Libatkan anak yatim dengan program masyarakat

Sunday, October 18, 2009


SHAHRIZAT Abdul Jalil bersama Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Rohana Rozhan (kanan) memberikan sumbangan kepada anak-anak yatim pada majlis sambutan Hari Raya dan Deepavali Astro di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Para pengetua dan penyelia rumah kebajikan diminta mendedahkan anak-anak yatim di bawah jagaan mereka kepada masyarakat melalui pelbagai program dari semasa ke semasa dan tidak hanya ketika musim perayaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pendedahan tersebut penting kerana ramai anak yatim yang berbakat dan berpotensi dalam pelbagai bidang.

''Oleh itu kita kena jaga pembangunan emosi mereka. Kalau kita hadkan kehidupan mereka di rumah kebajikan sahaja ia akan menyekat perkembangan emosi terutamanya cara pergaulan mereka dengan orang lain.

''Saya tidak mahu anak-anak yatim berkenaan disimpan dalam rumah anak-anak yatim dan dikeluarkan pada masa tertentu sahaja,'' katanya.

Shahrizat berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya dan Deepavali anjuran stesen penyiaran Astro bersama 600 kanak-kanak dari 14 rumah kebajikan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Menurut beliau, anak yatim seelok-eloknya mesti selalu mendampingi tokoh yang boleh menjadi ibu bapa atau keluarga mereka supaya masyarakat boleh menjadi keluarga mereka.

''Selain daripada itu, program yang dijalankan oleh rumah kebajikan juga mestilah mempunyai lebih banyak pengisian dan kualiti untuk menjadikan anak-anak yatim berkenaan lebih bersedia menghadapi dunia luar.

''Sebagai permulaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah pun diarah mengolah semula program-program bagi meningkatkan modul yang disediakan untuk rumah kebajikan di bawah JKM,'' katanya.

Tambah Shahrizat, peningkatan modul berkenaan bertujuan menjadikan anak-anak yatim sebahagian daripada masyarakat. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya