Malaysia tempat ke-11 destinasi pelancongan dunia

Wednesday, October 21, 2009

PULAU PINANG 20 Okt. - Malaysia menduduki tempat ke-11 sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia dengan 17.4 juta pelancong dalam tempoh Januari hingga September lalu mengikut senarai Pertubuhan Pelancongan Dunia (WTO).

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, kedudukan tersebut iaitu satu tangga di bawah Mexico yang banyak menerima kunjungan pelancong Amerika Syarikat (AS), adalah sesuatu yang perlu dipertahan dan dipertingkatkan.

Menurutnya, jumlah pelancong juga meningkat 6.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2008 yang mencatat ketibaan 16.3 juta kemasukan pelancong.

Beliau yakin sasaran asal kemasukan 20 juta pelancong pada tahun ini boleh dicapai walaupun sasaran tersebut dikurangkan kepada 19 juta ekoran penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

''Negara terus mencatat peningkatan ketibaan pelancong walaupun WTO mengakui 99 peratus negara mencacat pertumbuhan negatif kemasukan pelancong,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Projek Menaik Taraf Sistem Kereta Api Bukit Bendera yang disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di sini hari ini.

Nor Mohamed juga adalah Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang. Turut hadir ialah Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Yen Yen berkata, kemasukan pelancong dari negara Asia Tengah seperti Ukraine, Khyrgistan dan Rusia mencatat peningkatan ketara selain kemasukan memberangsangkan dari China, Asia Barat, Australia dan Eropah.

Menurutnya, penerbangan langsung dari Asia Tengah mulai tahun depan dijangka merancakkan lagi kemasukan pelancong dari rantau itu.

''Hanya kemasukan pelancong dari Korea Selatan yang mencatat penurunan ketara,'' jelasnya.

Selain itu katanya, sektor pelancongan merupakan penyumbang kedua terbesar kepada negara pada tahun lalu dengan pendapatan berjumlah lebih RM50 bilion.

''Kita mesti terus mempromosikan sektor ini kerana sebarang pengurangan misalnya 10 peratus sahaja akan menyaksikan negara kehilangan RM5 bilion,'' katanya.

Selain itu kata beliau, Exco yang bertanggungjawab terhadap pelancongan perlu menggerakkan kerja-kerja mempromosi pelancongan di peringkat negeri.

Menurutnya, Tourism Malaysia bertanggungjawab menjalankan kerja mempromosi Malaysia secara menyeluruh bukannya mana-mana negeri secara spesifik.

''Dalam konteks ini Sabah telah bertindak dengan baik dan amat dikenali di seluruh dunia,'' katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya