Utara: Tanam sayur untung dua kali ganda

Wednesday, October 14, 2009

BAGAN SERAI: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menukar tanaman padi di Kerian dengan kelapa sawit atau sayur-sayuran jika tanaman baru itu lebih menguntungkan petani.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar, berkata hasil padi di Kerian hanya antara dua hingga tiga tan sehektar semusim dan petani memperoleh pendapatan kira-kira RM1,400 saja sebulan jika mengusahakan dua hektar padi.

Katanya, jumlah itu jauh lebih rendah berbanding hasil di Tanjung Karang, Selangor yang menjangkau 10 tan metrik sehektar semusim.

Beliau berkata, petani di Selangor mampu memperoleh pendapatan RM3,000 sebulan jika hasil hanya lima tan sehektar semusim.

"Kerajaan negeri meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjalankan kajian sama ada wajar meneruskan tanaman padi Jelapang Padi Kerian seluas 3,000 hektar atau diganti dengan jenis tanaman lain seperti kelapa sawit atau sayur-sayuran yang boleh meningkatkan pendapatan petani," katanya selepas menghadiri majlis Aidilfitri anjuran Umno Bagan Serai di sini.

Hadir sama, Ketua Umno Bagan Serai, Datuk Zaili Cha; Pengarah Pertanian Perak, Arifin Abdul Latif dan Pengarah Pertanian Bersepadu Kerian Sungai Manik, Norbahani Zakaria.

Noh berkata, kajian itu membabitkan kesesuaian teknologi untuk menentukan keadaan tanah di Kerian kerana sebahagian besar Jelapang Padi Kerian lebih rendah dari laut.

Katanya, keadaan itu menyebabkan air lambat surut jika banjir, manakala ada kawasan tinggi sukar mendapat air.

Beliau berkata, kementeriannya sudah membina enam rumah pam air dan juga menaik-taraf sistem saliran dengan kos lebih RM1.2 juta di Jelapang Padi Kerian. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya