Subsidi beras diberi secara berperingkat

Wednesday, November 18, 2009

ROME 17 Nov. - Golongan berpendapatan rendah yang layak mendapat subsidi beras tidak akan dipinggirkan kerana faedah itu akan diberikan kepada mereka secara berperingkat-peringkat.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, program pemberian subsidi tetap diteruskan mulai bulan depan seperti yang dirancang sebelum ini.

Katanya, ia bagi memastikan bantuan itu memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.

Buat permulaan, menurut beliau, mulai bulan depan sebanyak 200,000 keluarga miskin di seluruh negara akan menikmati pemberian subsidi itu.

''Kita meramalkan proses pemberian subsidi ini akan selesai dalam tempoh lima atau enam bulan. Saya dimaklumkan sebanyak satu juta keluarga miskin di seluruh negara layak mendapat subsidi ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi hos majlis makan malam kepada delegasi Malaysia, sempena Sidang Kemuncak Keselamatan Makanan Dunia di sini malam tadi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai delegasi Malaysia pada sidang itu yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

Noh mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang meminta kementeriannya menangguhkan cadangan pemberian subsidi beras kepada golongan miskin pada bulan depan kepada suatu tarikh lain untuk memberi peluang lebih ramai rakyat mendapat faedah.

Menurutnya, jika cadangan itu dilaksanakan pada tempoh berkenaan, hanya sebilangan kecil iaitu mereka yang mendaftar dengan e-Kasih sahaja yang mendapat faedah. - Utusan

1 comments:

Unknown said...

Memang wajar perkara ini perlu di-tangguh kepada suatu tarikh lain dan perlu di kaji semula dan ia dilihat tidak menyelesaikan kemelut yang sebelum ini dihadapi rakyat khususnya di bandar dan luar bandar.Manakan pula ada lagi cadangan dan kriteria baru di-perkenalkan oleh kerajaan.
Sama-sama kita melihat pekembangan dan kesan cadangan itu berhasil atau lebih merumit kan rakyaat seperti mereka yang tinggal di pedalaman.

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya