Oleh MOHD.FAIRUZ YUSOF
|
|
KUALA LUMPUR 20 Nov. - Kerajaan akan meningkatkan usaha bagi membolehkan 30 peratus produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bumiputera berjaya menembusi pasar raya besar asing dan tempatan yang beroperasi di negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini hanya tujuh peratus produk IKS bumiputera berjaya memasuki pasaran tersebut.
Beliau berkata, memandangkan jumlah tersebut masih belum tercapai maka langkah proaktif diambil supaya produk IKS tidak dipinggirkan berbanding produk dari jenama terkenal.
"Saya berharap sokongan pasar raya besar asing dan tempatan dapat memastikan produk tersebut diterima dan disenaraikan di semua cawangan masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Suaian Perniagaan antara IKS bersama Pasar Raya Besar Asing dan Tempatan di sini hari ini.
Hadir sama Timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe dan Ketua Setiausaha, Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom.
Program yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini melibatkan penyertaan lebih 90 syarikat IKS dan pasar raya besar asing dan tempatan.
Ismail berkata, terdapat beberapa isu sebelum ini menyebabkan sasaran produk tersebut gagal memasuki pasar raya berkenaan.
Menurutnya, antara isu yang dibangkitkan oleh pasar raya terbabit ialah produk kurang berkualiti dan kaedah pembungkusan yang tidak sesuai dengan kehendak mereka.
Jelasnya, isu tersebut berjaya diatasi apabila pengusaha meningkatkan kualiti pengeluaran mereka mengikut standard ditetapkan oleh pasar raya terbabit.
"Sejak akhir-akhir ini, saya tidak nampak alasan sebegitu boleh diberikan lagi kerana pengusaha berkenaan telah meningkatkan kualiti produk mereka," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru IKS bumiputera supaya lebih kreatif dalam menghasilkan produk yang sesuai dengan kehendak pasaran tempatan.
Ini kerana jelas beliau, ketika ini terdapat banyak produk yang sama dikeluarkan oleh pengusaha terbabit sehingga berlaku persaingan sesama mereka. - Utusan
0 comments:
Post a Comment