MAZNAH (berdiri dua dari kanan) melihat pencari pekerjaan yang datang ke Program Penempatan Pekerjaan 2009 di Keratong 10, Muadzam Shah, semalam. |
MUADZAM SHAH: Kementerian Sumber Manusia memperkenalkan tiga skim bagi memberi peluang pekerjaan kepada 35,000 pekerja yang terpaksa diberhentikan akibat kegawatan ekonomi global.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata statistik terbaru itu membabitkan mereka yang diberhentikan kerja berikutan majikan mereka tidak lagi mampu membayar gaji mereka bagi tempoh Oktober tahun lalu hingga kini.
Katanya, tiga skim itu ialah latih dan kekal, latih dan ganti serta latih dan tempatkan bagi memberi peluang kepada mereka kembali mendapatkan pekerjaan.
"Skim latih dan ganti pula, kementerian memutuskan untuk tidak menyambung kontrak pekerja asing yang bekerja di bidang perkhidmatan dan kekosongan tenaga kerja di bidang berkaitan akan digantikan dengan pekerja tempatan," katanya berucap merasmikan Program Penempatan Pekerjaan anjuran Jabatan Tenaga Kerja negeri, di sini semalam.
Maznah berkata, skim ketiga iaitu skim latih dan tempatkan, pihaknya melantik penyedia latihan yang terdiri daripada syarikat yang berdaftar dengan kementerian dan syarikat berkenaan akan melatih mereka dengan kemahiran dalam bidang tertentu seperti bidang kewangan dan mereka yang terpilih akan ditempatkan di syarikat yang sama.
Sementara itu, beliau turut meminta mereka yang masih tidak mendapat kerja supaya mendaftar dengan portal www.jobmalaysia.com yang dikendalikan kementeriaannya.
"Ada lebih 300,000 jawatan kosong yang ditawarkan pelbagai syarikat di negara ini melalui portal berkenaan. Pihak pengendali portal itu akan membuat padanan kerja yang bersesuaian dengan kelulusan masing-masing," katanya. - Berita Harian
0 comments:
Post a Comment