan Veterinar Malaysia untuk membawa rombongan sektor awam dan swasta melawat Pakistan amnya dan Punjab khususnya bagi mendalami potensi pelaburan serta perniagaan yang ada dalam sektor penternakan.

Melalui kaedah ini ujar beliau, pihaknya berharap ia dapat memberi gambaran sebenar bahawa tidak semuanya buruk dan teruk di Pakistan, walaupun hampir saban hari berita-berita pengeboman dilaporkan berlaku.

''Dalam kebanyakan masa, sektor swasta lebih gemar memperoleh keyakinan terlebih dulu sebelum membuat keputusan melabur. Menerusi program lawatan seumpamanya, kami mengaturkan pertemuan rombongan Malaysia dengan entiti yang betul dan kemudahan pelaburan yang dijanjikan oleh kerajaan.

''Kami berharap rombongan Malaysia boleh tiba pada bulan ini juga," katanya kepada wakil media Malaysia yang melawat negara ini di bawah anjuran Kerajaan Pakistan di sini hari ini.

Industri penternakan Pakistan, kata Mohammad Jehanzeb, selain mengeluarkan daging dan susu untuk kegunaan dalam negara, turut mengeksportnya ke negara Asia Tengah seperti Tajikistan, Uzbekistan dan Kazakstan yang mahukan bekalan makanan halal.

''Pakistan adalah pengeluar susu lembu keempat terbesar dunia dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 41 bilion liter setahun dan tentunya Malaysia boleh meneroka lebih lanjut dalam aspek ini," tambah beliau.

Katanya, Malaysia boleh melabur dengan membawa teknologi pemprosesan susu dan mendirikan kilang pemprosesan di Pakistan dan kemudiannya mengeksportnya ke pasaran sedia ada Pakistan atau ke Malaysia semula atau meneroka pasaran baru, misalnya.

Satu aspek lagi yang Pakistan mahukan daripada Malaysia, ujar beliau lagi, ialah persijilan halal kerana negara itu tidak memilikinya, mungkin disebabkan sekian lama Pakistan memikirkan dirinya sebagai negara Islam, maka semua makanan yang disediakan adalah mengikut lunas Islam.

''Namun, kami sedar tanpa persijilan halal adalah sukar untuk Pakistan memasarkan produk-produknya terutama ke negara-negara yang ketat piawaian. Kami tahu Malaysia ada kepakaran dalam aspek ini," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya