Pusat Rawatan Ikan Bantu Penternak Kurangkan Risiko Kerugian

Saturday, October 31, 2009

TUMPAT, 31 Okt (Bernama) -- Kira-kira 112 penternak ikan dalam sangkar di kawasan Laguna Sri Tujuh di sini bakal mendapat manfaat apabila kemudahan pusat rawatan benih ikan bakal dibina di kawasan berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Laguna Sri Tujuh, Yusof Mamat berkata Jabatan Perikanan telah meluluskan peruntukan sejumlah RM90,000 untuk pembinaan pusat rawatan berkenaan.

"Dengan adanya pusat rawatan ikan berkenaan, anak ikan yang baru dibeli akan dipelihara untuk tempoh masa tertentu di pusat rawatan sebelum dilepaskan ke dalam sangkar," katanya kepada Bernama.

Yusof berkata langkah itu bertujuan menyesuaikan anak ikan dengan persekitaran baru dan mengelakkannya daripada mati apabila dilepaskan ke dalam sangkar.

"Kita harap dengan adanya kemudahan ini, penternak boleh mengurangkan risiko kematian anak ikan sekali gus mengurangkan risiko kerugian," katanya.

Beliau berkata buat masa ini perbincangan sedang dijalankan dengan beberapa pihak berkaitan pembinaan pusat berkenaan dan dijangka dibina dalam masa terdekat.

Terdapat lebih 300 sangkar ikan di Laguna Sri Tujuh dengan hasil ternakan mencecah RM3.6 juta setahun. -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya