Ada sumber minyak baru di utara Sabah - Dr. M

Sunday, November 15, 2009

KOTA KINABALU 14 Nov. - Petronas berjaya mengenal pasti sumber minyak baru di bahagian utara Sabah untuk diterokai yang mampu mendatangkan kekayaan kepada negeri itu.

Bekas Perdana Menteri yang juga Penasihat Petronas, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, jika minyak itu dikeluarkan dalam tempoh tiga tahun ini, Sabah terutama rakyatnya akan mendapat keuntungan yang besar.

"Sabah bernasib baik kerana Petronas memberitahu saya terdapat minyak di laut dalam di utara negeri ini. Minyak ini akan menyumbang kekayaan yang lebih besar kepada negeri Sabah," katanya.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam meraikan beliau anjuran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Yang Dipertua USIA, Tun Sakaran Dandai; Timbalannya, Datuk Lajim Ukin dan Setiausaha Agungnya, Datuk Abdullah Hussin.

Bekas Perdana Menteri berkata, penemuan sumber minyak tersebut bukan sahaja petanda baik untuk negeri ini tetapi juga seluruh negara yang akan turut memperoleh manfaatnya.

Jelasnya, walaupun Sabah menerima royalti minyak lima peratus setahun tetapi hasil jualan minyaknya turut dinikmati negeri lain termasuk yang tidak mempunyai sumber itu.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir meminta umat Islam di negara ini supaya berhenti bertelagah sebaliknya bersama-sama membaiki semula imej agama itu yang telah rosak.

Beliau yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) berkata, Islam masih lagi dilihat sebagai agama yang ganas, bengis dan tidak adil.

"Bila Islam dikecam dan dipandang hina kita marah tetapi kita tidak mengkaji tindak-tanduk orang Islam (terlebih dahulu). Tanggungjawab membaiki imej Islam adalah milik kita bersama," katanya.

Menurutnya, umat Islam di Malaysia amat bertuah bukan sahaja dapat hidup dengan aman damai tanpa sebarang konflik serius tetapi juga terlindung daripada bencana alam.

"Kita perlu bersyukur dengan keadaan ini jika dibandingkan dengan nasib umat Islam di Asia Barat, selatan Filipina dan beberapa negara Asia Tenggara lain.

"Begitu juga dengan bencana alam, walaupun terdapat gunung berapi di sekeliling Malaysia misalnya di Sumatera dan Jawa di Indonesia serta Filipina yang seolah-olah seperti rantai, tetapi kita terselamat," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya