SUBUR : Sejuta keluarga layak - Noh

Sunday, November 29, 2009

JEMPOL 28 Nov. – Lebih sejuta keluarga yang dikategorikan sebagai miskin dan miskin tegar dijangka menerima kupon subsidi beras melalui Program Subsidi Beras Untuk Rakyat (Subur).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar memberitahu, setakat ini 248,000 keluarga yang berdaftar dengan e-Kasih layak menerima kupon itu dan bilangan itu dijangka terus meningkat.

“Kerajaan hanya membelanjakan RM8.6 juta sebulan dari peruntukan RM60 juta. Bagaimanapun hasil maklumat dari ahli parlimen, kita jangka ia akan mencecah sejuta keluarga memandangkan ada 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.

“Tetapi apabila borang permohonan diterima, ia bukannya akan diluluskan terus, tetapi akan dinilai oleh pegawai-pegawai kementerian selepas diberikan kursus oleh ICU (Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan) Jabatan Perdana Menteri (JPM),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Korban Perdana Jempol 2009 di Felda Raja Alias 2 di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Jempol yang juga Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Lilah Yassin; Timbalannya, Mohd. Salim Shariff serta Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan (MTPNS), Badrulhisham Abdul Rahman.

November lalu, sistem kupon di bawah program Subur yang sepatutnya dilaksanakan 1 Disember ini ditangguhkan bagi membolehkan senarai penerima dikemas kini.

Perkara itu diputuskan Kabinet baru-baru ini setelah timbul rungutan serta aduan ada golongan miskin yang layak tetapi tidak disenaraikan sebagai penerima.Ini termasuk mereka yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak berpuluh tahun lalu tetapi tidak layak mendapat subsidi beras. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya