Discovery Malaysia By Sea jadi acara tahunan

Monday, November 2, 2009


Hishammuddin Tun Hussein menerima cenderamata daripada Lim Kang Hoo sambil diperhatikan oleh Hoo Seong Chang (kanan) pada majlis Festival Muzik dan Budaya di Marina Teluk Danga, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 1 Nov. - Program pelancongan, Discovery Malaysia By Sea akan dijadikan acara tahunan dan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri Johor, Hoo Seong Chang berkata, program berkenaan adalah satu tiket kepada pihak penganjur untuk mengadakan pelbagai aktiviti yang lebih hebat pada tahun depan.

Beliau berkata, pada tahun ini sahaja, pelbagai aktiviti telah dianjurkan sempena program berkenaan iaitu Festival Muzik dan Budaya serta seminar dan pameran bertajuk Malaysia Welcoming Centre (MWC).

"Program ini merupakan salah satu usaha kerajaan negeri untuk memperkenalkan Malaysia dan Johor kepada pelancong luar terutamanya pelayar dari seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena perasmian Festival Muzik dan Budaya, di Marina Teluk Danga, di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pegawai Eksekutif Danga Bay Sdn. Bhd., Datuk Lim Kang Hoo.

Sempena program itu juga, sebanyak 75 buah kapal pesiaran dan kapal layar dari 16 negara yang mengikuti aktiviti Sail Malaysia Passage to Langkawi turut diraikan.

Antara peserta yang mengikuti aktiviti tersebut adalah dari Jerman, Sepanyol, Finland, Sweden, Vanuatu, Antigue & Barbuda, New Zealand, Australia dan Norway.

Dalam pada itu, Seong Chang turut berharap agar pelayar yang menyertai program tersebut boleh menjadi 'Duta Malaysia' apabila menyebarkan kisah menarik negara ini kepada rakan-rakan mereka.

Menurutnya, kaedah tersebut sedikit sebanyak mampu untuk menarik minat pelayar lain berkunjung ke Malaysia khususnya negeri ini. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya