Kerajaan peruntukan RM760,000 bantu pelajar Malaysia di Padang

Saturday, November 14, 2009

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM760,000 kepada 380 pelajar Malaysia yang terbabit dalam kejadian gempa bumi di Padang, Indonesia, 30 September lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ia adalah peruntukan khas kerajaan yang diberi tanpa membabitkan dana daripada tabung bencana yang dilancarkan sebelum ini.

"Kerajaan tidak guna duit hasil sumbangan dari tabung bencana kerana menghormati sumbangan dan niat orang yang memberi sumbangan. Apabila mereka mengeluarkan sumbangan, niat mereka adalah untuk membantu rakyat Indonesia yang ditimpa bencana.

"Oleh itu, kerajaan merasakan bahawa perlu dan wajar peruntukan itu datang dari kerajaan sendiri. Sebab itu kerajaan luluskan peruntukan khas tersebut," katanya pada sidang media selepas melancarkan program budaya, idea dan nilai (CIVP) di Muzium Kesenian Islam di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, seramai 170 daripada 380 pelajar itu sudah kembali ke Padang untuk meneruskan pengajian manakala bakinya masih mencari peluang memasuki institusi pengajian swasta (IPTS) dalam negara.

Kejadian gempa bumi berukuran 7.6 skala Richter, 30 September lalu memaksa hampir kesemua penuntut terbabit dibawa pulang ke tanah air dua hari berikutnya selepas Universitas Andalas (Unand) tempat mereka belajar musnah teruk.

Laporan sebelum ini menyebut, semua pelajar terbabit dikehendaki pulang ke Padang bagi melapor diri selewat-lewatnya 19 Oktober lalu bagi meneruskan pengajian mereka dalam bidang Perubatan di universiti tersebut.

Sehubungan itu, Mohamed Khaled berkata, kementerian sedang mendapatkan laporan terakhir jumlah pelajar yang telah pulang ke Padang serta jumlah mereka yang telah diterima masuk ke IPTS tempatan.

Mengulas program CIVP pula, Mohamed Khaled berkata, program tersebut bakal menghimpunkan graduan terpilih bagi didedahkan kepada keperluan semasa untuk menjadi pemimpin masa depan yang boleh memenuhi keperluan abad ke-21.

Beliau berkata, program yang julung kali diadakan itu akan dijadikan landasan oleh kerajaan untuk melihat keberkesanannya sebelum mengeluarkan satu mekanisme khusus mengenainya.

"Program ini hanyalah satu permulaan. Kementerian akan mengukur sejauh mana keberkesanannya dan kita akan melihat sama ada ia dapat membantu usaha kerajaan untuk mencapai matlamat sama ada di peringkat kementerian mahupun kerajaan.

"Selain melihat kepada soal penguasaan ilmu, ada banyak lagi perkara lain yang perlu dilakukan bagi kita untuk menentukan seorang graduan itu benar-benar memenuhi keperluan dunia yang mencabar," katanya.

Program selama sebulan yang bermula 16 November ini, diadakan hasil kerjasama antara Kementerian Pengajian Tinggi dan badan bukan kerajaan membabitkan seramai 80 peserta yang dipilih.

Program itu akan berlangsung di Country Heights, Kajang, Selangor.

Mohamed Khaled berkata, sejajar dengan cabaran semasa dan negara berhadapan dengan pelbagai cabaran, program itu diharap menjadi inisiatif terbaik kepada usaha untuk melahirkan pelajar yang akan menyambung kepimpinan dalam negara dan mampu menghadapi segala cabaran. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya