Mekanisme subsidi minyak akan diumumkan - Ismail Sabri

Tuesday, October 27, 2009

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Kerajaan akan mengumumkan mekanisme pemberian subsidi minyak dan golongan sasar yang benar-benar layak menerimanya pada akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha bagi menyusun mekanisme yang benar-benar berkesan untuk membantu rakyat, kini sedang dilaksanakan.

Katanya, perkara itu akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri.

''Bukan mudah untuk kita mencari cara paling berkesan untuk memastikan golongan yang benar-benar memerlukan sahaja menerima bantuan ini.

''Golongan sasaran sedang ditentukan. Kita tunggu saja pengumuman siapa yang layak dan tidak mendapat subsidi minyak di negara ini. Buat masa sekarang, semua rakyat mendapat subsidi minyak. Jadi kita kena tengok dan teliti mekanisme yang perlu dibuat," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini cadangan kerajaan sebelum ini untuk melaksanakan pemberian subsidi harga minyak kepada golongan yang memerlukan dan layak sahaja manakala mereka yang mampu, perlu membeli bekalan petrol dan diesel pada harga pasaran.

Antara mekanisme yang pernah dicadangkan termasuklah menggunakan kad pengenalan untuk menentukan golongan yang layak menerima subsidi tersebut. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya