RM65 juta disediakan bantu PKS

Saturday, November 14, 2009

KOTA KINABALU 13 Nov. - Kerajaan Sabah menyediakan RM65 juta melalui beberapa skim dan program pada tahun ini khusus untuk membantu pekebun kecil sawit (PKS) di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, RM50 juta diperuntukkan untuk Skim Pinjaman Mudah dan Skim Bantuan Khas Sawit manakala RM15 juta untuk Program Bantuan Khusus Sawit.

"Bagaimanapun Skim Bantuan Khusus Sawit telah disemak semula baru-baru ini dan kerajaan bersetuju memperkenalkan bayaran insentif RM50 setan kepada PKS yang layak.

"Sebelum ini, pembayaran skim itu yang dikendali Jabatan Pertanian dilakukan berasaskan perbezaan harga lantai RM250 setan dengan keluasan kurang daripada 6.07 hektar," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Pemberian Insentif Tunai Sekali Sahaja di Bawah Skim Bantuan Khusus Sawit di Bangunan Kementerian Kewangan, di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin; Pembantu Menteri Kewangan I negeri, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Pembantu Menteri Kewangan negeri II, Donald Mojuntin dan Pengarah Pertanian negeri, Ismail Salam.

Musa yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, meskipun kerajaan menyediakan skim dan program tersebut tetapi masih ramai PKS yang tidak memanfaatkannya.

"Daripada 11,018 PKS dengan keluasan kawasan 40,902 hektar yang berdaftar dengan Lembaga Sawit Malaysia (MPOB) pada tahun lalu, hanya 727 PKS dengan keluasan 3,880 hektar berdaftar dengan Jabatan Pertanian untuk menikmati skim itu," katanya.

Katanya, begitu juga dengan Program Bantuan Khusus Sawit yang turut mengalami nasib sama kerana masih ramai PKS yang tidak berdaftar dengan jabatan itu.

Sehubungan itu, beliau meminta PKS supaya tidak melepaskan peluang tersebut yang bertujuan membantu mereka setelah kejatuhan harga minyak sawit mentah hujung tahun lalu. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya