Kesedar Serah Tanah Kepada ECER Bantu Orang Miskin Tegar

Saturday, October 31, 2009

GUA MUSANG, 31 Okt (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) akan menyerahkan ladang kelapa sawit seluas 384 hektar kepada pengurusan projek Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) untuk penempatan peserta miskin tegar di bawah program Agropolitan.

Pengurus Besarnya Mohd Arshad Ismail berkata penyerahan ladang tidak berpeneroka yang terletak di Rantau Manis itu sebagai ganti kelewatan kelulusan tanah kerajaan negeri kepada agensi berkenaan.

Katanya tanaman ladang itu yang sudah tua perlu ditebang semua untuk dijadikan tapak penempatan peserta yang dijangka dapat menampung 700 orang pada pertengahan tahun hadapan.

"Kita terpaksa korban tanah ladang sawit milik Kesedar di kawasan itu bagi tujuan berkenaan kerana kita khuatir jika menunggu penyelesaian tanah yang dipohon selama ini menjadi lebih lewat untuk pembangunan projek Agropolitan," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Lojing di sini pada Sabtu.

Mohd Arshad berkata rundingan Kesedar, ECER dan kerajaan negeri masih diteruskan supaya perancangan untuk pembangunan ladang dan penempatan peserta miskin tegar di projek Agropolitan itu berjalan lancar dan menepati sasaran.

" Kalau kita tidak berbuat demikian mungkin projek itu bertambah lewat dan merugikan peserta, oleh itu kita sedang mengatur pelbagai langkah baru dengan ECER untuk mempercepatkan proses penebangan ladang itu.

" Kita mahu peserta yang telah tersenarai akan menerima faedah daripada projek berkenaan kerana setakat ini hanya 10 peserta yang ditempatkan di situ sebagai projek perintis," katanya.

Beliau mengakui sebelum ini timbul banyak kesulitan kepada Kesedar dan ECER untuk memajukan projek Agropolitan disebabkan tanah yang sebelum ini diterokai penduduk secara individu belum mendapat kelulusan untuk diserahkan kepada agensi terbabit.

"Walau apapun, kita masih mengharapkan kerajaan negeri memberi pertimbangan terhadap perkara berkenaan kerana banyak perancangan sudah diatur untuk peserta miskin tegar dalam hidup berdikari selepas ini," katanya.

Mohd Arshad berkata mengikut perancangan asalnya projek Agropolitan itu akan menempatkan 1,000 peserta tetapi disebabkan masalah tanah yang belum diluluskan terpaksa dibuat pengambilan hanya 700 orang sahaja. -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya