KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata hampir 70 peratus stesen minyak di Malaysia berjaya diusahakan oleh bumiputera hasil langkah dan inisiatif kerajaan dalam melaksanakan sistem pengagihan lesen yang lebih teratur mengikut Akta Kemajuan Petroleum (PDA).
Beliau berkata kerajaan sedia maklum dengan pelbagai cabaran yang dihadapi pengusaha stesen minyak dalam menjalankan perniagaan masing-masing, terutamanya semasa krisis ekonomi yang kini masih belum reda.
Justeru, Muhyiddin bersyukur kerana pengusaha stesen minyak sekarang telah dapat menjalankan perniagaan mereka dengan baik serta berjaya mewujudkan satu kelompok peniaga bumiputera kelas menengah.
"Berkat usaha dan kegigihan yang ada telah menjadikan tuan-tuan pengusaha stesen minyak yang berjaya serta dapat bertahan sehingga kini.
"Dengan kejayaan ini, saya berharap perniagaan ini akan terus berkembang dan dapat diwarisi generasi akan datang," katanya ketika berucap pada jamuan makan malam sempena mesyuarat delegasi tahunan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) di sini, malam Jumaat.
Yang turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden PDAM Datuk Hashim Othman.
Muhyiddin juga menyarankan para pengusaha stesen minyak supaya mengambil inisiatif sendiri untuk mewujudkan suasana premis dan perkhidmatan yang lebih selesa kepada para pelanggan.
Beliau berkata mereka, misalnya, boleh menyediakan kemudahan yang berkualiti dan sentiasa dijaga dalam keadaan baik seperti tandas dan surau untuk kegunaan para pelanggan.
"Para pekerja di stesen pula perlu bersikap proaktif dan lebih mesra dengan menawarkan bantuan khidmat semasa pelanggan berkunjung ke stesen minyak.
"Faktor-faktor seperti ini akan menarik lebih ramai pengunjung untuk memilih menjadi pelanggan di stesen tuan-tuan dan puan-puan berbanding stesen lain yang tidak menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang sedemikian," katanya.
Muhyiddin turut meminta syarikat minyak supaya berperanan lebih aktif dalam membantu membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (IKS) tempatan dengan memberi peluang kepada mereka memasarkan produk masing-masing di stesen minyak.
Syarikat minyak berkenaan boleh mengenakan syarat-syarat yang lebih sesuai dan berpatutan termasuk bayaran "listing fee" yang lebih rendah.
"Perusahaan stesen minyak boleh ditambah nilainya dengan mewujudkan rantaian perniagaan dengan pengusaha IKS yang lain iaitu mempelbagaikan perkhidmatan dan barangan di stesen masing-masing.
"Rangkaian pengedaran stesen minyak yang amat luas dalam negara boleh membuka peluang kepada pengusaha produk IKS tempatan untuk memasarkan barangan pengguna," katanya.
Muhyiddin berkata beliau dimaklumkan PDAM telah mencadangkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya memudahkan pihak IKS tempatan untuk menembusi pasaran stesen minyak.
"Ini berikutan sesetengah barangan pengguna buatan tempatan yang didapati agak ketinggalan dalam usaha menembusi pasaran tempatan terutama di stesen minyak walau pun telah berjaya di pasaran luar negara," katanya. -- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment