KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Felda akan membayar bonus insentif produktiviti berjumlah RM89.5 juta kepada 86,027 peneroka di seluruh negara yang setia bersama agensi itu, demikian diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin malam.
Beliau berkata bonus itu adalah sebagai menghargai sumbangan peneroka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara serta insentif menghantar hasil melalui Felda.
"Kadar bayaran bonus yang dibayar pada tahun ini ialah minimum RM400 dan maksimum RM1,200 bergantung kepada penghantaran hasil.
"Pembayaran bonus insentif ini melibatkan seramai 86,027 atau 76.4 peratus daripada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara," katanya semasa berucap pada Majlis Malam Semai Bakti 2009 di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, di sini.
Najib berkata kerajaan berharap pemberian bonus ini akan menjadi perangsang kepada peneroka untuk berusaha dengan lebih gigih bagi meningkatkan produktiviti masing-masing.
Katanya bayaran tersebut akan dibayar secara tunai di pejabat rancangan sebelum bulan depan.
Perdana Menteri berkata peneroka yang menghantar hasil melalui pengurusan rancangan dinilai berdasarkan penghantaran hasil dari Januari 2009 hingga Oktober 2009.
Bagi peneroka sawit, kelayakan minimum ialah 7.01 tan bagi setiap hektar manakala ganjaran maksimum ialah bagi mereka yang menghantar hasil melebihi 13 tan/hektar.
Bagi peneroka getah, kelayakan minimum ialah 500kg/hektar dan ganjaran maksimum diberi kepada mereka yang menghantar hasil melebihi 1,100kg/hektar.
Najib berkata bilangan peneroka yang terlibat dalam penghantaran hasil ini adalah seramai 32,180 orang manakala seramai 51,847 yang sedang mengusahakan penanaman semula bersama Felda akan menerima bayaran maksimum RM1,200 seorang.
Najib berkata pada tahun ini, Felda turut memberi pertimbangan khas kepada kira-kira 2,000 peneroka di beberapa tanah rancangan yang prestasi hasilnya rendah sepanjang masa disebabkan tanaman tidak lagi produktif dan menunggu giliran untuk ditanam semula.
Beliau berkata mereka akan menerima RM400 seorang manakala seramai 26,608 peneroka atau 23.62 peratus pula didapati tidak layak menerima bayaran insentif kerana tidak menghantar hasil kepada Felda selain hasil mereka kurang daripada hasil minimum yang telah ditetapkan.
Selain itu, peneroka yang mengurus sendiri kebun mereka dan tidak menghantar hasil, juga tidak menerima bonus insentif ini.
Katanya bayaran insentif produktiviti pada tahun ini adalah berasaskan harga komoditi yang lebih rendah yang turut mengakibatkan pendapatan Felda dijangka merosot tahun ini.
Katanya, purata harga minyak sawit mentah sehingga September adalah RM2,221 bagi satu metrik tan berbanding RM3,484/metrik tan pada tahun 2008, manakala bagi getah pula purata harga standard getah Malaysia (SMR) sehingga September 2009 adalah RM6.07/kg berbanding RM8.19/kg pada tahun sebelumnya. -- BERNAMA
UNDERSTANDING DEPRESSION
-
Being depressed often feels like carrying a very heavy burden, but you are
not alone in this struggle. Millions of Americans suffer from some form of
depre...
6 years ago
0 comments:
Post a Comment