SERDANG 13 Okt. - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memberi kupon beras percuma kepada penerima benar-benar layak mengikut siasatan yang dijalankan.
Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, keluarga yang berasakan mereka layak menerima kupon berkenaan diminta mendaftar dengan lebih 12 agensi di bawah kementeriannya di seluruh negara mulai sekarang.
Beliau bagaimanapun menegaskan, tidak semestinya setiap orang yang mendaftar akan mendapat kupon beras percuma tersebut.
''Ini kerana pegawai akan menyiasat sama ada mereka ini layak ataupun tidak. Hanya selepas siasatan dan laporan siap, barulah penilaian dibuat sama ada seseorang pemohon itu layak menerima kupon beras percuma atau sebaliknya,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri jamuan Hari Raya Aidilfitri Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Noh memberitahu, 12 agensi itu termasuk Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Veterinar, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), MARDI, Lembaga Perindustrian Nenas dan persatuan nelayan.
''Pendaftaran juga boleh dilakukan di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Agrobank,'' katanya.
Tambah beliau, senarai nama keluarga miskin sudah diberikan kepada ahli Parlimen dan Pengerusi Pembangunan Pertanian di setiap kawasan Parlimen.
''Namun, senarai itu perlu dikemaskinikan terlebih dulu kerana ada nama yang sudah meninggal dunia, ada dulu miskin sekarang sudah kaya dan ada yang layak tetapi tidak tersenarai.
''Bagi golongan Orang Asli pula, mereka mempunyai senarai khas yang berasingan,'' jelasnya.
Katanya lagi, pemberian beras percuma itu akan dilaksanakan pada Disember, manakala kupon akan diserahkan kepada penerima yang layak pada November.
''Kupon akan diberikan setiap bulan dan akan disampaikan oleh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) atau Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian di sesebuah kawasan Parlimen,'' tambahnya.
Noh seterusnya menjelaskan, keluarga miskin akan mendapat kupon bernilai RM10 dan maksimum tiga kupon akan diberikan kepada setiap keluarga.
''Sementara itu, keluarga miskin tegar pula akan mendapat kupon bernilai RM24 yang dapat mereka tukarkan untuk mendapatkan beras gred ST15 (15 peratus hancur) bagi 10 kilogram yang berharga RM24 secara percuma.
''Mereka yang menerima kupon RM10 hanya perlu membayar RM14 sahaja bagi mendapatkan beras berkenaan,'' katanya. - Utusan
0 comments:
Post a Comment