1MALAYSIA BERJAYA : Program bantu pelajar gagal SPM dilancar

Friday, October 30, 2009

KUALA TERENGGANU 29 Okt. - Kerajaan negeri akan melancarkan program pendedahan kemahiran untuk calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berkemungkinan akan gagal dalam peperiksaan tersebut bermula akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, untuk itu mereka akan dikenal pasti melalui ujian percubaan dan dimasukkan dalam program kemahiran vokasional selama tiga hari dua malam.

Katanya, program tersebut akan diadakan di institusi pengajian vokasional seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Kolej Universiti Tati.

Menurut beliau, program akan memberikan mereka gambaran lebih awal hala tuju dalam memilih kerjaya dan mengelakkan mereka terlibat dalam kegiatan tidak berfaedah.

''Kita tahu pelajar-pelajar ini tidak berminat dalam bidang akademik, jadi kita sediakan program untuk memberi gambaran bahawa mereka masih mempunyai kerjaya walaupun gagal dalam SPM.

''Pendedahan ini akan menimbulkan minat terhadap kemahiran tertentu dan menyebabkan mereka memberi fokus kepada subjek tertentu seperti Bahasa Malaysia supaya mereka lulus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kem Membaca 1Malaysia Peringkat Terengganu di Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya kini sedang mengumpul data dari Jabatan Pelajaran negeri berhubung calon-calon SPM yang mungkin akan gagal dalam peperiksaan utama itu nanti.

''Kita akan adakan program percubaan terlebih dahulu, mungkin melibatkan para pelajar di Kuala Terengganu untuk melihat keberkesanannya," katanya.

Beliau memberitahu, program pendedahan itu akan lebih kepada konsep belajar di institusi kemahiran tersebut dan tidak seperti program motivasi biasa yang dijalankan untuk pelajar bermasalah.

''Program itu akan melibatkan suasana sebenar seperti belajar bidang automotif selama dua jam dan bengkel perkayuan selama dua jam dan kemudian enjin selama sejam," jelasnya.

Selain itu, katanya, program berkenaan akan melibatkan kemahiran dalam bidang pertanian dan penternakan bagi membolehkan mereka menjadi usahawan dalam bidang tersebut. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya